Integriti itu mudah, kalau kita betul-betul buat
Hari Integriti Nasional 2026 menyeru rakyat memperkukuh amalan amanah, kejujuran dan tanggungjawab dalam kehidupan, pekerjaan serta pentadbiran negara.
Oleh: DR. NIK MOHD ZAIM AB RAHIM
SETIAP 5 November, kita sambut Hari Integriti Nasional. Tarikh ini mungkin nampak biasa saja pada kalendar, tapi sebenarnya ia ada makna yang besar. Ia ingatkan kita bahawa kuatnya sesebuah negara itu bukan sebab bangunannya tinggi atau ekonominya hebat saja. Ia kuat sebab rakyatnya jujur dan boleh dipercayai.
Tahun 2026 ini, sambutan ini rasa lebih dekat dengan kita. Kita semua sedang cuba bina semula kepercayaan. Kita mahu kerja yang lebih telus, perkhidmatan yang lebih baik dan budaya yang lebih sihat. Dan semua itu bermula dengan satu perkataan yang selalu kita dengar, integriti.
Kalau kita imbas balik sejarahnya, semua ini bermula pada 23 April 2004. Masa itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Niatnya jelas, Malaysia mahu jadi negara yang bersih, telus dan beretika.
Setahun lepas itu, pada 5 November 2005, tarikh 5 November telah diisytiharkan sebagai Hari Integriti Nasional. Sejak dari hari itu sampai sekarang, setiap tahun kita berhenti sekejap dan tanya diri sendiri, sejauh mana kita dah jujur?
Dalam Pelan Integriti Nasional itu, ada lima matlamat utama. Pertama, nak kurangkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Kedua, nak jadikan perkhidmatan awam dan swasta lebih cekap. Ketiga, nak kuatkan keluarga dan masyarakat. Keempat, nak naikkan kualiti hidup rakyat. Kelima, nak jadikan Malaysia lebih berdaya saing.
Kalau fikir betul-betul, kelima-lima benda ini memang berkait. Mana mungkin negara nak maju kalau duit rakyat bocor ke sana ke mari. Mana mungkin rakyat nak bahagia kalau sistemnya tak adil. Sebab itu integriti ini bukan benda kecil. Ia adalah asas.
Dalam Islam pula, integriti ini memang sangat ditekankan. Ia sama dengan amanah, jujur, adil dan buat baik. Al-Quran selalu ingatkan kita bahawa amanah itu berat. Bukan senang-senang boleh main. Nabi Muhammad SAW sendiri digelar Al-Amin, orang yang sangat dipercayai, sebelum baginda jadi Rasul lagi. Itu bukti yang integriti itu bukan sekadar nilai tambahan, tapi ia adalah teras kepada siapa kita.
Bila seorang pemimpin jujur, itu bukan saja kerja dunia. Itu ibadah. Bila seorang peniaga jujur dalam timbangan, itu ibadah. Bila seorang cikgu ikhlas mengajar, itu ibadah. Bila seorang pelajar tak meniru masa peperiksaan, itu pun ibadah. Semua benda kecil ini, kalau dibuat dengan jujur, ada nilai yang besar.
Tapi jujurlah, selepas lebih 20 tahun Pelan Integriti Nasional dilancarkan, adakah kita sudah betul-betul berintegriti? Ada bahagian yang kita boleh bangga. Sekarang kita ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ada Pelan Antirasuah Nasional, ada kod etika di banyak tempat, dan ada teknologi yang kurangkan peluang untuk rasuah. Anak muda sekarang pun lebih berani bersuara. Mereka lebih peka, lebih cepat tanya, kenapa macam ini, kenapa macam itu. Itu perkembangan yang baik.
Tapi di sisi lain, masalah masih ada. Masih ada cerita tentang ketirisan, konflik kepentingan dan salah guna kuasa. Dan integriti ini bukan saja soal orang besar. Kadang-kadang ia rosak sebab benda kecil yang kita anggap remeh. Ponteng kerja, guna barang pejabat untuk kegunaan sendiri, buat tuntutan yang tak betul, budaya tak apa lah. Lama-lama, benda kecil ini yang runtuhkan sistem.
Masalah paling besar sekarang ialah bila kita anggap integriti itu cuma patuh pada undang-undang. Undang-undang boleh hukum orang yang kena tangkap. Tapi nilai dalam hati yang halang kita daripada buat salah walaupun tiada siapa nampak. Itu bezanya. Integriti yang sebenar ialah bila kita buat benda betul, walaupun tiada CCTV, tiada bos, tiada siapa yang tengok.
Jadi, sempena Hari Integriti Nasional 2026 ini, inilah masa untuk kita muhasabah. Integriti kena mula dari diri sendiri. Ia mula dari benda yang paling mudah. Tepati janji. Datang on time. Buat kerja elok-elok. Jangan ambil hak orang. Berani mengaku kalau salah. Jangan sokong benda yang kita tahu salah. Nampak mudah, tapi nak buat selalu itu yang susah.
Peranan pemimpin juga sangat penting. Kalau pemimpin tunjuk contoh yang baik, pengikut pun akan ikut. Kalau rakyat tengok pemimpin cakap benar, hidup sederhana, tolak rasuah dan berani tanggungjawab, mereka akan lebih percaya pada sistem. Tapi kalau pemimpin sendiri buat benda yang salah, segala kempen dan slogan akan jadi kosong saja. Integriti pemimpin bukan diukur pada ucapan yang sedap di atas pentas. Ia diukur pada keputusan yang dibuat dalam bilik mesyuarat, masa tiada siapa rakam, dan pada keberanian untuk kata tidak pada benda yang salah walaupun benda itu menguntungkan.
Keluarga pula adalah sekolah pertama untuk integriti. Nilai ini dipupuk dari kecil. Ibu bapa yang cakap benar, yang tak ajar anak menipu walaupun untuk benda kecil, yang tunjuk cara urus duit dengan amanah, sebenarnya sedang bina asas yang kuat untuk anak-anak. Sekolah dan universiti pun sama. Pendidikan integriti bukan hanya dalam satu subjek. Ia mesti ada dalam budaya sekolah itu sendiri. Cikgu yang adil bagi markah, pentadbir yang telus urus duit, pelajar yang hormat peraturan, semua itu adalah pendidikan integriti yang sebenar.
Sektor swasta pun tak terkecuali. Dalam bisnes, integriti itu adalah kepercayaan. Syarikat yang telus dalam akaun, adil pada pekerja dan jujur pada pelanggan akan bertahan lama. Syarikat yang kejar untung dengan cara menipu, manipulasi data atau tindas pekerja mungkin nampak berjaya sekejap, tapi bila kepercayaan dah hilang, semuanya akan runtuh. Untung yang dapat dengan cara tak jujur, tak akan berkat dan tak akan kekal.
Sekarang kita dah masuk era digital. Cabaran integriti pun dah berubah. Dulu orang uji integriti melalui duit dan kuasa. Sekarang, ia juga diuji melalui jari dan skrin telefon. Sebar berita palsu, tipu orang dalam talian, salah guna data orang, ciplak hasil kerja orang dan kutuk orang tanpa semak dulu, semua itu adalah bentuk baru pelanggaran integriti. Media sosial beri kuasa pada kita untuk sebarkan apa saja. Dengan kuasa itu, datang tanggungjawab. Integriti digital bermaksud kita semak dulu sebelum kongsi, hormat privasi orang, jangan sebar fitnah dan berani betulkan kesilapan sendiri.
Jadi apa yang kita boleh buat sempena sambutan kali ini? Ada tiga benda mudah.
Pertama, setiap organisasi perlu ada sistem yang menyokong orang baik. Contohnya, saluran aduan yang selamat, perlindungan untuk pemberi maklumat dan proses semak yang betul. Sistem yang baik akan mudahkan orang baik untuk kekal baik, dan susahkan orang yang berniat jahat.
Kedua, kita perlu banyakkan program kesedaran yang bukan sekadar ceramah sehala. Biar ada dialog, biar ada cerita sebenar, biar orang boleh tanya dan kongsi pengalaman. Integriti ini lebih mudah faham bila kita dengar kisah sebenar, bukan sekadar teori.
Ketiga, kita perlu raikan orang yang berintegriti. Selama ini kita selalu fokus pada orang yang buat salah. Jarang kita raikan penjawat awam yang jujur, peniaga yang amanah atau pelajar yang berani laporkan penyelewengan. Bila kita raikan mereka, kita hantar mesej yang jelas, integriti itu dihargai, bukan merugikan.
Akhir sekali, Hari Integriti Nasional ini bukan sekadar majlis dan lafaz ikrar. Ia untuk kita hayati. Integriti bukan projek bermusim. Ia adalah perjalanan sepanjang hayat. Ia perlukan sabar, berani dan istiqamah. Malaysia yang kita impikan, Malaysia yang maju, adil, makmur dan dihormati, hanya akan jadi kenyataan bila rakyatnya letakkan integriti sebagai teras dalam setiap tindakan.
Sempena 5 November 2026 ini, jom kita perbaharui tekad. Tekad untuk jadi rakyat yang jujur dalam kerja, amanah dalam tanggungjawab dan berani dalam mempertahankan kebenaran. Jom kita jadikan integriti sebagai budaya, bukan sekadar kempen. Sebab bila integriti dah jadi budaya, kepercayaan akan subur, perpaduan akan kukuh dan masa depan negara akan lebih cerah.
Selamat Menyambut Hari Integriti Nasional 2026 buat semua warga Malaysia!
* Penulis merupakan Timbalan Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

