Mengenali biopsikososial spiritual dan peranan khidmat sokongan kemanusiaan
Pengalaman di KSKCareCentre membuka perspektif tentang kaunseling percuma, pendekatan biopsikososial spiritual serta kepentingan membantu masyarakat melalui ilmu dan sokongan menyeluruh.
Oleh: SHARIFAH YUN OTHMAN
PERNAH suatu ketika dahulu, ahli keluarga saya memerlukan khidmat kaunseling. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan bantuan. Puas mencari, namun tidak juga bertemu dengan perkhidmatan yang benar-benar dapat membantu. Ada perkhidmatan yang ditemui, tetapi kadar bayarannya pula boleh membuatkan kita berfikir berkali-kali. Pendek kata, tidak mesra poket bagi mereka yang memerlukan bantuan. Akhirnya, hasrat untuk mendapatkan khidmat tersebut terpaksa dikuburkan begitu sahaja.
Hakikat kehidupan, tidak selamanya indah. Selagi manusia masih bernyawa, selagi itulah ujian dan cabaran akan datang silih berganti. Allah SWT mengingatkan bahawa kehidupan di dunia merupakan medan ujian bagi manusia, bukannya tempat untuk menikmati kesenangan tanpa sebarang kesukaran.
Namun, kemampuan manusia menghadapi ujian tidak semuanya sama. Ada individu yang kelihatan kuat, tenang dan seolah-olah tidak terkesan dengan apa-apa yang berlaku. Ada pula yang mudah terganggu emosinya apabila berhadapan dengan tekanan. Tidak kurang juga mereka yang kelihatan biasa di hadapan orang lain, tetapi hakikatnya sedang bergelut dengan beban yang berat dalam diri.
Apabila masalah tidak ditangani dengan baik dan berlarutan tanpa sokongan, ia boleh menjejaskan kesejahteraan emosi, pemikiran dan kehidupan seseorang. Di sinilah pentingnya khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling. Mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu usaha untuk memahami keadaan diri dan mencari jalan keluar.
Pertemuan yang membuka perspektif
Semester baharu pengajian saya bermula dengan satu dilema ketika memilih subjek elektif. Kebanyakan subjek yang ditawarkan mempunyai kandungan yang agak berat, ditambah pula dengan penilaian peperiksaan bertulis pada penghujung semester. Akhirnya, saya memilih subjek Biopsikososial Spiritual.
Sejujurnya, pada peringkat awal, istilah ini sendiri agak sukar untuk disebut, apatah lagi difahami. Apakah sebenarnya subjek ini? Apakah kaitannya dengan kehidupan manusia? Apakah yang akan dipelajari? Saya tidak mempunyai gambaran yang jelas. Namun, saya memilih untuk mengikuti setiap sesi pengajaran dan pembelajaran dengan fikiran terbuka.
Sehinggalah berlangsungnya satu lawatan akademik ke KSKCareCentre di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Lawatan ini dibimbing oleh pensyarah kami, Profesor Madya Dr. Norlina, yang turut berkongsi pengalaman selama tujuh tahun sebagai ahli pelawat di Hospital Permai, Johor Bahru.
Kami juga dipertemukan dengan Ustaz Fadly, wakil KSKCareCentre yang menerangkan fungsi, peranan dan bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat.
Hampir empat jam kami mengikuti sesi tersebut. Anehnya, saya tidak berasa jemu. Sebaliknya, semakin banyak penerangan diberikan, semakin besar rasa ingin tahu saya. Secara jujurnya, inilah kali pertama saya mengetahui kewujudan pusat khidmat seperti ini di bawah JAKIM yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.
Ilmu yang menyentuh hati dan menghidupkan jiwa
Antara perkongsian Dr. Norlina yang cukup menyentuh hati ialah kisah beliau menerima sekeping nota kecil daripada seorang pelajar yang tertulis, “Terima kasih Dr., kerana mengajar saya erti hidup bertuhan.”
Satu ungkapan yang ringkas, tetapi sarat dengan makna. Bukan sahaja Dr. Norlina sendiri terkesan dengan catatan tersebut, malah saya yang mendengarnya turut merasakan sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Betapa besarnya peranan seorang pendidik dalam membimbing jiwa manusia. Ilmu yang disampaikan bukan sekadar menambah pengetahuan, tetapi mampu mengubah cara seseorang melihat kehidupan dan hubungannya dengan Tuhan.
Sepanjang sesi tersebut, Dr. Norlina tidak putus-putus berkongsi pengalaman dan kisah sebenar yang pernah dihadapinya. Terdapat pelbagai kes yang menyayat hati, termasuk keadaan apabila keresahan dan kekalutan jiwa yang tidak ditangani dengan baik akhirnya membawa kepada akibat yang serius, malah melibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.
Jujurnya, perkongsian tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya. Saya bermuhasabah tentang betapa pentingnya kita saling mengambil berat, membantu dan memahami keadaan orang lain. Jangan terlalu sibuk dengan urusan sendiri sehingga terlupa bahawa mungkin ada insan di sekeliling kita yang sedang memerlukan pertolongan.
Saya juga tertarik dengan pesanan Dr. Norlina kepada kami sebagai bakal graduan. Beliau menyarankan agar apabila mempunyai kelapangan dan kemampuan kelak, jadilah penyumbang kepada masyarakat. Ilmu yang diperoleh tidak seharusnya terhenti pada pencapaian akademik atau sekadar memperoleh segulung ijazah. Sebaliknya, ilmu perlu dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk khidmat, sumbangan dan manfaat.
Memahami manusia secara menyeluruh
Daripada pengalaman ini, saya mula memahami bahawa pendekatan Biopsikososial Spiritual bukan sekadar istilah akademik. Ia membawa kita melihat manusia secara menyeluruh, merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
Manusia bukan hanya mempunyai tubuh fizikal yang memerlukan penjagaan kesihatan, tetapi turut mempunyai emosi dan pemikiran yang memerlukan perhatian, hubungan sosial yang memerlukan sokongan serta jiwa yang memerlukan pengisian spiritual.
Keistimewaan pendekatan ini ialah penggabungan ilmu psikologi, kaunseling, tasawuf dan akhlak Islam yang memberi perhatian kepada kesejahteraan manusia serta hubungan dengan Allah SWT. Ia mengingatkan kita bahawa manusia memerlukan bimbingan untuk kembali mengenali fitrah kejadian dan kehidupan bertuhan.
Antara ungkapan Ustaz Fadly yang paling melekat dalam ingatan saya ialah, “Bila kita selesaikan masalah orang, Allah selesaikan masalah kita juga.”
Ungkapan ini membawa makna yang cukup mendalam. Ia bukan sekadar seruan untuk membantu orang lain, tetapi peringatan tentang keikhlasan, pengorbanan dan kebergantungan seorang hamba kepada Allah SWT. Membantu orang lain bukan bermaksud kita tidak mempunyai masalah sendiri. Sebaliknya, kita belajar bahawa kehidupan bukan hanya tentang menerima, tetapi juga tentang memberi.
Ilmu yang perlu dikembalikan kepada masyarakat
Lawatan dan pendedahan ini sangat memberi kesan kepada jiwa saya. Bukan sahaja saya mempelajari sesuatu yang baharu, malah pengalaman ini membuka minda saya tentang keperluan manusia untuk saling membantu dan menyantuni antara satu sama lain.
Kepada masyarakat yang memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan, KSKCareCentre di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya boleh dijadikan salah satu saluran mendapatkan bantuan. Perkhidmatan yang disediakan merangkumi kaunseling syarie dan terapi psikospiritual Islam secara percuma.
Akhirnya, saya menyedari bahawa pemilihan subjek elektif yang pada awalnya dibuat atas pertimbangan akademik telah membawa saya kepada pengalaman pembelajaran yang jauh lebih bermakna.
Ilmu tidak seharusnya terhenti pada nota kuliah, teori dan peperiksaan. Ilmu perlu diterjemahkan kepada kesedaran, tindakan dan khidmat kepada masyarakat.
Kerana pada akhirnya, manusia bukan sekadar memerlukan seseorang yang mampu memberikan jawapan kepada masalahnya. Ada kalanya, manusia hanya memerlukan seseorang yang sudi mendengar, memahami dan membantunya menemukan semula kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Ilmu yang baik bukan sekadar mencerdaskan fikiran, tetapi turut menghidupkan jiwa dan membina kemanusiaan.
* Penulis merupakan pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

