UiTM, PKPS lancar inkubator sulung perkasa keusahawanan siswa

UiTM memperkenalkan Pitstop HEP dan Dapur Ehsan bagi membantu kebajikan mahasiswa, menjana pendapatan serta membina kemahiran keusahawanan melalui pengalaman perniagaan sebenar.

Feature Image (2)

PROFESOR MOHD SAZILI merasmikan pembukaan Pitstop HEP Fakulti Kejuruteraan Awam yang menjadi perintis kepada one-stop centre yang menjadi perintis menyediakan kemudahan makanan percuma dan pembangunan inkubator keusahawanan.

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) serta Dapur Ehsan UiTM, inkubator keusahawanan sulung hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Inisiatif itu memperkenalkan pendekatan bersepadu yang menggabungkan sokongan kebajikan, peluang penjanaan pendapatan dan pembangunan keusahawanan, sekali gus memperluas peranan kampus sebagai ekosistem pemerkasaan ekonomi mahasiswa.

Majlis yang berlangsung di Young Engineer Creative Centre (YECC), FKA, UiTM Shah Alam itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing, Md Fazir Abdul Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Ar-Rizqi Fortune, Ariifien Ismail.

Kerjasama bersama PKPS, sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri Selangor dalam ekosistem pembangunan negeri yang turut melibatkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, mencerminkan sinergi strategik antara universiti, agensi kerajaan negeri dan industri dalam membangunkan potensi keusahawanan belia sejak di bangku universiti.

Pitstop HEP merupakan antara inisiatif utama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM dalam memperkasakan kesejahteraan mahasiswa, melalui penyediaan ruang rehat, kemudahan sokongan serta akses kepada makanan dan minuman ringan secara percuma, khususnya bagi membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan.

Peranannya kini diperkembangkan dengan mengintegrasikan aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan sambilan, sejajar dengan aspirasi MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan mahasiswa menjana pendapatan menerusi pendekatan earn while you learn, di samping meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan.

MD FAZIR menerangkan produk PKPS Ehsan Marking yang akan dipasarkan ke dalam Dapur Ehsan UiTM dan sepenuhnya dioperasikan oleh mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam.

Menurut Profesor Dr. Mohd Sazili, usaha memperkasa kesejahteraan mahasiswa perlu melangkaui bantuan keperluan asas dengan menyediakan peluang kepada mereka membangunkan potensi diri dan meningkatkan keupayaan ekonomi secara berterusan.

“Kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar memastikan keperluan asas mereka terbela, tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan, membina kemahiran dan membentuk jiwa keusahawanan agar mereka mampu berdikari sejak di bangku universiti,” katanya.

Pelancaran Dapur Ehsan UiTM pula menandakan satu lagi pencapaian penting apabila FKA dipilih sebagai fakulti perintis Inkubator Keusahawanan MASMED melalui kerjasama PKPS, dengan operasi perniagaan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa FKA di bawah bimbingan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM.

Menerusi sokongan pembekalan dan pengoperasian daripada PKPS, mahasiswa diberikan tanggungjawab mengurus perniagaan sebenar merangkumi pengurusan stok, kewangan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan, sekali gus membentuk keyakinan, disiplin dan kemahiran membuat keputusan sebagai usahawan muda.

Pendekatan ini mendukung agenda keusahawanan UiTM dan KPT dalam melahirkan mahasiswa yang mampu mencipta peluang pekerjaan, selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan pembangunan graduan berdaya saing, inovatif dan berciri keusahawanan.

Sementara itu, Kiosk We Drink yang beroperasi melalui kerjasama Ar-Rizqi Fortune menjadi platform latihan keusahawanan bersasar khusus kepada mahasiswa daripada golongan asnaf dan keluarga B40, dengan menyediakan peluang pekerjaan sambilan serta latihan praktikal dalam pengendalian perniagaan minuman dan ais krim.

Melalui bimbingan industri secara langsung, mahasiswa terbabit bukan sahaja memperoleh pendedahan kepada operasi perniagaan, malah berpeluang membangunkan jati diri keusahawanan, keyakinan, kemahiran komunikasi dan sikap berdikari sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi selepas tamat pengajian.

Penglibatan persatuan dan kelab mahasiswa dalam aktiviti perniagaan di Pitstop HEP turut memperkukuh pembelajaran luar bilik kuliah melalui penerapan kemahiran kepimpinan, pengurusan kewangan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah dalam persekitaran perniagaan sebenar.

TETAMU jemputan bergambar di hadapan gerai Dapur Ehsan UiTM yang menjadi perintis kepada inkubator keusahawanan siswa UiTM melalui kerjasama strategik dengan industri.

Pelaksanaan Pitstop HEP @ FKA mencerminkan pendekatan strategik UiTM dalam mentransformasikan agenda kebajikan mahasiswa daripada penyediaan bantuan semata-mata kepada pembangunan keupayaan diri, penjanaan pendapatan dan pemerkasaan ekonomi secara lebih mampan.

Sinergi UiTM, PKPS dan Ar-Rizqi Fortune ini diharap menjadi model kerjasama universiti, kerajaan negeri dan industri dalam memperkukuh kesejahteraan mahasiswa serta melahirkan generasi muda yang berdikari, berjiwa usahawan dan berupaya mencipta peluang ekonomi sejak di bangku universiti.