Belum dikurniakan zuriat, jangan sampai cinta terlerai
Masalah kesuburan membawa cabaran emosi kepada pasangan. Komunikasi, sokongan bersama dan kasih sayang membantu mengekalkan keharmonian perkahwinan sepanjang penantian zuriat.

“DAH berapa tahun kahwin, masih belum ada anak?”
Soalan yang mungkin dianggap biasa ketika majlis keluarga sebenarnya boleh mengguris hati pasangan yang bertahun-tahun menantikan kehadiran cahaya mata. Di sebalik senyuman mereka, mungkin tersimpan kisah rawatan kesuburan yang belum berhasil, wang simpanan yang semakin berkurangan dan air mata yang tidak pernah diketahui orang lain.
Setiap kali keputusan rawatan tidak membawa berita gembira, pasangan perlu mengumpul kembali kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Namun, dalam kesibukan berusaha mendapatkan zuriat, ada sesuatu yang tidak kurang penting untuk dijaga, iaitu hubungan perkahwinan itu sendiri.
Cabaran di sebalik penantian
Persoalan bagaimana pasangan memelihara kasih sayang ketika berdepan masalah kesuburan menjadi tumpuan penyelidikan PhD saya di Universiti Sains Malaysia (USM). Kajian kualitatif ini melibatkan 12 pasangan, iaitu 24 individu daripada masyarakat Melayu, Cina dan India yang telah berkahwin lebih 10 tahun. Mereka mendapatkan rawatan di klinik subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Melalui temu bual mendalam, kajian mengenal pasti empat aspek penting dalam pengalaman pasangan mengekalkan perkahwinan, iaitu cabaran fizikal, emosi dan sosial; pandangan terhadap diri dalam hubungan intim; ketahanan menghadapi tekanan; serta cara menangani masalah bersama. Dapatan ini memperlihatkan bahawa usaha mendapatkan zuriat bukan hanya berkaitan rawatan perubatan, tetapi turut melibatkan kesejahteraan hubungan suami isteri.
Apabila tekanan terbawa ke rumah
Rawatan kesuburan seperti permanian beradas (IUI) dan persenyawaan in vitro (IVF) boleh menuntut masa, tenaga, perbelanjaan dan kesediaan emosi. Bayangkan seorang isteri pulang daripada rawatan dalam keadaan letih dan kecewa. Suaminya pula memilih berdiam diri kerana tidak tahu bagaimana hendak menenangkan keadaan.
Si isteri mungkin menganggap suaminya tidak memahami penderitaan yang dialami, sedangkan si suami sebenarnya turut bersedih. Jika keadaan ini berlarutan tanpa komunikasi, tekanan rawatan boleh menjejaskan hubungan.
Oleh itu, pasangan perlu belajar memahami bahawa kesedihan tidak semestinya diluahkan dengan cara yang sama. Ada yang menangis, ada yang berdiam diri dan ada yang cuba menyembunyikan perasaan demi menjaga hati pasangan.
Antara penemuan penting kajian ialah bagaimana masalah kesuburan boleh mempengaruhi keyakinan diri seseorang sebagai suami atau isteri. Ada individu mula merasakan dirinya tidak sempurna kerana belum mampu memperoleh zuriat.
Perasaan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan dan keselesaan dalam hubungan intim. Namun, hubungan suami isteri bukan semata-mata bertujuan mendapatkan anak.
Keintiman juga merangkumi kasih sayang, penerimaan, perhatian dan hubungan emosi. Sentuhan penuh kasih, perbualan yang jujur dan kesediaan memahami keperluan pasangan boleh membantu mengekalkan kedekatan walaupun rawatan belum berhasil.
Ketahanan dibina bersama
Kajian turut menunjukkan kepentingan ketahanan emosi, atau resiliensi, dalam menghadapi penantian yang panjang. Ketahanan bukan bermaksud pasangan tidak boleh bersedih atau kecewa.
Sebaliknya, ia melibatkan kemampuan menerima keadaan, mengurus emosi dan terus membina kehidupan bermakna bersama. Pasangan juga perlu mempunyai harapan yang realistik terhadap rawatan tanpa menjadikan kehadiran anak sebagai satu-satunya ukuran kebahagiaan perkahwinan.
Antara langkah yang boleh membantu ialah berkongsi tanggungjawab rawatan, membincangkan kewangan secara terbuka, mendapatkan sokongan keluarga dan menghadiri kaunseling apabila diperlukan. Keputusan penting seharusnya dibuat bersama, bukannya meletakkan seluruh beban kepada seorang pasangan.
Keluarga dan masyarakat juga mempunyai tanggungjawab menjaga perasaan pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Elakkan pertanyaan berulang tentang anak, gurauan yang menyakitkan atau menyalahkan mana-mana pihak.
Kadangkala, sokongan terbaik bukanlah memberikan nasihat panjang, tetapi menghormati privasi dan kesediaan mendengar. Bagi penyedia rawatan kesuburan pula, sokongan psikologi wajar diberikan perhatian bersama rawatan klinikal.
Walaupun kajian ini melibatkan kumpulan kecil dan tidak membuktikan satu formula yang sesuai untuk semua perkahwinan, pengalamannya memberikan pengajaran bermakna.
Penantian zuriat mungkin panjang dan penuh ketidakpastian, tetapi hubungan yang sihat tetap memerlukan rasa selamat, saling menghormati dan kasih sayang. Kerana rumah tangga bukan hanya tentang siapa yang bakal hadir sebagai anak, tetapi juga tentang dua insan yang berjanji untuk terus berjalan bersama, walaupun impian mereka belum menjadi kenyataan.

