Biasakan yang betul: Ketika masyarakat keliru antara kebiasaan dan kebenaran
Kesalahan yang dianggap biasa boleh merosakkan akidah dan integriti. Pembiasaan nilai benar, pendidikan serta keberanian menegur penting demi masyarakat berakhlak.
Oleh: DR. NIK MOHD ZAIM AB RAHIM
KITA hidup dalam zaman di mana kesalahan yang diulang-ulang akhirnya dianggap kebenaran. Lewat ke pejabat sepuluh minit dianggap biasa. Mengambil sedikit wang pejabat untuk fotostat peribadi dianggap tiada apa-apa. Memberi “duit kopi” untuk mempercepatkan urusan dianggap budaya.
Di media sosial pula, laungan “Universe, berikan aku rezeki” dan “Aku adalah pencipta realitiku” menjadi zikir harian sebahagian pempengaruh. Semua ini berlaku bukan kerana kita jahat, tetapi kerana kita telah membiasakan yang salah sehingga yang salah itu kelihatan betul.
Pepatah Arab ada menyebut, al-‘adah muhakkamah, adat kebiasaan itu boleh menjadi hukum. Kaedah fiqh ini benar, tetapi dengan syarat yang sangat penting iaitu adat tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Jika adat itu bercanggah dengan prinsip kebenaran, maka adat itu batil dan wajib ditinggalkan. Persoalannya hari ini, mampukah kita membezakan antara apa yang biasa dengan apa yang betul?
Fenomena ini berpunca daripada tiga sebab utama. Pertama, proses normalisasi sosial. Apa yang ditonton setiap hari di kaca televisyen dan media sosial akan membentuk realiti kita. Teori Cultivation menjelaskan apabila sesuatu mesej ditayangkan beribu kali, otak manusia akan menganggapnya sebagai norma. Apabila filem dan drama sentiasa memaparkan gaya hidup mewah hasil rasuah sebagai lambang kejayaan, secara tidak langsung rasuah itu dinormalisasikan.
Kedua, kejahilan yang berstruktur. Ramai yang melakukan kesalahan bukan kerana sengaja mahu melawan hukum, tetapi kerana mereka tidak tahu bahawa perbuatan itu salah. Contoh paling jelas dalam isu akidah kontemporari ialah amalan penyembuhan New Age. Ramai Muslim yang menyertai kelas Reiki, Theta Healing, atau Access Bars dengan niat untuk sembuh, tanpa menyedari bahawa di sebalik teknik tersebut terdapat kepercayaan bahawa tenaga alam semesta yang menyembuhkan, bukan Allah al-Syafi. Mereka menyebut nama alam, bukan nama Allah. Kesilapan ini berlaku kerana istilah-istilah tersebut dibungkus dengan bahasa yang indah seperti penyembuhan holistik dan ketenangan jiwa.
Ketiga, tekanan untuk selari dengan kelompok. Manusia secara fitrahnya takut untuk kelihatan berbeza. Apabila majoriti rakan sepejabat tidak mematuhi waktu kerja, individu yang datang tepat pada masanya akan berasa janggal. Apabila semua orang di dalam kumpulan WhatsApp mengamalkan zikir manifestasi untuk tarik rezeki, individu yang mempersoalkan akan dilabel kolot, tidak terbuka dan judgemental. Akhirnya, demi menjaga keharmonian palsu, kita memilih untuk diam dan turut membiasakan yang salah.
Apabila yang salah dibiasakan, kesannya sangat merosakkan pada tiga dimensi.
Dari sudut akidah, bahayanya ialah syirik yang halus. Islam mengajar kita konsep tauhid yang sangat jelas. Rezeki datang daripada Allah al-Razzaq, kesembuhan datang daripada Allah al-Syafi, dan segala urusan diserahkan kepada Allah melalui tawakkal. Namun, ajaran Law of Attraction yang kini menjadi kebiasaan mengajar bahawa manusia menarik rezeki melalui getaran (vibration) dan frekuensi pemikiran sendiri. Manusia diletakkan sebagai pusat kuasa. Secara perlahan-lahan, pergantungan kepada Allah digantikan dengan pergantungan kepada diri sendiri dan kepada alam semesta. Ini bukan lagi isu psikologi positif, ini adalah isu perpindahan akidah.
Dari sudut undang-undang dan integriti, kesan membiasakan yang salah melahirkan budaya rasuah yang sistemik. Kajian menunjukkan rasuah tidak pernah bermula dengan nilai jutaan ringgit. Ia bermula dengan pembiasaan kecil. Biasa menerima hamper hari raya daripada kontraktor. Biasa menggunakan kenderaan jabatan untuk urusan peribadi. Biasa meluluskan tuntutan tanpa semakan terperinci kerana kasihan kepada rakan. Apabila pembiasaan kecil ini tidak dibendung, ia akan menjadi budaya organisasi. Inilah yang cuba diperangi oleh kebanyakan negara maju.
Negara Emiriah Arab Bersatu, khususnya Abu Dhabi, memberikan contoh yang baik dalam membiasakan yang betul. Mereka tidak hanya melancarkan kempen anti-rasuah, tetapi mereka membina sistem yang memaksa kebaikan menjadi kebiasaan. Melalui sistem e-kerajaan, sistem perolehan terbuka, dan undang-undang integriti yang jelas, ruang untuk salah guna kuasa ditutup.
Pegawai tidak diberi peluang untuk membiasakan yang salah kerana sistem itu sendiri telah dibina untuk membiasakan yang betul. Ketelusan menjadi kebiasaan, integriti menjadi budaya. Hasilnya, Abu Dhabi konsisten berada di kedudukan teratas dalam indeks persepsi rasuah global. Ini membuktikan bahawa untuk membanteras kebiasaan yang salah, kita perlukan sistem yang menyokong kebiasaan yang betul.
Dari sudut psikologi sosial, apabila masyarakat gagal membezakan biasa dan betul, generasi akan datang akan mengalami kekeliruan identiti. Mereka tidak tahu di mana sempadan halal dan haram, benar dan batil. Mereka melihat agama hanya sebagai ritual yang boleh diubah suai mengikut selera. Maka lahirlah istilah-istilah pelik seperti zikir magnet rezeki, yoga sufi, dan mandi aura. Agama dijadikan produk untuk dijual, bukan panduan hidup untuk dipatuhi.
Justeru, bagaimana untuk kembali membiasakan yang betul?
Langkah pertama bermula dengan tarbiyah diri melalui pembiasaan mikro. Integriti tidak dibina melalui tindakan besar yang bermusim, tetapi melalui tindakan kecil yang konsisten. Biasakan bercakap benar walaupun pahit. Biasakan menepati masa kerana masa adalah amanah. Biasakan menolak hadiah yang boleh menjejaskan keputusan. Rasulullah SAW bersabda bahawa amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang konsisten walaupun sedikit. Inilah makna istiqamah dalam membiasakan yang betul.
Langkah kedua ialah membina sistem di peringkat keluarga dan institusi. Kebenaran perlu dijadikan prosedur operasi standard, bukan pilihan peribadi. Di rumah, biasakan anak-anak meminta izin sebelum mengambil barang orang lain, walaupun itu barang adik-beradik. Di pejabat, biasakan setiap keputusan direkod dan boleh diaudit. Apabila yang betul dijadikan sistem, maka yang salah akan sukar untuk menyelinap masuk. Prinsip ini selari dengan Maqasid Syariah dalam menjaga harta dan maruah.
Langkah ketiga dan paling mencabar ialah menghidupkan semula budaya amar makruf nahi mungkar dengan hikmah. Kita terlalu takut untuk menegur kerana bimbang hubungan menjadi renggang. Walhal, menegur adalah tanda kasih sayang. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Asr bahawa manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Membiasakan yang betul memerlukan keberanian untuk berkata, ini salah, walaupun tidak popular. Dan membetulkan yang biasa memerlukan kebijaksanaan untuk berkata, mari kita perbaiki dengan cara yang lebih baik.
Kesimpulannya, yang biasa tidak semestinya betul, dan yang betul tidak semestinya biasa. Tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini bukanlah untuk mengejar populariti dengan mengikut arus kebiasaan yang salah, tetapi untuk berani menjadi asing dengan mempertahankan kebiasaan yang betul. Perubahan besar dalam sejarah tamadun Islam sentiasa bermula dengan segelintir manusia yang berani membiasakan yang betul ketika orang lain selesa dengan yang biasa.
Maka, tanyalah pada diri kita hari ini. Adakah kita sedang membiasakan yang betul, atau sekadar membetulkan alasan untuk terus membiasakan yang salah?
* Penulis merupakan Penolong Pengarah/Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.

