Guru KAFA bukan sekadar pengajar tetapi pembina generasi

Guru KAFA berperanan membentuk akidah dan akhlak generasi Muslim, justeru pengiktirafan profesional serta pembangunan kerjaya mereka perlu diperkasakan.

Feature Image (3)

Oleh: RABIHAH ABD WAHAB

SETIAP ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka mengenali Allah SWT, mencintai al-Quran, menjaga solat dan memiliki akhlak terpuji. Namun, pernahkah kita bertanya siapakah antara insan yang bertanggungjawab membimbing asas keagamaan anak-anak ini sejak usia muda?

Di sebalik harapan tersebut, terdapat golongan pendidik yang saban hari mencurahkan ilmu, masa dan tenaga demi membentuk keperibadian generasi Muslim. Mereka ialah guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), insan yang peranannya sering dibicarakan, namun nilai profesionalisme mereka masih memerlukan pengiktirafan yang lebih menyeluruh.

Isu kebajikan dan imbuhan guru KAFA yang kembali mendapat perhatian masyarakat seharusnya membuka ruang perbincangan lebih luas. Persoalannya bukan sekadar jumlah elaun yang diterima, tetapi sejauh manakah profesion ini benar-benar diiktiraf sebagai komponen penting dalam ekosistem pendidikan Islam negara?

Hakikatnya, guru KAFA bukan sekadar tenaga pengajar yang menyampaikan sukatan pelajaran agama pada sebelah petang. Mereka merupakan pendidik yang memikul amanah membentuk asas akidah, membimbing pelaksanaan ibadah dan menyemai nilai akhlak dalam kehidupan anak-anak Muslim.

Peranan tersebut tidak terbatas kepada pengajaran membaca al-Quran, menghafaz doa atau memahami hukum-hakam agama. Guru KAFA turut membimbing murid memperbetulkan bacaan al-Fatihah, menyempurnakan solat, menghormati ibu bapa serta mengamalkan adab dalam kehidupan seharian. Pendidikan ini memerlukan kesabaran, penguasaan ilmu, kemahiran pedagogi dan kefahaman terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak.

Setiap murid hadir dengan latar belakang keluarga, tahap penguasaan dan keupayaan pembelajaran yang berbeza. Justeru, guru perlu bijaksana menyesuaikan pendekatan agar ilmu yang disampaikan bukan sekadar dihafaz untuk peperiksaan, tetapi difahami, dihayati dan diamalkan.

Dalam perspektif Islam, profesion mendidik mempunyai kedudukan yang mulia. Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11, bahawa Dia mengangkat darjat orang beriman dan mereka yang dikurniakan ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW juga turut bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 5027).

Dalil ini memperlihatkan kemuliaan ilmu dan tanggungjawab menyampaikannya. Namun, kemuliaan amanah tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan pengiktirafan profesional serta kebajikan pendidik agama. Keikhlasan mendidik dan keperluan mendapatkan pengiktirafan yang sewajarnya bukanlah dua perkara yang saling bertentangan.

Antara cabaran yang perlu ditangani ialah persepsi segelintir masyarakat yang melihat guru KAFA sekadar tenaga pengajar agama dengan waktu pengajaran yang lebih singkat. Hakikatnya, tanggungjawab guru tidak bermula dan berakhir di dalam bilik darjah.

Persediaan pengajaran, penyediaan bahan pembelajaran, pentaksiran, pengurusan rekod, komunikasi bersama ibu bapa dan bimbingan murid merupakan sebahagian daripada tugas pendidikan yang memerlukan komitmen berterusan. Oleh itu, sumbangan guru KAFA tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan tempoh pengajaran atau status perjawatan mereka.

Tambahan pula, perubahan landskap pendidikan masa kini menuntut guru KAFA menguasai kemahiran pedagogi moden, teknologi pendidikan, pengurusan tingkah laku dan pendekatan pembelajaran yang kreatif. Perkembangan media sosial serta kecerdasan buatan turut meningkatkan keperluan membimbing murid mengenal pasti sumber ilmu agama yang sahih. Keadaan ini membuktikan bahawa profesion guru KAFA mempunyai dimensi tanggungjawab yang semakin kompleks dan memerlukan pembangunan profesional secara berterusan.

Dalam masa yang sama, terdapat guru KAFA yang memiliki kelayakan diploma, ijazah sarjana muda dan pengajian pascasiswazah dalam bidang berkaitan. Sebahagian mereka turut terlibat dalam penyelidikan, inovasi pengajaran serta pembangunan pendidikan Islam. Kepakaran dan pengalaman ini merupakan aset yang sewajarnya dimanfaatkan melalui mekanisme pengiktirafan profesional yang lebih sistematik.

Pengiktirafan tersebut bukan bermaksud mewujudkan persamaan automatik dengan skim perkhidmatan perguruan lain, sebaliknya memastikan profesion guru KAFA memiliki standard kompetensi dan ruang pembangunan kerjaya yang bersesuaian dengan tanggungjawabnya.

Justeru, sudah tiba masanya tiga pendekatan utama dipertimbangkan. Pertama, pembangunan kerangka kompetensi profesional guru KAFA yang merangkumi penguasaan ilmu pendidikan Islam, kemahiran pedagogi, etika perguruan dan kecekapan teknologi pendidikan. Kerangka ini boleh menjadi asas kepada penilaian serta pembangunan profesionalisme secara berterusan. Kedua, peluasan pensijilan dan latihan perguruan bertauliah melalui kerjasama pihak berkuasa agama, institusi pendidikan tinggi dan institusi latihan perguruan.

Latihan berstruktur dapat memperkukuh kompetensi pendidik serta meningkatkan mutu pengajaran. Ketiga, pembentukan laluan pembangunan kerjaya yang lebih jelas berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kompetensi dan prestasi. Guru berpengalaman boleh diberikan peluang menjadi mentor, jurulatih atau pembimbing pedagogi kepada tenaga pengajar lain.

Cadangan tersebut memerlukan penelitian berdasarkan bidang kuasa, struktur pentadbiran dan kemampuan kewangan pihak berkepentingan. Walau bagaimanapun, usaha memartabatkan profesion guru KAFA perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan pendidikan Islam, bukan sekadar perbelanjaan tambahan. Bantuan kewangan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan sewajarnya dihargai, namun pengiktirafan profesional yang berterusan perlu menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan agama.

Masyarakat juga perlu mengubah cara menilai profesion guru agama. Nilai sesuatu profesion tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pendapatan atau kedudukan dalam hierarki pekerjaan semata-mata. Sumbangan guru KAFA mempunyai kesan yang melangkaui pencapaian akademik kerana mereka membantu membina asas keimanan, disiplin ibadah dan keperibadian generasi Muslim. Walaupun pembentukan akhlak turut dipengaruhi keluarga serta persekitaran, peranan guru agama tetap menjadi antara elemen penting dalam proses pendidikan tersebut.

Akhirnya, usaha meningkatkan kualiti pendidikan Islam tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan profesional tenaga pengajarnya. Kurikulum yang baik, kemudahan pembelajaran yang lengkap dan sistem pentaksiran yang berkesan tetap memerlukan guru yang kompeten untuk merealisasikan matlamat pendidikan. Justeru, kerajaan, pihak berkuasa agama negeri, institusi pendidikan dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan profesion guru KAFA terus diperkasa melalui dasar yang tersusun, adil dan mampan.

Jika kita benar-benar mahu melahirkan generasi yang mencintai al-Quran, memelihara akidah dan mengamalkan akhlak Islam, maka kita juga perlu memartabatkan golongan pendidik yang membimbing mereka ke arah tersebut. Guru KAFA bukan sekadar mengajar untuk memenuhi jadual pembelajaran, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan insan yang bakal mencorakkan masa depan ummah.

Memartabatkan guru KAFA bermakna memartabatkan masa depan pendidikan Islam negara.

* Penulis merupakan seorang GURU KAFA dan pelajar Program Sarjana Pengajian Islam di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.