56 pelajar UM dalami ilmu pertanian di Sumatera Utara
Program mobiliti antarabangsa membawa 56 pelajar Universiti Malaya mendalami pertanian mampan, meneroka industri agromakanan dan mengenali budaya Sumatera Utara.
KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Mendalami ilmu pertanian sambil mengenali budaya masyarakat Sumatera Utara menjadi pengalaman bermakna buat 56 pelajar Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) yang menyertai program mobiliti antarabangsa di Indonesia pada 2 hingga 6 Oktober lalu.
Sepanjang lima hari, pembelajaran mereka merentasi dewan kuliah, makmal dan ladang, sekali gus memberi peluang untuk melihat sendiri kaitan ilmu sains dengan kegiatan industri serta kehidupan masyarakat setempat.
Pengalaman itu diperoleh menerusi penyertaan dalam The 4th TALENTA-Agricultural Summer Course 2026 anjuran Fakultas Pertanian, Universitas Sumatera Utara (USU). Penyertaan delegasi berkenaan diselaraskan di bawah Portfolio Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Sains UM, yang menguruskan urusan mobiliti pelajar dengan kerjasama pihak USU.
Pensyarah pengiring dari Institut Sains Biologi, Fakulti Sains UM, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata, program itu memberi ruang kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan di luar bidang pengajian masing-masing dan memahami aplikasinya dalam situasi sebenar.

“Melalui pengalaman seperti ini, pelajar dapat melihat hubungan antara ilmu yang dipelajari dengan keperluan industri dan masyarakat. Mereka juga berpeluang bertukar pandangan serta belajar daripada pengalaman rakan di negara lain.
“Kita berharap penyertaan ini dapat membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan mengukuhkan keupayaan pelajar untuk bekerjasama dalam persekitaran yang berbeza,” katanya.
Bertemakan ‘Smart and Sustainable Agri-Food Systems: From Local Wisdom to Global Solutions’, program itu menggabungkan kuliah, aktiviti praktikal, lawatan industri dan pertukaran budaya dengan tumpuan kepada pertanian serta sistem makanan mampan.
Di Universitas Sumatera Utara (USU), peserta mengikuti sesi kuliah dan mengunjungi kemudahan akademik serta penyelidikan universiti berkenaan. Interaksi bersama pensyarah dan mahasiswa USU turut membuka ruang untuk berkongsi ilmu, mengenali suasana pembelajaran di sana dan menjalin persahabatan.
Pembelajaran diteruskan melalui lawatan ke PTPN IV Unit Adolina bagi melihat pengurusan ladang kelapa sawit dan operasi pemprosesannya. Pendedahan secara langsung itu membantu peserta memahami hubungan antara pengurusan tanaman, penggunaan teknologi dan pengeluaran hasil pertanian.
Kunjungan ke ladang serta kilang teh Bah Butong di Sidamanik pula memperkenalkan mereka kepada rantaian pengeluaran teh, daripada pengurusan tanaman hingga pemprosesan hasil.
Bagi pelajar Sains Ekologi dan Biodiversiti, Dhia Haziq Hanif, lawatan ke ladang memberi peluang untuk memahami aplikasi ilmu ekologi dalam pertanian, khususnya hubungan antara tanaman, persekitaran dan pengurusan sumber.
“Saya teruja dapat menambah pengetahuan mengenai pertanian dan melihat kaitannya dengan bidang yang dipelajari, termasuk memahami proses penghasilan minyak daripada buah kelapa sawit.

“Peluang berkenalan dengan pelajar USU serta berkongsi pengalaman belajar dan mengenali budaya masing-masing turut menjadikan program ini lebih bermakna,” katanya.
Pengalaman mengenali budaya tempatan diteruskan melalui kunjungan ke Pulau Samosir, termasuk menyaksikan persembahan Sigale-gale di Tomok. Selain menikmati keunikan warisan setempat, kunjungan itu membantu peserta memahami cara hidup masyarakat dan menghargai kepelbagaian budaya.
Melalui program ini, pihak HEP Fakulti Sains UM berharap pengalaman pembelajaran antarabangsa dapat membentuk mahasiswa yang berdikari, matang dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran.
Pelajar juga diharap dapat memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh dalam pengajian dan kehidupan seharian, di samping mengekalkan persahabatan yang terjalin sebagai asas kerjasama pada masa handapan.
Pada peringkat institusi, program berkenaan memperat hubungan antara Fakulti Sains UM dengan Fakultas Pertanian USU, khususnya dalam menyediakan peluang pembelajaran antarabangsa kepada mahasiswa.
Kerjasama itu diharap dapat diperluas menerusi mobiliti timbal balik pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta program pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
