Kemurungan bukan bukti lemahnya iman

Kemurungan bukan ukuran keimanan seseorang. Rawatan profesional, sokongan keluarga dan pendekatan Islam penting dalam membantu individu mendapatkan pemulihan.

Feature Image (4)

“DIA rajin solat, selalu ke masjid, tetapi mengapa masih mengalami kemurungan? Bukankah orang yang kuat iman sepatutnya sentiasa tenang?”

Persoalan seperti ini mungkin biasa didengar dalam masyarakat. Namun, bagi individu yang sedang bergelut dengan kemurungan, kata-kata tersebut boleh menjadi satu lagi beban yang menyakitkan.

Bayangkan seseorang yang sudah berminggu-minggu sukar tidur, hilang selera makan dan tidak lagi menikmati kehidupan. Ketika memberanikan diri meminta pertolongan, dia hanya menerima nasihat, “Kamu kena kuatkan iman.”

Akhirnya, dia bukan sahaja berdepan penyakit, malah mula menyalahkan diri kerana menganggap kemurungan sebagai bukti kegagalan beragama. Hakikatnya, kemurungan bukan ukuran keimanan seseorang.

Penyakit yang tidak memilih siapa

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan menjejaskan ratusan juta penduduk dunia. Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan kira-kira sejuta penduduk berusia 16 tahun ke atas, bersamaan 4.6 peratus, mengalami gejala kemurungan berdasarkan saringan populasi.

Di sebalik angka ini mungkin terdapat seorang ibu yang tetap menyediakan sarapan walaupun menangis sepanjang malam, seorang ayah yang kehilangan semangat bekerja atau pelajar yang semakin menyendiri.

Kemurungan bukan sekadar perasaan sedih. Ia boleh menjejaskan tidur, selera makan, tumpuan, tenaga dan kemampuan menjalankan kehidupan seharian. Puncanya juga kompleks, melibatkan gabungan faktor biologi, genetik, psikologi dan persekitaran. Oleh itu, tidak wajar seseorang dianggap kurang beriman hanya kerana mengalami gangguan kesihatan mental.

Islam tidak menafikan kesedihan

Al-Quran sendiri merakamkan pengalaman manusia menghadapi tekanan emosi yang berat. Dalam Surah al-Qasas, ayat 10, Allah menggambarkan kegelisahan hati ibu Nabi Musa AS selepas terpaksa berpisah dengan bayinya. Allah kemudian meneguhkan hatinya sehingga dia mampu menghadapi ujian tersebut.

Begitu juga Rasulullah SAW yang mengalami kesedihan mendalam apabila dakwah Baginda ditolak di Taif. Namun, dalam kesedihan itu, Baginda tetap menunjukkan belas kasihan dan pengharapan kepada Allah.

Kisah-kisah ini bukan bermaksud tokoh berkenaan mengalami kemurungan klinikal. Sebaliknya, ia mengajar bahawa kesedihan dan tekanan emosi tidak semestinya menggambarkan kelemahan rohani. Malah, Rasulullah SAW sendiri berdoa memohon perlindungan daripada keresahan dan kesedihan, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari. Jelaslah bahawa mengakui kesakitan emosi bukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Rawatan bukan tanda kurang tawakal

Dalam masyarakat, masih ada tanggapan bahawa kemurungan boleh diatasi hanya dengan memperbanyakkan solat, zikir atau membaca al-Quran. Amalan tersebut penting dalam kehidupan Muslim dan boleh menjadi sumber kekuatan spiritual. Namun, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak rawatan perubatan.

Sebagaimana pesakit diabetes memerlukan rawatan walaupun rajin beribadah, individu yang mengalami kemurungan juga mungkin memerlukan bantuan profesional. Rawatan boleh merangkumi terapi psikologi, termasuk terapi tingkah laku kognitif, serta ubat apabila diperlukan berdasarkan penilaian doktor.

Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap penyakit mempunyai ubat dan kesembuhan berlaku dengan izin Allah, sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim. Justeru, mendapatkan rawatan merupakan sebahagian daripada ikhtiar, bukannya tanda seseorang tidak bertawakal.

Berhenti menghukum, mulakan dengan memahami

Antara cabaran terbesar pesakit kemurungan ialah stigma masyarakat. Individu yang keletihan dianggap malas. Mereka yang menyendiri dilabel sombong, manakala mereka yang sukar menumpukan perhatian dikatakan tidak bersungguh-sungguh.

Lebih menyedihkan apabila penderitaan itu dikaitkan dengan kurangnya ibadah atau lemahnya hubungan dengan Allah. Sikap sebegini boleh menyebabkan pesakit malu mendapatkan bantuan dan memilih untuk menyembunyikan keadaan sebenar.

Sebalinya, kita boleh bertanya, “Apa yang sedang kamu lalui?” atau “Bagaimana saya boleh membantu?”

Dengarlah tanpa menghukum. Temankan mereka mendapatkan rawatan, bantu menguruskan keperluan harian dan berikan sokongan berterusan. Jika seseorang menyatakan hasrat mencederakan diri atau menamatkan kehidupan, ambil serius dan dapatkan bantuan kecemasan segera.

Iman dan ikhtiar boleh berjalan seiring

Kemurungan bukan pilihan seseorang, apatah lagi bukti bahawa Allah telah meninggalkannya. Seseorang boleh menjadi Muslim yang taat, namun tetap memerlukan rawatan, sokongan keluarga dan bantuan masyarakat.

Kepada mereka yang sedang berjuang, jangan malu mendapatkan pertolongan. Mencari rawatan bukan bermakna anda gagal sebagai seorang Muslim. Kepada masyarakat pula, berhentilah menjadikan penyakit sebagai ukuran hubungan seseorang dengan Tuhan.

Ini adalah kerana kadangkala, orang yang kelihatan paling lemah sedang berjuang dengan penuh keberanian untuk terus hidup, berdoa dan berharap kepada rahmat Allah.