Buli juga bencana yang melukakan jiwa

Buli dan bencana boleh meninggalkan trauma psikologi. Sokongan kaunseling serta intervensi kesihatan mental penting untuk memulihkan mangsa dan membina daya tahan.

Feature Image (3)

APABILA menyebut perkataan bencana, kita lazimnya membayangkan banjir, tanah runtuh, kemusnahan bangunan dan kehilangan nyawa. Tumpuan sering diberikan kepada jumlah kerosakan, kerugian harta benda serta bantuan kecemasan kepada mangsa.

Namun, di sebalik kemusnahan yang dapat dilihat, terdapat luka yang tidak mudah diubati, iaitu trauma psikologi.
Jika kerosakan fizikal boleh dibaiki, luka emosi yang tidak ditangani berisiko meninggalkan kesan berpanjangan. Hakikat ini bukan sahaja berlaku ketika bencana alam, malah turut mencerminkan satu lagi bencana senyap dalam masyarakat, iaitu buli.

Sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja atau ruang siber, buli bukan sekadar gurauan atau konflik biasa. Perbuatan itu boleh merampas rasa selamat, meruntuhkan keyakinan diri dan menjejaskan kesihatan mental mangsa.
Mangsa mungkin mengalami kebimbangan melampau, kemurungan, trauma serta kesukaran mempercayai orang lain. Dalam keadaan tertentu, tekanan berpanjangan juga boleh meningkatkan risiko mencederakan diri atau membunuh diri.

Justeru, buli perlu ditangani sebagai krisis yang memerlukan intervensi serius, bukan sekadar tindakan disiplin selepas sesuatu kejadian berlaku.

Perkara ini turut diketengahkan menerusi International Conference on Disaster Mental Health Counselling (ICDMHC) 2026 yang berlangsung pada 12 dan 13 Oktober lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bertemakan Memperkukuh Daya Tahan Psikologi Merentasi Setiap Fasa Bencana.

Persidangan itu mengingatkan kita bahawa sokongan kesihatan mental perlu menjadi sebahagian daripada pengurusan bencana dan krisis sosial, termasuk isu buli.

Pendekatan menangani krisis perlu bermula sebelum kejadian berlaku. Penerapan literasi kesihatan mental dan Bantuan Awal Psikologi (PFA) di sekolah serta komuniti dapat membantu orang ramai mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dan bertindak dengan sewajarnya.

Ketika krisis berlaku, keutamaan ialah memastikan mangsa berasa selamat, didengari dan mendapat bantuan segera. Selepas krisis, sokongan berterusan pula diperlukan bagi membantu mangsa memulihkan keyakinan diri, mengurus trauma dan membina semula kehidupan.

Matlamatnya bukan sekadar mengembalikan mangsa kepada keadaan asal, tetapi membantu mereka memperoleh kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Dalam era digital, teknologi turut membuka peluang lebih luas untuk menyediakan bantuan kesihatan mental. Kaunseling dalam talian, misalnya, membolehkan mangsa mendapatkan sokongan tanpa dibatasi jarak atau kekangan pergerakan. Platform digital juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan pendidikan kesihatan mental, panduan pengurusan emosi dan teknik mengatasi tekanan. Penggunaan data pula membantu pihak berkaitan mengenal pasti keperluan intervensi dengan lebih teratur.

Bagaimanapun, teknologi bukan pengganti sepenuhnya kepada sentuhan manusia. Kepekaan, empati dan pertimbangan profesional kaunselor tetap penting, khususnya ketika mengendalikan mangsa yang mengalami trauma serius.

Dalam usaha ini, kebajikan petugas barisan hadapan juga tidak boleh diabaikan. Kaunselor, ahli psikologi, guru bimbingan dan anggota penyelamat turut berhadapan tekanan apabila mendengar kisah penderitaan atau menyaksikan kejadian traumatik.

Pendedahan berterusan boleh menyebabkan keletihan emosi, kelesuan empati dan trauma sekunder. Oleh itu, organisasi perlu menyediakan sokongan psikologi serta ruang pemulihan bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik tanpa mengabaikan kesejahteraan diri.

Usaha membina masyarakat berdaya tahan juga memerlukan kerjasama erat antara penyelidik, pengamal kaunseling dan pembuat dasar. Dapatan kajian perlu diterjemahkan kepada program intervensi yang praktikal, manakala pengalaman di lapangan wajar dijadikan panduan untuk memperbaik dasar kesihatan mental dan pencegahan buli.

Sekolah, keluarga dan masyarakat pula perlu membina persekitaran yang membolehkan mangsa tampil mendapatkan bantuan tanpa takut dipersalahkan atau dipandang rendah.

Hakikatnya, kekuatan masyarakat bukan diukur berdasarkan keupayaan membina semula bangunan semata-mata, tetapi juga kemampuan memulihkan jiwa insan yang terkesan.

Bencana alam mungkin memusnahkan tempat tinggal, manakala buli boleh memusnahkan rasa percaya dan harga diri. Kedua-duanya memerlukan perhatian serius, sokongan berterusan dan tindakan yang berkesan.

Kaunseling kesihatan mental bukan sekadar usaha meredakan kesedihan, tetapi langkah membina semula harapan dan memulihkan nilai kemanusiaan.

Justeru, setiap cadangan dan perkongsian menerusi ICDMHC 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata demi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, berdaya tahan dan bebas daripada keganasan serta trauma yang boleh dicegah kerana luka yang tidak kelihatan juga memerlukan rawatan, dan setiap insan berhak mendapat peluang untuk pulih.