Keselamatan anak-anak tanggungjawab bersama

Keselamatan murid di kawasan sekolah memerlukan had laju 30 km/j, infrastruktur mesra pejalan kaki dan penguatkuasaan berterusan daripada semua pihak.

Feature Image (1)

KESELAMATAN kanak-kanak dan remaja ketika menggunakan jalan raya, khususnya dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah, seharusnya menjadi keutamaan dalam perancangan sistem pengangkutan negara. Persekitaran sekolah sepatutnya menyediakan ruang yang selamat, dengan kemudahan jalan raya yang mengambil kira keperluan dan keterbatasan pengguna muda.

Namun, kemalangan yang masih berlaku menimbulkan persoalan tentang keberkesanan langkah keselamatan sedia ada, sama ada dari aspek reka bentuk jalan, pengurusan lalu lintas mahupun penguatkuasaan undang-undang.

Menurut data Safe Kids Malaysia, daripada kira-kira 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan dalam suatu tempoh rujukan, lebih 1,000 kes melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah. Statistik ini menggambarkan besarnya cabaran keselamatan jalan raya yang dihadapi oleh golongan muda, khususnya apabila mereka berkongsi ruang jalan dengan kenderaan bermotor.

Insiden yang melibatkan seorang murid berusia 11 tahun yang cedera di luar Sekolah Kebangsaan Darau, Menggatal, Sabah, kembali menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Kejadian tersebut menyusuli beberapa tragedi lain sebelumnya, termasuklah kematian seorang pelajar Tingkatan Satu di kawasan sekolah di Kelantan, murid berusia lapan tahun yang maut dilanggar van berhampiran pintu masuk sekolah di Johor, serta kejadian murid cedera ketika melintas jalan.

Rentetan kejadian ini telah mendorong Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), menggesa kerajaan supaya segera mewartakan dan menguatkuasakan had laju maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah seluruh negara.

Namun, adakah dengan pengurangan had laju semata-mata cukup untuk menjamin keselamatan murid, atau sudah tiba masanya kita menilai semula keseluruhan pendekatan terhadap keselamatan jalan raya di kawasan sekolah?

Perkembangan Keselamatan Jalan Raya

Usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan sekolah bukanlah perkara baharu di Malaysia. Sejak sekian lama, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, termasuklah pemasangan papan tanda amaran sekolah, penyediaan lintasan pejalan kaki, pembinaan bonggol jalan serta penempatan pengawal lalu lintas di lokasi tertentu.

Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran murid tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas. Selain itu, program seperti Laluan Selamat ke Sekolah dan kempen keselamatan oleh pelbagai agensi bertujuan membentuk budaya penggunaan jalan raya yang lebih bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, tahap penyediaan kemudahan keselamatan masih berbeza antara sekolah, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar. Terdapat sekolah yang terletak berhampiran jalan utama dengan jumlah trafik tinggi, sedangkan kemudahan melintas jalan, laluan pejalan kaki dan ruang menurunkan murid dan pelajar masih terhad.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila kenderaan ibu bapa, bas sekolah dan motosikal bergerak dan tertumpu pada waktu yang sama. Kesesakan berhampiran pintu masuk sekolah bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik, malah meningkatkan risiko pertembungan antara kenderaan dengan murid yang berjalan kaki.

Pada Julai 2024, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya meluluskan dasar had laju 30 km/j di kawasan sekolah. Kementerian Pengangkutan kemudiannya memaklumkan usaha pewartaan had laju tersebut bagi jajaran jalan sepanjang 250 meter sebelum dan selepas pintu masuk sekolah.

Dasar ini merupakan perkembangan penting, namun kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang konsisten. Penetapan had laju perlu disertai penambahbaikan infrastruktur dan pemantauan berterusan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh murid.

Kepentingan Had Laju 30 km/j

Kanak-kanak mempunyai keupayaan yang berbeza daripada orang dewasa dalam menilai kelajuan kenderaan, menganggarkan jarak dan mengenal pasti bahaya lalu lintas. Mereka juga mungkin bertindak secara spontan, terutamanya ketika melintas jalan, bermain atau bergerak secara berkumpulan.

Dari perspektif kejuruteraan keselamatan jalan raya, kelajuan merupakan antara faktor utama yang menentukan kebarangkalian dan tahap keterukan kecederaan akibat perlanggaran. Semakin tinggi kelajuan kenderaan, semakin jauh jarak yang diperlukan untuk berhenti dan semakin besar tenaga hentaman yang terhasil.

Sebagai contoh, berdasarkan prinsip tenaga kinetik, sebuah kenderaan yang bergerak pada kelajuan 50 km/j mempunyai tenaga kinetik kira-kira 2.8 kali lebih tinggi berbanding kenderaan yang sama pada kelajuan 30 km/j. Perbezaan ini amat ketara kerana tenaga hentaman yang lebih tinggi boleh menyebabkan kecederaan lebih serius kepada pejalan kaki.

Pengurangan kelajuan juga memberikan masa tambahan kepada pemandu untuk mengenal pasti bahaya dan mengambil tindakan mengelak kemalangan. Hal ini penting di kawasan sekolah kerana pergerakan murid kadangkala sukar dijangka, khususnya apabila mereka keluar dari celah kenderaan yang berhenti atau melintas secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, keberkesanan had laju 30 km/j tidak seharusnya dinilai berdasarkan pemasangan papan tanda semata-mata. Jalan yang lebar, lurus dan mempunyai permukaan yang baik mungkin masih menggalakkan pemandu mengekalkan kelajuan tinggi walaupun terdapat arahan memperlahankan kenderaan.

Oleh itu, pengurangan had laju perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan yang lebih menyeluruh. Matlamat utamanya bukan sekadar memastikan pemandu mematuhi peraturan, tetapi mewujudkan persekitaran jalan raya yang dapat mengurangkan risiko kematian dan kecederaan serius apabila kesilapan manusia berlaku.

Ibrah Daripada Pengalaman Negara Luar

Jepun merupakan antara negara yang memberikan perhatian serius terhadap keselamatan murid melalui pelaksanaan program Zone 30 Plus. Inisiatif ini menggabungkan had laju maksimum 30 km/j dengan pendekatan reka bentuk jalan raya yang dikenali sebagai penenang trafik, termasuklah pembinaan bonggol jalan, penyempitan laluan dan penambahbaikan kemudahan pejalan kaki.

Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, sebanyak 249 kawasan Zone 30 Plus telah siap dilaksanakan sehingga akhir tahun fiskal 2025. Penilaian program ini turut menunjukkan pengurangan kejadian membrek secara mengejut serta penurunan peratusan kenderaan yang melebihi had laju 30 km/j.

Pendekatan Jepun menarik kerana perubahan fizikal jalan digunakan untuk mempengaruhi tingkah laku pemandu secara semula jadi. Selain itu, kerjasama antara pihak sekolah, polis, pihak berkuasa tempatan dan komuniti turut diperkukuh melalui pemeriksaan keselamatan bagi mengenal pasti persimpangan berbahaya, laluan sempit dan lokasi berisiko tinggi.

Di Korea Selatan pula, zon perlindungan kanak-kanak atau Child Protection Zones diwujudkan di sekitar sekolah. Berdasarkan Seksyen 12 Akta Lalu Lintas Jalan Raya negara tersebut, pihak berkuasa boleh menetapkan had laju tidak melebihi 30 km/j di kawasan perlindungan kanak-kanak.

Selain itu, kemudahan seperti lintasan pejalan kaki berwarna kuning, bonggol jalan, kamera penguatkuasaan dan papan tanda amaran yang jelas turut disediakan. Melalui undang-undang yang dikenali sebagai Min-sik Law, Korea Selatan memperketat hukuman terhadap kesalahan tertentu yang menyebabkan kemalangan melibatkan kanak-kanak di zon perlindungan tersebut.

Sementara itu, United Kingdom memperkenalkan pendekatan School Streets, iaitu mengehadkan kemasukan kenderaan bermotor ke jalan tertentu berhampiran sekolah ketika waktu murid datang dan pulang. Sekatan ini lazimnya bersifat sementara, dengan pengecualian tertentu bagi penduduk setempat, kenderaan kecemasan dan pengguna yang layak.

Di beberapa kawasan, termasuk London, kamera pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) digunakan bagi membantu penguatkuasaan. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kesesakan di pintu masuk sekolah, meningkatkan keselamatan pejalan kaki serta menggalakkan perjalanan aktif seperti berjalan kaki dan berbasikal.

Pengalaman ketiga-tiga negara memperlihatkan bahawa keselamatan murid memerlukan gabungan reka bentuk jalan, penguatkuasaan dan penglibatan komuniti. Pendekatan ini wajar dijadikan panduan kepada negara kita dengan mengambil kira keadaan setempat, khususnya perbezaan corak trafik, lokasi sekolah dan kemudahan sedia ada.

Langkah Penambahbaikan

Berdasarkan pengalaman antarabangsa, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan yang terlalu bergantung pada papan tanda kepada penyediaan persekitaran jalan raya yang secara fizikal menggalakkan pemanduan selamat. Langkah ini penting kerana penguatkuasaan semata-mata mungkin tidak mampu memastikan pematuhan secara berterusan.

Antara penambahbaikan yang boleh diberikan keutamaan ialah penyediaan lintasan pejalan kaki yang ditinggikan, bonggol jalan, penyempitan laluan serta kemudahan pejalan kaki yang terlindung. Kawasan mengambil dan menurunkan murid juga perlu dirancang dengan lebih tersusun bagi mengelakkan kenderaan berhenti secara berbahaya atau menghalang pandangan pengguna jalan raya.

Bagi sekolah yang terletak di kawasan perumahan, konsep School Streets boleh diuji secara berperingkat melalui penutupan sementara jalan tertentu ketika waktu puncak persekolahan. Pelaksanaannya perlu mengambil kira keperluan penduduk, akses kecemasan dan ketersediaan laluan alternatif supaya tidak menimbulkan masalah trafik baharu.

Selain penambahbaikan fizikal, pengawal lalu lintas wajar ditempatkan di lokasi berisiko tinggi, manakala penggunaan kamera penguatkuasaan automatik boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan pematuhan terhadap had laju.

Pada masa yang sama, audit keselamatan jalan raya perlu dijalankan secara berkala dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Audit ini bukan sahaja perlu menilai keadaan jalan, tetapi juga corak pergerakan murid, lokasi lintasan dan pengurusan kenderaan ketika waktu persekolahan.

Pendekatan Sistem Selamat (Safe System Approach) sewajarnya menjadi asas pelaksanaan. Prinsip utamanya ialah manusia boleh melakukan kesilapan, namun sistem jalan raya perlu direka supaya kesilapan tersebut tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan serius.

Pelaksanaan langkah penambahbaikan juga memerlukan jadual tindakan yang jelas, peruntukan kewangan mencukupi dan mekanisma pemantauan berkesan. Keutamaan perlu diberikan kepada sekolah berhampiran jalan utama, kawasan bertrafik tinggi dan lokasi yang pernah merekodkan kemalangan sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara.

Kesimpulannya, keselamatan murid di kawasan sekolah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, guru, pengusaha bas sekolah dan masyarakat. Sikap pengguna jalan raya juga perlu berubah, khususnya dalam mengelakkan amalan memandu laju, meletakkan kenderaan secara berbahaya dan mengabaikan keselamatan pejalan kaki.

Pelaksanaan had laju 30 km/j merupakan langkah penting, namun keberkesanannya bergantung pada penyediaan infrastruktur yang selamat, penguatkuasaan berterusan dan kesedaran masyarakat. Kejayaan sistem pengangkutan negara bukan sekadar diukur melalui kelancaran trafik, tetapi juga keupayaannya melindungi pengguna jalan raya yang paling terdedah, khususnya kanak-kanak.

Anak-anak yang melangkah keluar dari rumah untuk menuntut ilmu berhak kembali dengan selamat. Keselamatan mereka bukanlah satu pilihan, tetapi tanggungjawab bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata dan berterusan.