Dunia jadi bilik kuliah, mahasiswa UiTM Belajar erti kepimpinan

Lima wakil JPK Kolej Melati UiTM menyertai program antarabangsa di Indonesia bagi memperkasa kepimpinan, kemahiran digital dan jaringan mahasiswa global.

Feature Image (3)

WAKIL JPK Kolej Melati bergambar bersama Pengetua Kolej Melati sebelum berlepas ke Jakata pada 9 Julai 2026.

KEPIMPINAN mahasiswa kini tidak lagi terhad kepada dinding kampus dan sempadan negara. Pendedahan antarabangsa semakin dilihat sebagai pelengkap penting dalam membentuk graduan yang berdaya saing dan berpandangan global. Atas kesedaran itu, lima orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM), dijemput dan telah menyertai program pembangunan kepimpinan mahasiswa antarabangsa di Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Indonesia.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua JPK Melati, Nur Insyirah Mohamad Roslim. Mereka diiringi Pengetua Kolej Kediaman Melati, Profesor Madya Dr. Nor Aizam Adnan, yang turut bertindak sebagai penasihat dan pegawai pengiring rombongan.

Keistimewaan program ini ialah UNJ menaja penyertaan para pelajar JPK Melati di atas jalinan kerjasama yang baik yang telah terbina hampir tiga tahun bermula semenjak 2023 yang lalu melalui program pengantarabangsaan dan kepimpinan berimpak mahasiswa. Jemputan itu membuktikan kepercayaan pihak penganjur terhadap potensi dan keupayaan kepimpinan pelajar dari Malaysia.

Program empat hari tiga malam itu berlangsung dari 9 hingga 12 Jun 2026 di kampus UNJ, Jakarta, dan dianjurkan oleh Pejabat Antarabangsa (International Office) UNJ. Ia menghimpunkan wakil kepimpinan mahasiswa dari tujuh buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Nigeria, India dan Yemen.

Kepelbagaian latar budaya, bahasa dan pengalaman peserta menjadikan program ini ruang pertemuan yang kaya dengan pertukaran idea dan perkongsian pandangan. Program ini mengangkat tema “Culture, Innovation and Sustainability” atau Budaya, Inovasi dan Kelestarian. Tema tiga serangkai ini mencerminkan keperluan generasi muda masa kini untuk menghargai warisan budaya, menerima perubahan teknologi dan memikul tanggungjawab terhadap masa depan komuniti serta alam sekitar.

Pengisian program disusun dengan teliti bagi mengimbangi pembangunan intelek, kemahiran digital, kesejahteraan diri dan ketahanan fizikal. Para peserta didedahkan kepada sesi pembelajaran kecerdasan buatan (AI), reka bentuk dan pembangunan web, serta pemasaran digital yang kini menjadi antara kemahiran paling diperlukan dalam dunia pekerjaan dan keusahawanan.

GAMBAR peserta seramai 25 orang dari 7 negara berbeza ke program anjuran UNJ pada 9 hingga 12 Jun 2026.

Isu kesihatan mental dalam era digital turut diketengahkan melalui sesi digital mental health, selaras dengan kesedaran semasa tentang kepentingan menjaga kesejahteraan emosi dalam kalangan mahasiswa. Aktiviti sukan turut diadakan dan diakhiri dengan aktiviti luar berupa meredah jeram (water rafting) yang mencabar. Pengalaman ini menguji keberanian, kerjasama berpasukan dan keyakinan diri peserta daripada pelbagai negara dalam suasana yang santai tetapi bermakna.

Salah satu acara menarik dalam program ini ialah penglibatan Profesor Madya Dr. Nor Aizam Adnan sebagai penceramah jemputan. Beliau menyampaikan perkongsian selama dua jam bertajuk “Global Engagement Program” iaitu perkongsian aktiviti libat urus global yang boleh dirancang dan dilaksanakan bersama oleh mahasiswa dari pelbagai negara.

Dalam sesi itu, beliau membincangkan program pembangunan mahasiswa yang berimpak tinggi dan merentasi sempadan, serta peluang kerjasama antara institusi dan komuniti pelajar antarabangsa. Selain beliau, sesi perkongsian turut disampaikan oleh penceramah dari sebuah universiti di Vietnam dan pensyarah UNJ sendiri. Antara topik yang dikupas termasuk pemasaran digital, kesihatan mental digital dan pembelajaran AI, yang memberi perspektif pelbagai sudut kepada para peserta.

Dari perspektif institusi, penyertaan ini selari dengan aspirasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Hj. Mohd Shazili Shahibi. Program ini diharap dapat membentuk jati diri pelajar UiTM melalui interaksi dengan kepelbagaian latar belakang dan pengalaman mahasiswa dari negara berbeza, seperti Indonesia, Filipina, India, Yemen dan sebagainya.

Pertemuan dengan rakan dari budaya dan sistem pendidikan yang berlainan mengajar pelajar untuk menghormati perbezaan, berfikir secara lebih terbuka dan menilai diri sendiri dalam konteks yang lebih luas. Inilah yang diharapkan oleh JHEP UiTM dalam membentuk mahasiswa unggul, bukan sahaja di peringkat dalaman kampus dan negara, tetapi juga dalam jalinan antarabangsa yang membuka pintu kerjasama dan peluang masa hadapan.

KESEMU wakil mahasiswa dari tujuh negara berbeza semasa aktiviti di gelanggang sukan di UNJ.

Bagi pengarah program Kolej Melati iaiti Saudari Nur Insyirah, penyertaan dalam program ini memberikan pengalaman yang amat berharga dan meningkatkan keyakinan dirinya sebagai pemimpin mahasiswa. Beliau menyatakan bahawa peluang berinteraksi secara berdepan dan berkomunikasi dengan wakil dari enam negara lain membuka ruang pembelajaran yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Ilmu yang dikongsi, daripada kepimpinan, pengetahuan digital dalam pemasaran, kesihatan mental dan pembelajaran AI hinggalah aktiviti luar seperti sukan dan water rafting, dilihat membentuk keperibadian yang lebih seimbang.

Menurut beliau, pengalaman tersebut mendidik mahasiswa menjadi insan yang berketrampilan, berpandangan jauh dan bersedia menyumbang kembali kepada komuniti pada masa hadapan. Program ini membuktikan bahawa kepimpinan pelajar berkembang dengan lebih baik apabila dipertemukan dengan pengalaman global yang sebenar.

Kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, yang berkongsi rumpun budaya dan nilai yang rapat, turut memberi asas yang kukuh untuk jalinan hubungan mahasiswa di peringkat serantau dan antarabangsa. Dengan pengalaman, jaringan dan ilmu yang dibawa pulang, delegasi Kolej Melati diharap menjadi pemangkin kepada aktiviti pembangunan mahasiswa yang lebih dinamik di kolej masing-masing. Usaha sebegini wajar diteruskan, kerana pelajar hari ini ialah pemimpin masa depan yang akan menentukan hala tuju komuniti dan negara.