Krisis dalaman anak muda perlu ditangani melalui pengurusan ancaman
Budaya media sosial yang berasaskan validasi luaran secara berterusan menyebabkan ramai anak muda mula menilai harga diri berdasarkan penerimaan manusia.

SABAN tahun, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai kes pembunuhan tragis dan tindakan agresif yang melibatkan golongan muda. Fenomena ini bukan lagi boleh dilihat sebagai kes terpencil atau sekadar masalah disiplin sosial semata-mata, sebaliknya mencerminkan satu krisis yang lebih mendalam iaitu keruntuhan kestabilan dalaman manusia dalam mendepani tekanan kehidupan moden dan cabaran akhir zaman.
Apa yang membimbangkan, keganasan hari ini seperti telah mula ingin dinormalisasikan. Manusia semakin mudah hilang pertimbangan, cepat melenting, sukar mengawal emosi dan bertindak secara impulsif tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Dalam dunia yang terlalu pantas, bising dan sarat dengan lambakan maklumat, ramai anak muda kelihatan aktif dari sudut luaran, namun sebenarnya rapuh dari sudut dalaman. Mereka memiliki akses kepada pelbagai bentuk hiburan, teknologi dan maklumat tetapi dalam masa yang sama bergelut dengan keresahan, kesunyian emosi serta kehilangan arah hidup.
Hakikatnya, cabaran generasi muda hari ini bukan lagi sekadar kekurangan ilmu tetapi kesukaran membina kestabilan jiwa dalam dunia yang terlalu bergantung kepada perhatian luar dan budaya perbandingan sosial. Budaya media sosial yang berasaskan validasi luaran secara berterusan menyebabkan ramai anak muda mula menilai harga diri berdasarkan penerimaan manusia, bukan lagi berdasarkan nilai dan prinsip yang kukuh. Akibatnya, emosi menjadi semakin rapuh, fokus semakin terganggu dan kemampuan mengawal diri semakin melemah.
Dalam konteks ini, hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA menjadi sangat relevan untuk direnungi: “Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah hilangnya ilmu, banyak terjadi gempa, waktu seakan berjalan dengan cepat, timbul berbagai macam fitnah, al-Haraj iaitu pembunuhan dan harta melimpah ruah kepada kalian.” (HR Bukhari dan Muslim)
Hadis ini bukan sekadar menggambarkan tanda akhir zaman tetapi juga memberikan isyarat tentang kerosakan struktur dalaman manusia apabila ilmu gagal diterjemahkan menjadi panduan kehidupan dan kawalan diri. Manusia mungkin semakin maju dari sudut teknologi dan akses maklumat, namun tanpa pembinaan jiwa dan penghayatan nilai, kemajuan tersebut tidak semestinya membawa kepada ketenangan dan kematangan manusia.
Oleh sebab itu, langkah pertama yang perlu diperkasakan dalam diri anak muda ialah kekuatan iman dan penghayatan agama. Dalam Islam, ilmu bukan hanya berfungsi sebagai maklumat tetapi sebagai cahaya yang membentuk cara manusia melihat kehidupan, memahami tanggungjawab serta mengawal tindakan dirinya. Tanpa panduan wahyu, manusia mudah kehilangan kompas moral dan terperangkap dalam kehidupan yang hanya mengejar kepuasan sementara.
Konsep muraqabah misalnya iaitu kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati setiap tindakan manusia, mempunyai kekuatan besar dalam membentuk kawalan kendiri. Kesedaran ini melatih manusia untuk berfikir sebelum bertindak, mengawal hawa nafsu serta menahan diri daripada melakukan kerosakan walaupun berada dalam keadaan marah atau tertekan. Dalam dunia yang semakin kehilangan rasa malu dan pertanggungjawaban moral, muraqabah menjadi benteng penting dalam membina manusia yang berintegriti.
Selain aspek spiritual, kestabilan psikologi juga merupakan elemen yang sangat kritikal. Anak muda hari ini hidup dalam keadaan tekanan yang berterusan sama ada daripada tuntutan akademik, ekonomi, keluarga mahupun tekanan sosial di ruang digital. Namun, masalah terbesar bukan sekadar tekanan itu sendiri tetapi kegagalan mengurus tekanan secara sihat. Emosi yang dipendam tanpa saluran yang betul akhirnya boleh berkembang menjadi kemarahan, kebencian dan tindakan agresif.
Di atas sebab itu, kesedaran diri (self-awareness) perlu diperkukuhkan dalam kalangan generasi muda. Kesedaran diri bukan sekadar memahami emosi sendiri tetapi kemampuan mengenali kelemahan diri, membaca kesan tindakan serta membuat pertimbangan rasional sebelum bertindak. Anak muda perlu dilatih untuk membina kestabilan dalaman agar mereka tidak mudah dipengaruhi oleh emosi sementara, provokasi media sosial atau tekanan persekitaran.
Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mengubah stigma terhadap bantuan psikologi. Mendapatkan bantuan melalui sesi kaunseling, runding cara, sokongan keluarga atau bimbingan individu yang dipercayai bukanlah tanda kelemahan, tetapi sebahagian daripada usaha memelihara kesejahteraan jiwa. Budaya memendam tekanan dan berpura-pura kuat hanya akan meningkatkan risiko keruntuhan emosi secara perlahan.
Namun, kekuatan iman dan kestabilan emosi sahaja masih belum mencukupi tanpa kebijaksanaan menghadapi realiti kehidupan semasa. Oleh itu, anak muda juga perlu mempunyai survival mode yang sihat. Survival di sini bukan sekadar mempertahankan keselamatan fizikal tetapi kemampuan membaca persekitaran, membuat keputusan dengan matang serta menjaga diri daripada situasi yang berisiko.
Dalam dunia yang penuh manipulasi dan tipu daya, sikap terlalu mudah percaya, terlalu impulsif atau terlalu bergantung kepada emosi boleh membawa kepada pelbagai bentuk kerosakan. Anak muda perlu belajar bahawa berhati-hati bukan bermaksud hidup dalam ketakutan tetapi sebahagian daripada hikmah dalam menjaga nyawa, maruah dan masa depan diri.
Akhirnya, cabaran akhir zaman bukan sekadar ancaman terhadap keselamatan fizikal manusia tetapi ancaman terhadap jiwa, identiti, fokus dan makna kehidupan manusia itu sendiri. Dalam dunia moden yang berkembang terlalu pantas dan sarat dengan gangguan, manusia bukan hanya memerlukan ilmu tetapi juga kemampuan mengawal diri, memahami makna kehidupan dan membina kestabilan dalaman.
Justeru, persediaan mendepani dunia akhir zaman tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek luaran semata-mata. Ia mesti bermula dengan pembinaan manusia itu sendiri melalui kekuatan wahyu, kematangan berfikir, kestabilan emosi dan kebijaksanaan bertindak. Masa depan ummah bergantung kepada sejauh mana generasi muda mampu membina diri sebelum berusaha mengubah dunia di sekeliling mereka.

