Hentikan rantaian femisid dalam masyarakat

Pembunuhan berkaitan wanita atau femisid adalah manifestasi keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan yang paling kejam dan ekstrem.

Feature Image (3)

SETIAP kali berlaku kes pembunuhan tragis sama ada melibatkan lelaki atau wanita, kita hanya mampu untuk menunjukkan rasa terkejut dan kesal. Betapa murahnya nyawa manusia di sisi penjenayah pada masa kini. Kebiasaannya, dalam kebanyakan kes yang berlaku, golongan lemah sering menjadi sasaran, di samping wujudnya peluang bagi penjenayah dalam melaksanakan misi pembunuhan tersebut.

Di manakah silapnya kita? Apakah semua ini berpunca dari kegagalan didikan di peringkat rumah atau sekolah atau pengaruh persekitaran yang lebih luas. Apakah hanya anak perempuan dididik untuk menjaga diri dan maruah, sedangkan anak lelaki terbiar dan terabai dengan didikan dan adab hingga boleh bertindak di luar batasan?

Pembunuhan berkaitan wanita atau femisid adalah manifestasi keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan yang paling kejam dan ekstrem. Femisid (atau feminisid) dihuraikan sebagai pembunuhan sengaja dengan motivasi berkaitan gender. Ia berbeza daripada homisid, di mana motivasinya mungkin tidak berkaitan dengan gender.

Dalam laporan “Femicides in 2024: Global estimates of intimate partner/family member femicides (UNODC & UN Women)”, kadar jenayah femisid semakin membimbangkan. Dilaporkan sekitar 50,000 wanita dan kanak-kanak perempuan dibunuh pada tahun 2024 oleh pasangan intim atau ahli keluarga. Ia mewakili 60 peratus daripada keseluruhan 83,000 pembunuhan wanita di dunia.

Secara puratanya, seramai 137 wanita terbunuh setiap hari oleh orang terdekat di seluruh dunia. Berdasarkan laporan statistik jenayah 2025 oleh Jabatan Statistik Negara, kes pembunuhan dengan niat pada tahun 2022 adalah sebanyak 250 kes. Ia melibatkan lelaki seramai 194 orang dan wanita seramai 56 orang. Pada tahun 2023, kes pembunuhan yang dilaporkan adalah sebanyak 266 kes.

Ia melibatkan seramai 210 lelaki dan 56 wanita. Manakala pada tahun 2024, sebanyak 249 kes pembunuhan dilaporkan, dengan mangsa lelaki seramai 194 orang dan wanita sejumlah 55 orang. Purata kes bunuh dengan niat yang melibatkan wanita di Malaysia adalah sebanyak 2 orang setiap bulan.

Femisid didorong oleh diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, ketidaksamaan hubungan kuasa, stereotaip gender atau norma sosial yang berbahaya. Ia juga satu kesinambungan pelbagai bentuk keganasan yang saling berkaitan, sama ada di rumah, tempat kerja, sekolah, ruang awam atau dalam talian.

Ia turut melibatkan keganasan pasangan intim, gangguan seksual dan bentuk keganasan seksual yang lain dan dendam kesumat. Selain itu, tindakan femisid adalah kemuncak daripada episod siri keganasan berasaskan gender yang berulang dalam ruang domestik.

Realitinya, gejala femisid pada ketika ini semakin meruncing. Ia merujuk kepada peningkatan kes pembunuhan terhadap wanita, sama ada sebagai pasangan isteri, atau mantan isteri, kekasih, kenalan atau individu yang tidak dikenali. Ia didorong oleh rasa marah, benci dan cemburu serta motif membalas dendam atau jenayah. Akibatnya, mangsa ditikam, dipotong, dibakar dan dilukai hingga meregang nyawa. Siri demi siri kisah femisid ini menimbulkan kegusaran dan kegerunan dalam masyarakat betapa hilangnya sifat kemanusiaan masa kini.

Tegasnya, tindakan kejam ini perlu dibanteras secara tuntas kerana nyawa manusia sangat bernilai dalam Islam. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustasfa, menjaga nyawa merupakan tuntutan keutamaan yang lima (daruriyat al-khams) dalam hierarki daruriyyat bagi maqasid al-Syariah.

Penjagaan dari segi memelihara nyawa adalah dengan memilih tidak melakukan jenayah femisid. Jika diteliti dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 32: “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

Berdasarkan ayat tersebut, nilai nyawa manusia adalah sangat besar, umpamanya satu nyawa bersamaan keseluruhan nyawa manusia yang ada sama ada dalam situasi membunuh atau memelihara nyawa manusia. Sejajar dengan itu juga, tindakan femisid jelas bercanggah dengan hukum Islam kerana ia menjejaskan nyawa manusia. Akibat jenayah ini, pesalah boleh dijatuhkan hukuman qisas dan diyat dalam jenayah melibatkan nyawa manusia.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh pergaulan yang sangat unggul dalam berumahtangga. Dalam sabda baginda yang bermaksud: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya. (Riwayat Ibn Majah, no. hadis: 2053)

Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW seorang yang bertanggungjawab dan menerapkan contoh pergaulan yang baik dalam kalangan ahli keluarga. Malahan, tiada tindakan keganasan rumahtangga yang ditunjukkan. Sewajarnya, ia menjadi sunnah dan ikutan bagi umat Islam dalam kehidupan mereka.

Selaras dengan itu, rantaian kes femisid dalam masyarakat perlu dihentikan segera kerana ia merupakan tindakan jenayah dan dosa besar. Setiap pihak perlu tampil berperanan dalam menangani gejala ini.

Dalam hal ini, bukan sahaja anak perempuan yang perlu dididik untuk menjaga maruah dan diri, bahkan anak lelaki dituntut untuk dididik supaya mereka bertanggungjawab menghargai nyawa orang lain agar rasa cinta dan obsesi berlebihan tidak bertukar kepada rasa marah hingga mendorong pembunuhan kejam.