UM, UPSI hijaukan Hutan Simpan Kenderong dengan 300 pokok hutan
Program BELANTARA: “Bersama Lestari Alam” berlangsung di Kompartmen 41, Hutan Simpan Kenderong.
KUALA LUMPUR, 2 Mei 2026 — Universiti Malaya (UM) melalui Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti dengan menyertai program penanaman semula hutan merentas negeri.
Seramai 13 sukarelawan UMGC menyertai Program BELANTARA: “Bersama Lestari Alam” yang berlangsung di Kompartmen 41, Hutan Simpan Kenderong. Program tersebut dianjurkan oleh Exco Kesukarelawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Persatuan Kejuruteraan Perisian UPSI.
Penyertaan UMGC sebagai rakan kolaborasi mencerminkan semangat kebersamaan mahasiswa dalam menangani isu perubahan iklim global. Walaupun memulakan perjalanan seawal jam 3 pagi dari Kuala Lumpur, para sukarelawan tetap bersemangat menyertai lebih 60 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.
Hasil program itu, sebanyak 300 anak pokok berjaya ditanam, melibatkan 100 pokok Merbau, 100 pokok Meranti Temak Nipis dan 100 pokok Merawan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengetua KHAR, UPSI, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah. Pihak pengurusan KHAR turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan program tersebut, sekali gus memperkukuh jaringan antara universiti dalam usaha kelestarian alam sekitar.
Bagi UMGC, penglibatan ini memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa mengenai teknik asas penanaman serta pengurusan hutan secara lestari. Ia turut membuktikan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam memelihara keseimbangan ekosistem dan habitat hidupan liar.
UMGC akan terus mempergiatkan inisiatif kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat), yang menekankan usaha menangani perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti.

Kejayaan Program BELANTARA diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan pada masa hadapan demi kelestarian alam dan kesejahteraan generasi akan datang.
