Menyembuh luka-luka yang tidak kelihatan

Fitnah yang tersebar secara terbuka membuatkan mangsa merasakan reputasi mereka sedang dihakimi oleh orang ramai.

Feature Image (1)

BAYANGKAN satu pagi anda bangun, membuka telefon dan mendapati nama anda sedang “trending” bukan kerana kejayaan, tetapi kerana satu tuduhan yang anda sendiri tidak pasti dari mana datangnya. Dalam beberapa jam, mesej tersebar, tangkap layar dikongsi dan pelbagai versi cerita mula berlegar. Inilah realiti yang semakin biasa dalam dunia digital hari ini.

Fenomena fitnah di media sosial bukan lagi isu terpencil. Ia telah menjadi satu cabaran sosial yang serius, termasuk dalam konteks masyarakat Malaysia yang sangat aktif dalam penggunaan platform digital. Kepantasan penyebaran maklumat yang sebelum ini dilihat sebagai kelebihan, kini turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kesan psikologi yang mendalam kepada individu.

Apa yang sering kita lihat hanyalah permukaan komen, perkongsian dan reaksi. Namun di sebalik skrin, mangsa sedang melalui pengalaman emosi yang tidak semua orang fahami. Reaksi awal biasanya datang dalam bentuk kejutan, marah, malu dan keliru.

Ada yang menggambarkan perasaan ini seperti dijatuhkan di khalayak ramai tanpa sempat mempertahankan diri. Lebih memburukkan keadaan, fitnah yang tersebar secara terbuka membuatkan mangsa merasakan reputasi mereka sedang dihakimi oleh orang ramai, termasuk mereka yang tidak mengenali diri sebenar.

Kesan ini tidak berhenti di situ. Dalam jangka masa pendek, mangsa mungkin mengalami gangguan tidur, kesukaran memberi tumpuan dan kebimbangan berterusan. Namun yang lebih membimbangkan ialah kesan jangka panjang. Ada yang mula menjauhkan diri daripada pergaulan, hilang keyakinan diri dan menjadi lebih berhati-hati hingga sukar mempercayai orang lain. Dalam kes tertentu, pengalaman ini meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan iaitu satu luka yang tidak kelihatan, tetapi sangat dirasai.

Dari sudut kesihatan mental, tekanan akibat fitnah digital boleh mencetuskan pelbagai reaksi psikologi. Individu mungkin sentiasa berasa diperhatikan atau dinilai, walaupun keadaan sebenar telah reda. Keadaan ini menjadikan mereka lebih sensitif terhadap persekitaran dan mudah tertekan.

Jika berlarutan, ia boleh membawa kepada simptom kemurungan seperti rasa tidak berharga, hilang semangat dan keletihan emosi. Bagi mereka yang berdepan serangan berulang, kesannya boleh menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan harian.

Persoalannya, mengapa kita begitu mudah terkesan, walaupun komen tersebut datang daripada orang yang tidak dikenali? Jawapannya terletak pada sifat asas manusia. Kita semua mempunyai keinginan untuk diterima dan dihargai. Dalam masa yang sama, minda manusia secara semula jadi memberi lebih perhatian kepada perkara negatif berbanding positif.

Maka, satu komen negatif boleh melekat lebih lama dalam fikiran berbanding sepuluh komen yang baik. Apabila ia berlaku di ruang awam, tekanan itu menjadi berlipat kali ganda.

Dalam memahami fenomena ini, kita juga perlu melihat kepada pihak yang menyebarkan maklumat tersebut. Tidak semua bertindak dengan niat jahat, tetapi gabungan beberapa faktor boleh mendorong tingkah laku ini. Antaranya ialah keinginan untuk mendapat perhatian, terutama dalam budaya media sosial yang menjadikan “likes” dan “shares” sebagai ukuran pengaruh.

Tambahan pula, rasa “terlindung” di sebalik skrin boleh mengurangkan rasa tanggungjawab terhadap kesan tindakan sendiri. Dalam banyak keadaan, penyebaran maklumat tidak sahih berlaku bukan kerana niat, tetapi kerana sikap tergesa-gesa berkongsi tanpa menyemak.

Budaya viral pula mempercepatkan lagi keadaan ini. Dalam persekitaran digital yang pantas, ramai pengguna berasa terdorong untuk menjadi yang pertama menyebarkan sesuatu cerita. Tekanan untuk “ikut arus” menyebabkan kita jarang berhenti untuk bertanya, betulkah ini? perlukah saya kongsi? Siapa yang mungkin terkesan? Akibatnya, kebenaran sering kali tenggelam dalam arus sensasi.

Bagi mangsa, ada beberapa tanda awal tekanan emosi yang boleh diperhatikan. Antaranya ialah rasa gelisah setiap kali membuka media sosial, fikiran yang asyik memikirkan kejadian tersebut serta perubahan emosi seperti mudah tersinggung atau sedih tanpa sebab yang jelas. Ada juga yang mula mengelakkan interaksi sosial kerana takut berhadapan dengan persepsi orang lain. Tanda-tanda ini tidak boleh dipandang ringan.

Mengurus emosi dalam situasi ini memerlukan pendekatan yang bijak. Mengambil jarak daripada media sosial buat sementara waktu boleh membantu menenangkan fikiran. Ini bukan bermakna melarikan diri, tetapi memberi ruang kepada diri untuk pulih. Pada masa yang sama, penting untuk tidak bertindak secara impulsif, kerana reaksi yang terburu-buru boleh memburukkan keadaan. Berkongsi dengan individu yang dipercayai sama ada keluarga atau rakan sering kali menjadi langkah paling asas tetapi paling berkesan. Dalam situasi tertentu, mendapatkan bantuan profesional juga adalah langkah yang wajar.

Peranan sokongan sosial tidak boleh dinafikan. Apabila seseorang berasa didengar dan difahami, beban emosi menjadi lebih ringan. Sokongan ini membantu mangsa melihat situasi dengan lebih seimbang dan membina semula keyakinan diri. Sebaliknya, ketiadaan sokongan boleh menyebabkan individu berasa keseorangan dan lebih terdedah kepada kesan psikologi yang serius.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu melihat kesan jangka panjang terhadap masyarakat. Pendedahan berterusan kepada kandungan negatif boleh menyebabkan kita menjadi kurang sensitif terhadap perasaan orang lain. Lama-kelamaan, tingkah laku seperti mengecam, menghina atau menyebarkan fitnah boleh dianggap perkara biasa. Apabila ini berlaku, empati merupakan nilai yang menjadi asas hubungan manusia akan semakin terhakis.

Justeru, usaha pencegahan perlu bermula daripada diri kita sendiri. Amalan mudah seperti “berhenti seketika sebelum berkongsi” boleh menjadi perbezaan besar. Tanyakan tiga soalan: adakah ini benar, adakah ini perlu, dan adakah ini berpotensi menyakiti orang lain? Dalam jangka panjang, pendidikan literasi digital dan emosi perlu diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting. Anak-anak perlu dibimbing untuk membina daya tahan emosi dan kemahiran berfikir secara kritikal. Yang lebih penting, mereka perlu tahu bahawa rumah adalah tempat yang selamat untuk berkongsi, tanpa takut dihukum. Pendekatan yang seimbang dan tidak terlalu mengongkong tetapi tetap membimbing akan membantu mereka menghadapi dunia digital dengan lebih matang.

Akhirnya, bagi mereka yang pernah tersilap berkongsi maklumat tidak benar, ruang untuk memperbaiki diri sentiasa ada. Mengakui kesilapan, membetulkan keadaan, dan belajar daripadanya adalah tanda kematangan, bukan kelemahan. Dalam dunia yang semakin terbuka ini, setiap tindakan kita di ruang digital mencerminkan siapa diri kita.

Hakikatnya, di sebalik setiap akaun dan setiap komen, ada manusia sebenar dengan perasaan yang nyata. Dan kadangkala, satu perkongsian yang tidak disemak boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih besar daripada yang kita sangkakan.