Ibu, syurga dan sebuah pengorbanan
Ramai anak-anak yang menikmati hasil pengorbanan itu mula melihat ke belakang dan menilai ibu bapa dengan lensa yang tidak sepatutnya.

HARI ibu sering diraikan dengan bunga, hadiah, ucapan manis dan doa. Realitinya, tidak semua anak mempunyai hubungan sempurna dengan ibu mereka. Ada yang berdepan dengan perbezaan pendapat dan juga sikap ibu yang menguji kesabaran. Cabaran ini semakin berat apabila ibu mencapai usia tua, uzur atau nyanyuk.
Dalam keadaan sebegini, makna kasih bukanlah sekadar penghargaan tetapi kesanggupan untuk terus menyantuni dan menyayangi ibu hingga ke akhir hayatnya. Justeru, Islam sebagai agama yang syumul telah menyediakan panduan yang amat jelas bagi menghadapi situasi ini.
Hakikatnya, ramai ibu bapa membina kehidupan daripada kosong demi anak-anak mereka. Mereka mengorbankan masa, tenaga, dan wang ringgit agar anak-anak dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada diri mereka sendiri. Mereka tidak sempat mencari jati diri, memilih kerjaya idaman atau memahami emosi peribadi.
Sebaliknya, mereka terlalu sibuk untuk terus bertahan hidup demi mencari rezeki, membayar bil dan membesarkan anak-anak di tempat yang kadangkala asing, tanpa keluarga, tanpa wang dan tanpa sesiapa untuk dijadikan sandaran.
Dalam keletihan dan tekanan hidup, ibu bapa kita mungkin tidak selalu berkata-kata dengan lembut. Ada ketikanya mereka kurang memahami perasaan kita, bahkan kadang-kadang melakukan kesilapan. Namun di sebalik semua itu, mereka tetap berusaha melakukan yang terbaik dengan apa yang ada pada mereka.
Kini, ramai anak-anak yang menikmati hasil pengorbanan itu mula melihat ke belakang dan menilai ibu bapa dengan lensa yang tidak sepatutnya. Ada yang menyalahkan takdir kehidupan yang dilalui ibu bapa mereka, mempertikai kesungguhan mereka dalam memberi nafkah dan mempersoalkan mengapa kehidupan keluarga tidak seindah yang diimpikan.
Sebagai anak, janganlah kita bersikap begitu. Ingatlah, setiap susunan hidup yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya yang besar. Walaupun kadang-kadang kita tidak faham mengapa kehidupan kita atau ibu bapa kita begitu, yakinlah bahawa di sebalik setiap kepayahan itu tersembunyi kebaikan yang mungkin hanya akan kita fahami pada suatu hari nanti.
Allah SWT meletakkan perintah berbakti kepada ibu bapa seiring dengan tauhid. Dalam Surah al-Isra’ ayat 23, Allah berfirman agar manusia tidak menyembah selain-Nya dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Tafsir Ibn Kathir menjelaskan bahawa ini menunjukkan kedudukan ibu bapa yang sangat tinggi dalam Islam. Perintah ini bersifat mutlak, tidak terikat dengan syarat kesempurnaan ibu bapa. Bahkan dalam keadaan mereka memiliki kekurangan atau berada dalam kesukaran sekalipun, seorang anak tetap dituntut untuk terus berbuat baik kepada mereka.
Kisah Saad bin Abi Waqqas RA memberikan panduan penting. Ketika beliau memeluk Islam, ibunya mengugut untuk tidak makan dan minum sehingga mati. Namun Saad tetap teguh dengan akidahnya, sambil masih berbuat baik kepada ibunya. Lalu turun firman Allah dalam Surah Luqman ayat 15 yang mengajar: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
Ini menjadi prinsip penting, tidak semua perkara perlu ditaati, tetapi penghormatan tidak boleh hilang.
Rasulullah SAW pula menegaskan keutamaan ibu dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim iaitu: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah yang paling berhak mendapat layanan baik daripadaku?” Baginda menjawab: “Ibumu.”. Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Kemudian bapamu.”. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa keutamaan ini kerana pengorbanan ibu yang sangat besar, mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. Maka apabila ibu semakin tua, uzur atau berubah sikap, seorang anak tidak boleh hanya melihat kekurangan tersebut. Sebaliknya, lihatlah kembali lautan pengorbanan yang pernah diberikan.
Menjaga ibu yang uzur atau nyanyuk adalah ujian besar tetapi juga peluang besar. Dalam realiti masyarakat Malaysia, tidak sedikit kisah anak yang berdepan dengan ibu yang mudah lupa, sensitif atau mengalami demensia. Ada ibu yang mengulang soalan yang sama berpuluh kali sehari, ada yang tersalah menuduh anak mencuri barang sendiri dan ada yang merajuk tanpa sebab yang jelas.
Dalam keluarga yang sibuk bekerja di bandar, keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila masa terhad dan tekanan hidup semakin tinggi. Namun di sebalik semua kerenah ini, ia sebenarnya sebahagian daripada proses penuaan yang memerlukan empati, bukan kemarahan. Seorang anak yang memahami akan melihatnya sebagai ujian kasih sayang, bukan beban semata-mata.
Oleh itu, Islam mengajar adab yang sangat halus dalam menyantuni ibu. Antaranya ialah bercakap dengan lembut, tidak meninggikan suara dan tidak menunjukkan rasa bosan walaupun diuji. Seorang anak juga perlu membezakan antara ketaatan dan penghormatan, tidak wajib menurut perkara yang salah, tetapi tetap wajib menghormati. Jangan sesekali mengungkit jasa sendiri. Sebaliknya, terus berbuat baik walaupun tidak dihargai. Inilah akhlak yang diajar oleh al-Quran.
Untuk menjadi sabar, seorang anak perlu sentiasa mengingat pengorbanan ibu pada masa lalu. Bayangkan bagaimana ibu menjaga kita ketika kecil tanpa mengeluh dan penuh kasih sayang. Selain itu, dekatkan diri kepada Allah dengan doa dan zikir agar diberikan kekuatan. Doa seorang anak yang soleh sangat besar nilainya. Berkongsi tanggungjawab dengan adik-beradik juga boleh meringankan beban. Yang paling penting, jangan melihat penjagaan ini sebagai beban, tetapi sebagai jalan menuju redha Allah SWT.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah keletihan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, gangguan dan dukacita menimpa seorang Muslim, hatta duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosanya,” pula perlu dipahat dalam diri. Agar setiap keletihan menjaga ibu, setiap malam yang terganggu, setiap emosi yang ditahan, semuanya bernilai di sisi Allah.
Sesungguhnya, menyayangi ibu hingga ke akhir usianya adalah satu jihad yang sunyi. Tidak semua ibu itu sempurna, dan tidak semua anak juga sempurna. Namun hubungan antara anak dan ibu adalah ruang untuk memperbaiki diri, melatih kesabaran dan menanam kasih sayang. Selagi ibu masih ada, berusahalah untuk menghargai dan menyantuni mereka dengan sebaiknya. Kerana di situlah terletaknya keberkatan hidup, dan di situlah juga pintu menuju syurga Ilahi.

