Risiko tersembunyi plastik dalam makanan
Plastik pembungkusan terdedah kepada suhu tinggi dan berpotensi melepaskan bahan kimia ke dalam minyak.

KEHIDUPAN masa ini yang serba pantas menjadikan plastik seakan-akan “teman setia” dalam kehidupan harian. Daripada botol air mineral, bekas makanan bungkus, cawan kopi hinggalah pembalut makanan sejuk beku, plastik ada di mana-mana. Hal ini demikian kerana plastik menawarkan kemudahan melalui ciri-cirinya yang ringan, murah, mudah dibawa dan praktikal, sekali gus menjadikannya sukar dielakkan dalam penggunaan seharian.
Namun, kita sering terlepas pandang akan risiko yang tersembunyi di sebalik kemudahan ini.
Adakah semua plastik benar-benar selamat untuk makanan?
Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu. Pelbagai peringatan telah diberikan mengenai risiko penggunaan plastik sebagai bahan pembungkusan makanan, namun tahap kesedaran masyarakat masih belum menyeluruh. Kurangnya kesedaran atau sikap sambil lewa terhadap aspek keselamatan ini menyebabkan masih ada segelintir pihak yang memanaskan minyak masak bersama bungkusan plastik minyak paket. Dalam keadaan ini, plastik pembungkusan terdedah kepada suhu tinggi dan berpotensi melepaskan bahan kimia ke dalam minyak.
Secara fizikal, minyak tersebut mungkin kelihatan seperti biasa dan selamat digunakan, namun risiko pencemaran kimia tetap wujud. Keadaan ini membimbangkan, khususnya apabila minyak tersebut kemudiannya digunakan untuk menyediakan makanan panas bagi jualan kepada pelanggan.
Persoalan ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan saintis dan pakar kesihatan kerana pembuatan plastik melibatkan penggunaan bahan kimia seperti ftalat dan bisfenol A (BPA), yang sering dikaitkan dengan penggunaan plastik sebagai pembungkusan makanan.
Apa sebenarnya ftalat dan BPA?
Ftalat merupakan bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik yang berperanan menjadikan plastik lebih lembut, lentur dan fleksibel. Ia kebiasaan digunakan dalam pelbagai jenis produk plastik, termasuk sesetengah bahan pembungkusan makanan.
BPA pula ialah sebatian kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik keras dan lutsinar seperti botol minuman tertentu, bekas simpanan makanan serta lapisan dalam tin makanan dan minuman. Kedua-dua bahan ini memberikan manfaat peranan dalam pembuatan produk plastik dan bukanlah “racun segera” yang terus memudaratkan sebaik plastik digunakan.
Namun, sekiranya kurang kesedaran berkenaan bahan ini yang terkandung di dalam plastik, menyebabkan kita ambil sikap sambil lewa dengan penggunaan plastik dalam kehidupan harian. Apa yang membimbangkan ialah kebolehan bahan ini berpindah daripada pembungkusan ke dalam makanan melalui proses yang dikenali sebagai migrasi kimia.
Bagaimana bahan kimia ini boleh masuk ke dalam makanan?
Migrasi kimia ialah proses yang berlaku apabila bahan kimia daripada pembungkusan berpindah ke dalam makanan yang bersentuhan dengannya. Proses ini boleh berlaku dalam kuantiti yang kecil, namun risikonya boleh meningkat bergantung pada cara plastik digunakan.
Antara keadaan yang lazim berlaku dan berpotensi meningkatkan migrasi ftalat dan BPA ialah:
1. Makanan atau minuman panas dimasukkan terus ke dalam bekas plastik,
2. Plastik digunakan untuk memanaskan makanan dalam ketuhar gelombang mikro,
3. Makanan berlemak atau berminyak disimpan dalam plastik,
4. Bekas plastik digunakan berulang kali walaupun sudah rosak atau berubah bentuk.
Ringkasnya, semakin tinggi suhu, semakin lama tempoh simpanan dan semakin berminyak makanan tersebut, maka semakin tinggi potensi bahan kimia berpindah ke dalam makanan.
Mengapa perkara ini perlu diberi perhatian?
Bekas plastik yang kelihatan bersih bukanlah jaminan bahawa ia selamat digunakan. Ini merupakan tanggapan yang sering berlaku dalam kalangan pengguna; selagi bekas plastik tersebut kelihatan bersih dan masih boleh digunakan, ia akan terus digunakan, khususnya untuk penyimpanan makanan di rumah.
Hakikatnya, tidak semua plastik direka untuk menampung haba tinggi atau digunakan berulang kali bagi pemanasan makanan. Inilah salah faham yang sering berlaku dalam kehidupan seharian. Ada yang menuang sup atau kari panas ke dalam bekas plastik nipis, atau menggunakan bekas plastik untuk memanaskan makanan dalam ketuhar gelombang mikro walaupun bekas tersebut tidak mempunyai simbol yang menunjukkan ia selamat untuk tujuan tersebut.
Tindakan seperti ini mungkin kelihatan remeh, namun jika dilakukan berulang kali dalam tempoh yang panjang, ia berpotensi meningkatkan pendedahan kepada bahan kimia yang tidak sepatutnya masuk ke dalam makanan.
Perkara ini wajar diberi perhatian kerana kajian antarabangsa menunjukkan bahawa pendedahan berpanjangan terhadap ftalat dan BPA dikaitkan dengan gangguan hormon, kesan terhadap sistem reproduktif serta pelbagai risiko kesihatan lain. Walaupun pendedahan harian biasanya berada pada tahap rendah, usaha mengurangkan pendedahan secara konsisten tetap penting sebagai langkah pencegahan.
Perbincangan tentang bahan kimia yang terkandung dalam plastik tertentu ini bukanlah bertujuan untuk menakutkan pengguna atau mengajak orang awam meninggalkan penggunaan plastik sepenuhnya. Namun, perbincangan ini bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan tentang risiko yang mungkin tersembunyi pada penggunaan plastik dalam kehidupan serba moden ini, terutamanya dari sudut penyimpanan dan keselamatan makanan.
Semoga dengan sedikit pengetahuan ini, pengguna lebih faham akan penggunaan plastik dengan betul, tanpa mengabaikan risiko yang tersembunyi.
Langkah mudah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian
Beberapa amalan mudah boleh membantu mengurangkan risiko migrasi bahan kimia daripada pembungkusan makanan:
1. Elakkan menuang makanan panas terus ke dalam plastik nipis atau bekas yang tidak diketahui tahap keselamatannya.
2. Gunakan bekas kaca, seramik atau keluli tahan karat untuk makanan panas.
3. Pilih bekas yang berlabel food grade atau microwave safe.
4. Kurangkan penggunaan plastik sekali guna apabila boleh.
5. Jangan biarkan botol plastik terdedah lama dalam kereta panas atau bawah cahaya matahari.
Langkah ini mungkin nampak kecil tetapi kesannya besar jika diamalkan secara konsisten.
Kesihatan bermula daripada pilihan kecil
Kesihatan tidaklah bergantung semata-mata pada apa yang kita makan tetapi ia juga boleh disumbangkan oleh bagaimana makanan itu disimpan, dipanaskan dan dibungkus.
Perkara seperti memilih bekas makanan untuk penyimpanan atau pembungkusan seperti perkara yang remeh, namun ia sebenarnya memberi kesan besar kepada kesihatan dalam jangka panjang.
Sebagai pengguna, kita haruslah menjadi pengguna yang lebih peka, lebih berilmu dan lebih bijak dalam membuat pemilihan, bukan bermaksud menjadi pengguna yang menolak teknologi moden yang sedia ada.
Plastik sememangnya memudahkan hidup. Namun, pengguna yang bijak tahu bahawa bukan semua kemudahan wajar digunakan tanpa berfikir panjang.

