Huffaz profesional UNITEN perkasa penghayatan al-Quran warga emas

Peserta didedahkan dengan pengisian meliputi penerangan asas hukum tajwid, diikuti sesi praktikal bacaan al-Quran secara bersemuka.

Feature Image (4)

Oleh: NIK AMALENA NAJEBAH NIK AZMAN

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026 – Usaha memperkasa penghayatan al-Quran dalam kalangan komuniti terus diperkukuh menerusi penganjuran program Eksplorasi Tajwid: Menyelami Keindahan Al-Quran 5.0 yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Muadzam Shah baru-baru ini.

Program anjuran USDIC UBS KSHAS, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu merupakan penganjuran kali kelima, dengan edisi kali ini memberi tumpuan khusus kepada golongan warga emas.

Ia berjaya menarik penyertaan lebih 20 peserta dalam kalangan komuniti setempat bagi meningkatkan kefahaman serta penguasaan ilmu tajwid dalam pembacaan al-Quran.

Program berkenaan diterajui oleh sembilan pelajar Tahfiz, iaitu huffaz profesional yang sedang menuntut di UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dan diketuai oleh Nurin Amani binti Mohd. Hisham, sekali gus memberi ruang kepada golongan pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu.

Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam program sebegini bukan sahaja membuka peluang untuk berkongsi pengetahuan, malah turut memupuk nilai kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam diri mereka.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pengisian meliputi penerangan asas hukum tajwid, diikuti sesi praktikal bacaan al-Quran secara bersemuka bagi memperkukuh kefahaman. Selain itu, aktiviti interaktif Kotak Beracun turut diadakan bagi menguji tahap kefahaman peserta dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Program tersebut menerima maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan pendekatan pembelajaran yang digunakan sebagai mudah difahami dan berkesan.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UNITEN dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pemindahan ilmu kepada komuniti setempat, khususnya dalam memperkasa kesejahteraan rohani dan pembangunan sahsiah masyarakat.

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Pelajar, Nik Amalena Najebah Nik Azman berkata, penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan sebagai usaha berterusan dalam memperluas pemahaman ilmu Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat,” katanya.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi impak dari sudut peningkatan ilmu, malah berjaya merapatkan jurang antara generasi serta memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti melalui pendekatan pembelajaran yang inklusif dan berimpak tinggi.

*Penulis merupakan Pensyarah di UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional.