Kandungan podcast merintis berita, wahana pemikiran masyarakat moden
Bagaimana podcast mampu meraih perhatian penonton dari sudut kekuatan persembahan atau kandungan yang dihasilkan?

KEKUATAN kandungan podcast kini dilihat berupaya menjelmakan satu kupasan berita dan diterima sebagai sumber rujukan yang berasas serta menjadi tumpuan masyarakat dalam penerbitannya.
Penerbitan podcast atau audio siar bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia malah kewujudannya dirasakan semakin rancak dengan pelbagai genre selaras dengan konsep yang mendasari pembikinannya.
Melihat kepada populariti yang dikecapi maka tidak salah jika dikatakan bahawa penerbitannya kian diterima dan berfungsi sebagai salah satu media penyampaian yang mampu membawakan suatu pembaharuan dalam mendefinasikan sumber berita.
Sebelum mengulas lanjut, mungkin seeloknya terlebih dahulu kita telusuri bagaimana podcast mampu meraih perhatian penonton dari sudut kekuatan persembahan atau kandungan yang dihasilkan?
Apakah antara faktor yang menjadi tarikan dan berjaya memaut perhatian penonton? Sudah tentu ketelitian pemilihan isu semasa dan tanggungjawab kepada masyarakat menjadi asas dalam ke arah mana hendak dibawa sesebuah podcast tersebut?
Seakan program bual bicara (Talk Show) yang lain, podcast juga menyajikan perbincangan topik tumpuan yang terarah kepada sesuatu genre seperti politik, ekonomi, sosial dan hiburan secara amnya.
Pembahagian segmen atau pecahan isu juga dipraktikkan dengan gaya tersendiri iaitu berdasarkan olahan yang diadun dalam persembahan.
Perbualan santai dimulakan sebagai pembuka bicara sehinggalah menjurus kepada sesuatu topik utama yang cuba dirungkai daripada pelbagai sudut pandangan bergantung kepada persoalan yang ingin dikongsi dengan masyarakat penonton.
Perbezaan yang nyata ialah podcast dikendalikan secara atas talian dan mampu dikendalikan dengan agak mudah khusus berkenaan pemilikan, modal, kandungan mahupun corak pengendalian. Kini, podcast semakin berkembang mekar dipersada dunia penyiaran tempatan dengan gaya tersendiri dalam mengalunkan naratif yang menarik antara susunan sofa dan set mikrofon sebagai permulaan yang sukar dijangka pengakhirannya.
Bukan sahaja merungkai topik semasa malah terkadang kesimpulannya melepasi jangkauan pemikiran masyarakat melalui susunan bersahaja namun kreatif.
Kekuatan bukan sahaja bersandarkan dengan isu semasa yang dibicarakan tetapi kewibawaan pengacara dan pemilihan panel jemputan turut membawakan suatu penilaian yang berbeza dari sudut melayarkan idea kepada simpulan topik yang cuba dihuraikan.
Kebiasaannya pengacara atau pengendali podcast adalah mereka yang mempunyai latar belakang yang sama dengan genre yang dibawakan. Namun, ada juga yang menampilkan bakat baharu dalam persada pengacaraan dan usaha ini dilihat positif bagi melahirkan generasi pelapis dalam industri.
Pengalaman dan pembawakan yang ditampikan akan memberi impak tambahan kepada isu semasa yang dibawa memandangkan mereka pernah berada dan berpengetahuan perihal perjalanan yang mendasari kelangsungan situasi yang dibicarakan.
Begitu juga dengan panel jemputan adalah dikalangan mereka yang berwibawa dalam menganalisis persoalan isu semasa dengan berbekalkan kearifan pengalaman dalam bidang tertentu. Antaranya seperti politik, ekonomi, ehwal semasa, gaya hidup, hiburan dan pelbagai lagi.
Podcast bukan sahaja dapat menterjemah dan mendalami isu berdasarkan pandangan panel malah memungkinkan masyarakat mempunyai peluang untuk mengenali panel undangan tersebut. Hal ini kerana ruang masa yang agak luas diberikan kepada panel untuk berkongsi cerita latar belakang perjalanan kehidupan sehingga ke hari ini sebelum memulakan sesi merungkai isu semasa yang disediakan.
Perkara ini banyak membantu membina keyakinan penonton dalam usaha memahami karektor dan kebijaksanaan panel dalam perbincangan selanjutnya. Reputasi individu dan kebolehan mengulas isu bakal memberikan kebolehpercayaan dalam membina naratif penilaian terhadap topik kepada masyarakat penonton.
Ternyata, podcast bukanlah merupakan hasil penerbitan yang tanpa arah tujuan. Penerbitannya melibatkan penelitian buah fikiran dan percikan ilham dalam menyusun kandungan dengan susunan yang baik untuk manfaat penonton terutamanya podcast yang memfokuskan isu semasa yang melibatkan aspek pembangunan negara dan pembinaan jati diri insan.
Pada sudut pandangan yang lebih luas dan ke hadapan, hal ini telah berupaya menjadikan podcast sebagai salah satu sumber berita dalam manifestasi kebaikan kepada masyarakat. Topik perbincangan yang segar dalam membuka minda masyarakat melalui kesesuaian topik dengan bidang kepakaran panel jemputan. Ditambah dengan kecerdasan pengacara dalam menimbang sudut pandangan dan kebijaksanaan menjelmakan pencarian jawapan.
Secara umumnya, terdapat pelbagai teori yang mendasari pemilihan sesuatu berita jika kita rangkumkan bagi membuat justifikasi tentang andaian peristiwa yang berlaku dan penentu pemilihan berita. Dalam sehari, mungkin terdapat ratusan kejadian malah ribuan peristiwa yang berlaku di serata dunia namun tidak semuanya bakal dilaporkan sebagai berita untuk dihebahkan kepada umum.
Secara praktiknya, sudah tentu berita yang dipilih mempunyai nilai dan kriteria yang menyerlah dalam sesuatu konteks tatapan umum. Ada juga pendapat mengatakan bahawa nilai berita tidak bersifat semula jadi namun merupakan pemilihan dan ciptaan manusia bersandarkan suatu peristiwa atau situasi dalam membawakan pandangan dengan cara yang tersendiri.
Antara kriteria yang perlu adalah berkenaan kejelasan sesuatu perkara. Perkara yang diperbincangkan tersebut haruslah mudah difahami oleh masyarakat dan fokus pada sesuatu maksud sahaja tanpa boleh menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan khalayak.
Dengan kata lain, ia haruslah dapat diterangkan dengan jelas dan sempurna dari sudut maksud asal tanpa menimbulkan sebarang keraguan pada pemikiran masyarakat penonton atau pun pembaca.
Selain itu, pemilihan juga kebiasaannya berteraskan perkara yang melibatkan jangkaan terhadap sesuatu kemungkinan yang bakal dihadapi pada masa akan datang. Kejelasan berkenaan jangkaan ini turut menjadi tarikan berita jika dilaporkan dengan kesesuaian peristiwa yang dihadapi oleh masyarakat.
Banyak podcast yang mengambil pendekatan berkenaan jangkaan bagi sesuatu isu dalam kupasan mereka. Seperti contoh, jangkaan terhadap situasi kos sara hidup ekoran krisis yang berlaku di Timur Tengah dan cabaran masyarakat dalam mendepaninya.
Hakikat yang penting dalam pertimbangan berita adalah sumber rujukan daripada individu tertentu yang dikenali dengan kepakaran mereka dalam sesuatu bidang. Hal ini dilihat mempunyai nilai berita kerana individu yang dijemput sebagai panel kebiasaannya adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai pengaruh dan berkaliber dalam menyantuni pendapat hingga mampu memberikan kesan langsung kepada masyarakat.
Daripada beberapa pertimbangan dalam pemilihan berita dari kandungan podcast, jelas menunjukkan bahawa penilaian terhadap beberapa kriteria sebelum dijadikan bahan berita untuk disiarkan tidaklah semudah yang difikirkan. Perlu ada tafsiran yang jelas dalam membezakan antara penyampaian fakta dan kelangsungan pendapat individu bagi mengelakkan kekeliruan terhadap sesuatu berita.
Perkara asas yang perlu dijadikan panduan adalah seperti nilai berita, sumber berita dan keperluan maksud serta tujuan yang jelas dalam penyampaian berita kepada masyarakat.
Memang benar bahawa podcast berjaya menarik minat masyarakat untuk menonton dan menyelami sesuatu isi kandungan dengan suasana berbeza berdasarkan pelbagai sudut pandangan. Tentu sekali dari kandungan tersebut terdapat kesesuaian untuk dijadikan sandaran pemilihan berita dari sumber yang pasti.
Namun, dengan lambakan podcast dalam dunia tanpa sempadan ini perlu difikirkan jua berkenaan manfaat dan relevan pengisian kandungan yang ada. Memang hal ini tidak salah, namun begitu dalam setiap hasil penerbitan akan terletaknya tanggungjawab di akhirnya. Yang utama adalah tanggungjawab dalam membina pemikiran kritis masyarakat dan sumbangan terhadap pembinaan insan serta kelestarian tamadun yang bermakna.

