UiTM Kampus Puncak Alam dan Rembau perkasa komuniti
UiTM menganjurkan Program Kepenggunaan 3B di Rembau bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penipuan kewangan, hak pengguna dan perlindungan pengguna.
KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui kerjasama strategik antara UiTM Kampus Puncak Alam dan UiTM Kampus Rembau meneruskan inisiatif pemindahan ilmu kepada masyarakat setempat menerusi pelaksanaan Program Kepenggunaan 3B Komuniti Rembau: Bijak Urus Wang, Bijak Urus Belanja Dan Bijak Elak Scam.
Siri ketiga yang bertemakan “Bijak Elak Scam” ini memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan kewangan serta kepentingan memahami hak dan perlindungan sebagai pengguna.
Program yang berlangsung pada 11 November 2026 ini menampilkan penglibatan dua agensi penting, iaitu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan.
Kolaborasi ini mencerminkan kepentingan perkongsian kepakaran antara institusi pengajian tinggi dengan agensi penguatkuasaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan praktikal kepada masyarakat.
Kenali Scam, Lindungi Diri
Sesi ceramah pertama bertajuk “Kenali Scam – Lindungi Diri” telah disampaikan oleh Sarjan Muhammad Fadhil Hanafi Jauri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Rembau. Ceramah ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai modus operandi penipuan yang semakin berleluasa, termasuk penipuan dalam talian, penyamaran sebagai pihak berkuasa, penipuan pelaburan dan transaksi kewangan digital.
Peserta turut diberikan panduan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penipuan, mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan transaksi dalam talian serta tindakan yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa scam. Perkongsian ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih peka, berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan yang semakin kompleks.
Kenali Hak Anda: Tribunal Tuntutan Pengguna
Sesi kedua pula menampilkan ceramah bertajuk “Tribunal Tuntutan Pengguna” yang disampaikan oleh Tuan Kamarul Azmi Kamaruzaman, Ketua Seksyen Tribunal Pengguna, KPDN Negeri Sembilan. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi dan peranan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai saluran alternatif bagi pengguna mendapatkan penyelesaian terhadap tuntutan berkaitan pembelian barangan dan perkhidmatan.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk hak pengguna, jenis tuntutan yang boleh dikemukakan, prosedur pemfailan tuntutan serta kepentingan menyimpan resit dan bukti transaksi. Pendedahan ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa pengguna bukan sahaja perlu bijak ketika berbelanja, malah perlu mengetahui saluran yang tersedia untuk melindungi hak mereka apabila berhadapan dengan isu atau pertikaian kepenggunaan.
Memperkukuh Sinergi Universiti dan Agensi Strategik
Pelaksanaan Siri 3 ini turut memperlihatkan komitmen bersama UiTM Kampus Puncak Alam dan UiTM Kampus Rembau dalam memperluas agenda pemindahan ilmu dan tanggungjawab sosial universiti. Penglibatan warga akademik daripada kedua-dua kampus membolehkan kepakaran dan sumber institusi digabungkan bagi menghasilkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Kerjasama dengan IPD Rembau dan KPDN Negeri Sembilan pula memperkukuh penyampaian ilmu melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam aspek keselamatan kewangan, penguatkuasaan dan perlindungan pengguna.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan melalui Muzium Rembau, Pertubuhan Wanita Penajeh Rembau, Persatuan Sahabat Prihatin Kota serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Rembau. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti dalam memperluas akses masyarakat kepada pendidikan kewangan dan kepenggunaan.
Penglibatan rakan strategik ini bukan sahaja membantu memperkukuh jaringan kerjasama dan penyertaan masyarakat setempat, malah membolehkan perkongsian ilmu disampaikan secara lebih inklusif kepada pelbagai kumpulan sasaran, khususnya golongan wanita, keluarga dan warga emas. Melalui pendekatan ini, masyarakat berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus kewangan, mengawal perbelanjaan serta mengenal pasti risiko penipuan kewangan yang semakin berleluasa.
Kerjasama pelbagai pihak ini turut memperlihatkan kepentingan sinergi antara universiti dan komuniti dalam memastikan ilmu yang dikongsi tidak terhenti pada sesi ceramah semata-mata, sebaliknya dapat dimanfaatkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan, bijak berbelanja dan berdaya tahan terhadap cabaran kepenggunaan.

Secara keseluruhannya, Siri 3: Bijak Elak Scam melengkapkan usaha pemerkasaan komuniti melalui tiga komponen utama Program 3 Bijak, iaitu pengurusan kewangan, perbelanjaan berhemah dan perlindungan daripada penipuan. Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang lebih celik kewangan, bijak membuat keputusan serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.
Program ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Puncak Alam dan Kampus Rembau dalam menjadikan universiti sebagai rakan strategik komuniti ke arah pembentukan masyarakat yang lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan terlindung daripada ancaman penipuan kewangan.
