Kajian lapangan bentuk pelajar geografi berfikiran kritis

Kedua-dua kursus teras ini turut ditawarkan di Jabatan Geografi, iaitu Sarjana Muda Geografi dan Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar.

Feature Image

Oleh: DR. AMIRAH SARIYATI MOHD YAHYA dan DR. NUR SYABEERA BEGUM NASIR AHMAD

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026 – Projek penyelidikan tahun akhir dan latihan industri merupakan dua komponen kursus yang akan dihadapi oleh kebanyakan pelajar yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Kedua-dua kursus teras ini turut ditawarkan di Jabatan Geografi, iaitu Sarjana Muda Geografi dan Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar. Projek penyelidikan tahun akhir ditawarkan semasa pelajar berada di tahun tiga manakala Latihan Industri ditawarkan semasa pelajar berada di tahun empat.

Sehubungan dengan itu, persediaan awal adalah penting bagi memastikan para pelajar bersedia dengan proses penyelidikan bagi mengambil kursus projek penyelidikan tahun akhir serta diberi pendedahan kepada tatacara kerja berorganisasi serta diperkenalkan dengan pihak industri, sebagai contoh Agensi Kerajaan.

Kedua-dua proses ini diperkenalkan dalam kursus Kajian Kelestarian di Lapangan semasa pelajar berada di tahun dua. Kesinambungan ini merupakan satu tatakelola penyusunan kursus yang baik di mana memberi ruang kepada pelajar untuk memahami proses terlebih dahulu sebagai persediaan kepada cabaran yang lebih besar.

Merujuk kepada sinopsis kursus Kajian Kelestarian di Lapangan ini, kursus ini memperkenalkan situasi sebenar di luar dewan kuliah yang melibatkan kawasan kajian yang telah dipilih. Bagi Sesi 2025/2026 ini, kursus ini telah berjaya dijalankan di Pulau Langkawi, Kedah selama 7 hari 6 malam bermula pada 25 April 2026 yang lalu.

Kursus yang melibatkan 66 orang pelajar Pengajian Alam Sekitar bersama 2 orang pensyarah pengiring (Dr. Amirah Sariyati Mohd Yahya dan Dr. Nur Syabeera Begum Nasir Ahmad) telah berjaya mendedahkan pelajar kepada proses penyelidikan seperti persediaan borang soal selidik, memilih data satelit serta menganalisis data tersebut melalui perisian ArcGIS dan lain-lain lagi.

Teknik-teknik kajian lapangan termasuk penggunaan pelbagai alat pengukuran seperti GPS, suntoklinometer, pancang jajar, penimbang tangan dan lain-lain lagi. Pendedahan kepada proses dan teknik seperti ini adalah bentuk aplikasi dari teori yang telah dipelajari di dalam bilik kuliah yang pastinya akan membantu pelajar untuk mengenal pasti sama ada mereka lebih menjurus ke arah kajian yang melibatkan manusia atau kerja lapangan yang melibatkan persekitaran fizikal mahupun penggunaan perisian untuk menganalisis data seperti ArcGIS sebagai contoh.

Sepanjang kajian lapangan juga pelajar turut menimba pengalaman bagaimana cara bekerja di bawah tekanan serta cara menyelesaikan sebarang permasalahan sekiranya berhadapan dengan konflik semasa mendapatkan data atau memproses data mentah yang telah diperoleh di lapangan.

Di samping itu, mendekatkan jurang di antara pihak industri khususnya Agensi Kerajaan menjadi salah satu agenda utama di dalam kajian lapangan ini. Di mana di dalam sinopsis kursus terdapat keperluan untuk mendapatkan taklimat daripada Agensi Kerajaan atau bukan perlulah dicapai.

Berikutan dengan itu, satu bentuk seminar bersama Agensi Kerajaan terpilih di dalam Daerah Langkawi juga telah diadakan. Menerusi seminar ini, pelajar telah berjaya memperoleh maklumat secara langsung daripada Agensi Kerajaan terpilih mengenai urus tadbir pembangunan mampan serta kualiti alam sekitar di Daerah Langkawi.

Pelajar juga telah dapat berkenalan terus dengan pegawai-pegawai kanan yang mampu menjadi rujukan kepada mereka mengenai hala tuju kerjaya mereka selepas tamat pengajian kelak.

Secara keseluruhannya, kajian lapangan ini membuktikan bahawa pendedahan awal terhadap aspek kelestarian bukan sekadar satu keperluan akademik, malah merupakan instrumen penting dalam membentuk jati diri pelajar yang kritis. Melalui kursus ataupun subjek kajian lapangan ini, jurang antara teori yang dipelajari di dalam dewan kuliah dengan realiti cabaran alam sekitar di lapangan dapat dirapatkan.

* Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.