UPSI laksana e-Perkasa SPM 2026 bantu 664 anak warga ATM
Inisiatif pendidikan strategik Yayasan LTAT membantu anak-anak warga ATM membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) menyempurkan gimik perasmian Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti pendidikan negara apabila diberi kepercayaan melaksanakan Program e-Perkasa SPM 2026, inisiatif pendidikan strategik Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membantu anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan Yayasan LTAT dalam memastikan kebajikan pendidikan keluarga ATM terus diperkasa menerusi akses kepada pembelajaran berkualiti dan sokongan akademik yang menyeluruh.
Beliau berkata kerjasama strategik melibatkan institusi pendidikan tinggi seperti UPSI mampu memperluaskan peluang pendidikan kepada anak-anak warga ATM, khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan bagi meningkatkan pencapaian akademik.
“Program seperti e-Perkasa SPM bukan sahaja membantu meningkatkan kesiapsiagaan pelajar menghadapi peperiksaan, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, motivasi serta masa depan generasi muda keluarga ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan LTAT termasuk sumbangan berjumlah RM376,488 kepada UPSI bagi pelaksanaan Program e-Perkasa SPM 2026.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, peningkatan penyertaan daripada 80 pelajar pada tahun lalu kepada 664 pelajar tahun ini membuktikan keyakinan tinggi Yayasan LTAT terhadap keupayaan universiti itu menyediakan sokongan akademik yang sistematik, berstruktur dan berkualiti.
Dr. Md Amin berkata program berkenaan bukan sekadar platform tuisyen dalam talian, sebaliknya menjadi model intervensi pendidikan digital yang menyeluruh menerusi penggunaan teknologi pembelajaran, analisis prestasi, pemantauan akademik dan pendekatan mentor-mentee.
“UPSI komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju pendidikan negara dengan menterjemahkan kepakaran akademik, pedagogi dan khidmat komuniti kepada program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya keluarga ATM,” katanya.

Program e-Perkasa SPM 2026 dilaksanakan bermula April hingga Oktober 2026 menerusi pendekatan pembelajaran digital melibatkan lima mata pelajaran teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI dipertanggungjawabkan sebagai fakulti pelaksana utama dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn. Bhd.
Antara komponen utama program ialah kandungan pembelajaran komprehensif, analisis prestasi pelajar, intervensi akademik awal, laporan analitik pembelajaran serta dashboard pengurusan bagi memastikan setiap pelajar menerima sokongan mengikut tahap pencapaian masing-masing.
