Hiburan perlu selaras dengan garis panduan Islam

Persoalannya adakah hiburan merupakan perkara yang diharamkan secara total dalam Islam?

Feature Image (3)

Oleh: MUHAMMAD ‘AMMAR HAMIDI dan DR. MUHAMMAD SAFWAN HARUN

BARU-BARU ini, kecoh diperdebatkan tentang penganjuran konsert hiburan yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Bintang. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pihak sekretariat Tourism Malaysia menganjurkannya sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Pertikaian dalam kalangan masyarakat Muslim terutamanya terhadap penganjuran tersebut adalah kerana menganggap ia tidak mencerminkan Malaysia sebagai negara Islam sekalipun bertujuan mempromosikan negara kepada pelancong luar. Berita ini menjadi lebih hangat apabila isu ini mula dipolitikkan susulan penglibatan serta sokongan daripada pihak berkenaan.

Sebelum itu lagi, beberapa himpunan aman untuk menyatakan bantahan juga telah dilaksanakan supaya konsert tersebut dibatalkan. Selain asas agama, bantahan tersebut dibuat kerana melihat ia tidak berfaedah dan tidak menyumbang kepada nilai moral dalam mencorakkan keperibadian masyarakat.

Dari sudut kebudayaan Melayu juga dilihat sama sekali bercanggah dengan nilai kesopanan dan ketertiban kerana secara faktanya mana mungkin dalam sebuah konsert nyanyian dan tarian, pengunjung akan berada dalam keadaan sopan dan tertib. Demikian, isu penganjuran oleh badan kerajaan yang sepatutnya memperkenalkan identiti Islam telah berarah kepada mempromosikan budaya barat.

Persoalannya adakah hiburan merupakan perkara yang diharamkan secara total dalam Islam? Dalam menjawab persoalan tersebut, perkara asas adalah dengan kembali meneliti fitrah seorang manusia yang terbentuk dengan akal dan nafsu. Hiburan menjadi salah satu keinginan nafsu manusia. Dari segi psikologinya, hiburan penting bagi menstabilkan tekanan emosi seperti tekanan ketika bekerja, tekanan ketika belajar dan seterusnya mengelakkan keletihan mental.

Dari sudut neurosains, otak manusia dicipta bersama sistem rangsangan antaranya dengan merembeskan hormon dopamin. Seterusnya dopamin akan menjana reward signal yang akan membantu tubuh untuk positif, tidak bosan, bersemangat untuk melakukan sesuatu.

Bukan itu sahaja, dalam konteks kehidupan di dunia pun disebutkan beberapa kali di dalam al-Quran sebagai lahwu, wa la’ib yang bermaksud permainan dan senda gurau. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa dunia sebagai tempat tinggal manusia yang bersifat hiburan serta diciptakan manusia juga secara nalurinya untuk berhibur.

Namun, dalam ayat yang sama juga mengingatkan manusia bahawa kesenangan di dunia tidak lain hanya sementara manakala kesenangan di akhirat adalah yang kekal. Walaupun manusia sememangnya memerlukan hiburan, namun bukan bermaksud hiburan menjadi salah satu daripada tujuan hidup manusia. Sebaliknya, hiburan itu hanya bersifat keperluan sampingan semata-mata.

Seterusnya berkaitan keharusan hiburan, Allah SWT berfirman dalam surah An-Naml ayat 69: “Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.”

Daripada ayat ini apabila dilakukan refleksi kepada konteks semasa, maka mengembara boleh diertikan sebagai melancong. Jika diluaskan pengertiannya, melancong merupakan salah satu hiburan atau keseronokan.

Buktinya bahawa melancong dan berhibur berkongsi tujuan yang sama iaitu untuk menenangkan fikiran dan menggembirakan hati. Namun demikian, di akhir ayat tersebut, diperintahkan kepada manusia untuk menginsafi akan kesudahan orang-orang yang berdosa. Ini menunjukkan bahawa dalam masa berhibur juga seharusnya perlu sentiasa mengingati Allah SWT.

Keharusan untuk berhibur menurut Islam juga dapat dibuktikan daripada hadis Nabi SAW antaranya tentang kisah sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah RA. Beliau takut tergolong daripada golongan orang munafik kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT ketika berhibur bersama keluarga.

Nabi SAW bersabda mafhumnya, “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.” (Riwayat Sahih Muslim)

Berikutnya sebuah hadis sahih daripada Ummul Mukminin Siti ‘Aisyah RAnha iaitu isteri Nabi SAW bahawa beliau pernah berhibur bersama Nabi SAW. Mafhum daripada hadis tersebut, ‘Aisyah RAnha berkata: “Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk. Baginda SAW berkata kepada sahabat-sahabat lain: “Pergi dahulu”, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata kepada ku: Mari ke sini (baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskan mu. Siti ‘Aisyah berkata: Lalu aku telah menewaskan baginda. Lalu baginda SAW hanya mendiamkan diri. Sehingga tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk dan aku pun sudah terlupa akan peristiwa itu. Aku telah keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian musafirnya. Lalu baginda berkata kepada orang ramai: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata: Mari ke sini. Aku akan menewaskan mu. Kali ini, baginda telah menewaskan aku. Baginda pun tertawa dan berkata: Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu)”.

Daripada ayat al-Quran dan hadis berikut, jelas menjadi bukti bahawa Islam tidak melarang manusia untuk berhibur malah mengharuskannya. Namun, Islam meletakkan garis panduan yang berfungsi bukan sahaja sebagai panduan malah batasan dalam berhibur. Demikian tujuannya tidak lain untuk mencegah daripada berlaku kefasadan dan membawa maslahah kepada manusia. Jadi, hiburan dapat dibahagikan kepada hiburan yang menepati syarak dan hiburan yang tidak menepati syarak.

Secara ringkas hiburan yang menepati syarak adalah hiburan yang mengikut garis panduan yang ditetapkan dan tidak menyalahi tuntutan agama. Manakala hiburan yang tidak menepati syarak adalah yang padanya unsur yang menyalahi agama, prinsip dan ajarannya seperti unsur haram, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, aktiviti yang mendedahkan aurat, menggunakan kata-kata yang tidak sopan dan lucah, mempersendakan agama, unsur syirik dan sebagainya.

Oleh itu, jelaslah bahawa hiburan bukan semata-mata dengan menyertai konsert tarian dan nyanyian. Terdapat banyak pilihan untuk berhibur termasuklah aktiviti membaca buku, bersukan, bermain permainan video, membeli-belah dan sebagainya. Malah, terdapat juga hiburan yang menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti majlis zikir, qasidah dan sebagainya.

Dalam hal ini, naratif berhibur perlu dijernihkan semula dengan merujuk neraca syarak. Ini bermaksud, sebarang aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan kepada hubungan sesama manusia dalam keadaan dibenarkan syarak boleh dianggap sebagai hiburan. Bukanlah hiburan yang dibenarkan sekiranya dilakukan hanya sekadar mencapai “keseronokan tanpa tujuan”. Di sinilah perbezaan antara hedonisme dan hiburan yang dibenarkan syarak.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu menggunakan akal dengan dipandu wahyu untuk memilih hiburan yang menepati syarak dan tidak melampaui batas yang ditetapkan. Batas tersebut sekali lagi bukan tujuan untuk menyekat nilai kebebasan manusia. Sebaliknya, kebebasan manusia itu sendiri tertakluk dengan kapasiti seorang hamba yang terikat kepada Tuhannya dengan aturan demi meraikan kemaslahatan dan kebaikan kepada umat sejagat.

Sebagaimana kata-kata daripada Syeikh Ramadan al-Buti bahawa “kebebasan menurut fitrah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan sifat perhambaan manusia kepada Allah SWT, bahkan dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, maka ia semakin mengangkat tinggi fitrah kemanusiaan”.

Oleh demikian, Islam datang membawa hukum syariah sebagai peraturan kepada manusia dan tujuannya untuk mencapai maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Sebagai kesimpulan, Islam adalah cara hidup dengan meraikan naluri manusia yang sentiasa inginkan keseronokan. Oleh itu, Islam membenarkan manusia untuk berhibur tetapi dengan garis panduan yang telah ditetapkan dan menjauhi unsur yang diharamkan. Umat Islam wajib meyakini akan kesempurnaan syariat Islam yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

Islam diturunkan bukanlah untuk menafikan kebebasan manusia tetapi bertujuan untuk memastikan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Maka, semua pihak perlu merujuk garis panduan hiburan daripada pihak berautoriti yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10-11 Februari 2015.

Dalam surah al-Ahzab ayat 36, maksudnya, “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

* Penulis adalah dari Jabatan Fiqh-Usul & Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.