Santuni pasanganmu dengan berhikmah

Wajib bagi suami isteri untuk mempelajari, memahami dan yang paling utama melaksanakan prinsip tersebut dalam kehidupan berumah tangga.

Feature Image (6)

TUJUAN perkahwinan dalam Islam adalah untuk merasai ketenangan antara suami dan isteri serta membina hubungan dengan kasih sayang. Namun, realiti yang berlaku saban hari melalui kes-kes yang dipaparkan di media sosial membuktikan masyarakat kini sedang berdepan krisis yang kritikal dalam menangani konflik rumah tangga dan hubungan suami isteri. Terbaharu, terdapat kes seorang suami memukul isteri sehingga mengalami kecederaan parah malah menyebabkan keguguran kandungan.

Mengapa perkara ini terus berlaku? Di manakah silapnya? Keadaan ini menunjukkan bahawa sebahagian masyarakat semakin jauh daripada penghayatan dan pengamalan Islam yang sebenar serta gagal memahami konsep rumah tangga menurut syariat. Dalam hubungan suami isteri, Islam telah mengajarkan prinsip pergaulan yang baik antara pasangan yang dikenali sebagai mu‘asharah bil ma‘ruf.

Oleh itu, wajib bagi suami isteri untuk mempelajari, memahami dan yang paling utama melaksanakan prinsip tersebut dalam kehidupan berumah tangga. Hal ini supaya kedua-dua pihak dapat menjalani kehidupan bersama berdasarkan panduan dan aturan yang benar menurut syariat Islam. Konflik dalam rumah tangga sememangnya tidak dapat dielakkan kerana kehidupan merupakan satu ujian. Namun, apabila prinsip tersebut diamalkan dengan sebaiknya, setiap konflik dapat dihadapi dan diselesaikan dengan lebih matang, bijaksana dan harmoni.

Salah satu prinsip pergaulan yang baik antara suami dan isteri ialah melayani pasangan dengan sopan santun, kelembutan dan kasih sayang. Hal ini kerana pasangan merupakan insan yang paling dekat dan rapat dengan kita. Mereka juga ialah individu yang sentiasa bersama serta menjadi antara orang terawal yang membantu dan memberikan sokongan ketika susah dan senang. Oleh itu, sewajarnya pasangan menerima layanan yang baik, penghormatan dan kelembutan daripada pasangannya sendiri.

Persoalannya, bagaimana Islam mengajar seorang suami untuk menyantuni isterinya dengan penuh hikmah? Pertama, suami merupakan ketua keluarga sebagaimana yang termaktub dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 (maksudnya): “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita”.

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Aẓim (1999, 2:243) mentafsirkan ayat tersebut dengan menjelaskan bahawa suami berperanan sebagai ketua, pelindung dan pemimpin dalam keluarga. Namun demikian, kepimpinan tersebut bukanlah “tiket” untuk suami mengambil kesempatan atau berlaku zalim terhadap isteri. Sebaliknya, Islam menekankan konsep pergaulan yang baik, mesra dan penuh ihsan antara suami dan isteri.

Walaupun suami diberikan autoriti dalam mengemudi rumah tangga, kuasa tersebut tidak bermaksud suami bebas bertindak sesuka hati terhadap isteri. Kepimpinan seorang suami merujuk kepada tanggungjawab untuk memimpin, mendidik, melindungi dan menafkahi keluarga dengan penuh hikmah serta kasih sayang, bukannya mendominasi melalui kekerasan, penderaan atau keganasan.

Islam menjelaskan bahawa ukuran seorang lelaki yang baik bukanlah semata-mata dilihat daripada kebaikannya di luar rumah atau di hadapan masyarakat, tetapi bagaimana dia memperlakukan isteri dan keluarganya di dalam rumah tangga. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku” (Riwayat al-Tirmidhi, Abwab al-Manaqib, Bab Fi Faḍl Azwaj al-Nabi SAW, no. 3895).

Hadis ini menunjukkan bahawa akhlak sebenar seseorang lelaki dapat dinilai melalui cara dia melayani ahli keluarganya, khususnya isteri. Al-Sindi dalam Ḥashiyah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah menjelaskan bahawa bergaul dengan baik bersama keluarga merupakan salah satu tuntutan agama, dan sesiapa yang mengamalkan sifat tersebut tergolong dalam kalangan orang yang terbaik. Justeru, seorang suami yang baik tidak diukur melalui kuasa atau kekerasan tetapi melalui akhlak, kelembutan serta kebijaksanaan dalam memimpin keluarga dengan penuh hikmah.

Selain itu, wanita diciptakan dengan fitrah dan sifat yang tersendiri sebagaimana digambarkan dalam hadis tentang tulang rusuk yang bengkok. Ia bukan bermaksud merendahkan wanita tetapi menunjukkan bahawa wanita mempunyai emosi dan kelembutan tertentu yang memerlukan bimbingan, kesabaran serta layanan yang baik daripada suami.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk. Engkau tidak akan dapat meluruskannya sepenuhnya. Jika engkau ingin hidup bersamanya, maka terimalah dia dengan keadaan tersebut. Jika engkau cuba meluruskannya secara keras, engkau akan mematahkannya, dan mematahkannya itu adalah menceraikannya.” Saḥiḥ Muslim (Kitab al-Riḍa’, Bab al-Was iyyah bi al-Nisa’, hadith no. 1468)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Berpesan-pesanlah kepada wanita dengan kebaikan. Sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk, dan bahagian yang paling bengkok ialah bahagian atasnya. Jika engkau cuba meluruskannya, engkau akan mematahkannya. Jika engkau membiarkannya, ia tetap bengkok. Maka berbuat baiklah kepada wanita.” Saḥiḥ al-Bukhari [Kitab al-Nikaḥ, Bab al-Wasah bi al-Nisa’, hadith no. 5186].

Hadis-hadis ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat wanita, sebaliknya mengajar kaum lelaki agar memahami fitrah dan sifat wanita dengan penuh hikmah, kesabaran dan kasih sayang. Sekiranya gagal memahami perkara ini dengan baik, suami mungkin menyalahgunakan autoriti yang diberikan sehingga bertindak zalim terhadap isteri. Dalam masa yang sama, isteri juga tidak seharusnya menjadikan kelemahan atau kekurangan diri sebagai alasan untuk terus berkelakuan buruk atau mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga.

Musa Shahin Lashin dalam Kitab Fatḥ al-Mun’im Sharḥ Saḥiḥ Muslim (2002, 6:45) menjelaskan bahawa ungkapan “sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk” merujuk kepada sifat dan tingkah laku wanita yang secara fitrah mempunyai kelembutan dan emosi yang tersendiri. Keadaan ini diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok dan sukar untuk diluruskan secara sempurna. Oleh itu, pendekatan terbaik dalam membimbing isteri ialah dengan kesabaran, kelembutan dan hikmah, bukannya paksaan atau kekerasan. ‘Abd al-Baqi dalam Kitab Saḥiḥ Muslim (2:1091) turut menjelaskan bahawa cara terbaik untuk hidup bersama wanita ialah dengan memahami kelemahan mereka serta menyantuni mereka dengan baik.

Berbalik kepada isu semasa yang berlaku hari ini, keganasan rumah tangga tidak seharusnya dianggap sebagai isu peribadi semata-mata sehingga mangsa dipaksa untuk terus bersabar tanpa menerima sebarang bantuan dan sokongan. Masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberikan nasihat, sokongan moral dan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa agar mereka tidak terus hidup dalam ketakutan, tekanan dan penderitaan.

Setiap individu perlu mendidik hati, memperbanyakkan zikir, memperkukuhkan ilmu agama serta belajar mengawal emosi sebelum bertindak. Jangan terlalu mudah menurut kemarahan sehingga akhirnya membawa kepada penyesalan dan kerosakan dalam rumah tangga. Sebaliknya, belajarlah untuk bertenang, berfikir secara matang dan menilai sesuatu keadaan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pada masa sama, isteri juga tidak seharusnya hanya berdiam diri apabila berlaku kekasaran fizikal atau penderaan dalam rumah tangga. Tindakan segera perlu diambil sekiranya suami mula bertindak kasar dan memudaratkan keselamatan diri. Ketaatan kepada suami dalam Islam adalah bersyarat, iaitu selagi tidak membawa kemudaratan kepada diri serta tidak bercanggah dengan syariat Islam. Tiada ketaatan dalam perkara yang membawa kepada kezaliman, kemaksiatan dan ancaman terhadap nyawa. Menyelamatkan diri dan nyawa adalah lebih utama. Dalam kaedah fiqh disebut “Menolak kemudaratan itu lebih utama”.

Oleh itu, setiap pasangan suami isteri perlu kembali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan berumah tangga bagi membina keluarga yang harmoni, saling menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk keganasan. Hal ini kerana kita hidup di bawah aturan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pencipta dan Pemilik seluruh alam. Maka sewajarnya setiap aspek kehidupan dipandu berdasarkan syariat dan ketetapan-Nya.

Penulis merupakan Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pahang dan boleh dihubungi melalui nurfaezah@umpsa.edu.my