Johor tuan rumah Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas MSSM 2026
Sebanyak 16 kontinjen mewakili Majlis Sukan Sekolah Negeri akan mula berkampung di Pasir Gudang bermula 18 Mei bagi merebut kejuaraan dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persahabatan.
Oleh: ROZAK HADI
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 – Johor sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali ke-5 yang akan berlangsung di Tanjong Puteri Golf and Resort, Pasir Gadang pada 20 Mei ini.
Kejohanan anjuran MSSM dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia itu dijangka menghimpunkan ratusan atlet pendidikan khas dari seluruh negara bagi mempamerkan semangat kesukanan serta daya tahan dalam acara merentas desa.
Sebanyak 16 kontinjen mewakili Majlis Sukan Sekolah Negeri akan mula berkampung di Pasir Gudang bermula 18 Mei bagi merebut kejuaraan dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persahabatan.
Penganjuran kejohanan itu dilihat sebagai platform penting untuk mencungkil bakat atlet pendidikan khas selain memperkukuh semangat perpaduan dan inklusiviti dalam kalangan pelajar.

Johor sebelum ini turut mencatat kejayaan apabila menjadi tuan rumah Karnival Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas peringkat kebangsaan tahun lalu yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori Penyertaan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Terbesar dalam Karnival.
Maskot rasmi kejohanan yang diperkenalkan turut melambangkan keberanian, ketangkasan dan semangat juang atlet pendidikan khas dalam mencapai kecemerlangan.
Pemilihan Johor sebagai lokasi penganjuran disifatkan bertepatan dengan kemudahan sukan bertaraf tinggi serta pengalaman luas negeri itu dalam mengendalikan kejohanan peringkat kebangsaan.
Selain memberi impak kepada pembangunan sukan pendidikan khas, kejohanan berkenaan dijangka merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran peserta, pegawai serta keluarga dari seluruh negara sepanjang temasya berlangsung.
Pihak penganjur berharap kejohanan itu mampu menjadi medan terbaik melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kemampuan golongan pendidikan khas dalam arena sukan.
Tema “Semangat Luar Biasa, Tiada Batasan” dijangka menjadi inspirasi utama kejohanan yang bakal mencipta kenangan manis buat peserta dan warga pendidik dari seluruh negara.
