Perpustakaan jadi medan niaga, mahasiswa UiTM Rembau asah bakat usahawan
PTAR UiTM Rembau menyediakan ruang perniagaan kepada mahasiswa melalui Business Opportunity ENT 300 bagi mengasah kemahiran dan bakat keusahawanan.
Oleh: PUTRI NUR NABILAH AFRINA MUSA dan AIN EZZATUL AISHAH RUSILA
KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Perpustakaan bukan sekadar tempat untuk membaca dan mencari bahan rujukan, malah mampu menjadi ruang untuk mahasiswa meneroka peluang perniagaan dan mengembangkan bakat keusahawanan.
Membuktikan peranan tersebut, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau menjadi platform penganjuran Business Opportunity ENT 300, hasil kerjasama antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan pihak PTAR.
Program yang berlangsung selama sebulan di PTAR ini melibatkan penyertaan pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Perniagaan yang mengikuti kursus Fundamentals of Entrepreneurship (ENT300). Kursus ini bertujuan memberi pendedahan praktikal berkaitan asas keusahawanan, pengurusan, serta pembangunan perniagaan. Menerusi inisiatif ini, para pelajar diberi peluang menjalankan aktiviti jualan di Laman Keushawanan yang disediakan oleh pihak perpustakaan.
Sepanjang program berlangsung, ruang jualan di PTAR menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus yang hadir menyokong produk jualan para pelajar.

Sokongan padu komuniti kampus ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada usahawan muda tersebut, malah berjaya mewujudkan suasana keusahawanan yang meriah dan harmoni dalam persekitaran perpustakaan.
Lebih membanggakan, penganjuran program ini turut menarik perhatian delegasi lawatan penanda aras dari Indonesia yang terdiri daripada wakil Asosiasi Program Studi Keuangan dan Perbankan Syariah (APSKPS), Universitas Islam Negeri (UIN) Alauddin Makassar, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ternate, Universitas Nahdlatul Ulama Pasuruan, serta Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Datuk Laksemana Bengkalis. Delegasi berkenaan berkesempatan menyantuni para pelajar dan meninjau sendiri pelaksanaan aktiviti keusahawanan tersebut.
Menurut salah seorang wakil delegasi dari Indonesia, inisiatif menggabungkan fungsi perpustakaan dengan aktiviti keusahawanan pelajar merupakan satu pendekatan yang sangat kreatif dan segar.
“Kami amat mengagumi usaha PTAR dan pihak fakulti dalam menyediakan ruang fizikal di dalam perpustakaan untuk mahasiswa berniaga. Pendekatan ini bukan sahaja mempraktikkan ilmu keusahawanan secara langsung, malah menjadi satu inspirasi dan penanda aras yang baik untuk kami adaptasi di institusi masing-masing,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, penganjuran Business Opportunity ENT 300 membuktikan bahawa sinergi antara Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) mampu mewujudkan ruang pembelajaran yang lebih praktikal serta memberi nilai tambah kepada pengalaman mahasiswa.

Inisiatif ini turut memperkukuh peranan perpustakaan bukan sahaja sebagai pusat sumber ilmu, malah sebagai ruang yang menyokong pembangunan kemahiran, kreativiti dan budaya keusahawanan dalam kalangan warga UiTM Kampus Rembau.
* Putri Nur Nabilah Afrina Musa merupakan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media manakala Ain Ezzatul Aishah Rusila adalah Pembantu Pustakawan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.
