MPP UiTM Se-Malaysia tamat khidmat

MPP UiTM Sesi 2025/2026 menamatkan khidmat selepas setahun, membawa legasi kepimpinan mahasiswa yang mengutamakan kesatuan, kematangan dan kerjasama strategik.

Feature Image (2)

SEBAHAGIAN MPP kelihatan sebak bergambar beramai-ramai bersama wakil-wakil pimpinan pelajar dan pengurusan HEP.

KUALA LUMPUR, 13 November 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi 2025/2026 secara rasmi menamatkan perkhidmatan selepas setahun menggalas amanah sebagai suara mahasiswa, sekali gus meninggalkan legasi kepimpinan yang mengutamakan kesatuan, kematangan dan kerjasama strategik dengan pengurusan universiti.

Pembubaran MPP seluruh UiTM berkuat kuasa hari ini selaras dengan peruntukan Perenggan 3, Jadual Ketiga Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang menetapkan tempoh pemilihan anggota perwakilan pelajar selama satu tahun.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, kepimpinan mahasiswa bukan sekadar menyuarakan aspirasi pelajar, tetapi turut menuntut keupayaan membina persefahaman dan mencari penyelesaian bersama pihak pengurusan universiti.

Menurut beliau, kematangan barisan MPP sepanjang tempoh perkhidmatan terserlah melalui pendekatan kerjasama dan rundingan meskipun berdepan pelbagai cabaran serta perbezaan pandangan dalam mengendalikan isu kemahasiswaan.

SEBAHAGIAN warga HEP dan wakil pelajar yang turut hadir menyaksikan majlis pembubaran MPP Sesi 2025/2026 di Bangunan Budisiswa.

“Kematangan kepimpinan terserlah apabila kita memilih untuk mengangkat kesatuan, bukan membesarkan perbezaan; mencari titik persamaan, bukan memperluas jurang pertentangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Khas Pembubaran MPP UiTM Sesi 2025/2026 di Bangunan Budisiswa, Shah Alam.

Pada majlis tersebut, Mohd Sazili turut menyampaikan surat pembubaran rasmi kepada Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam Sesi 2025/2026, Mohamad Adib Hazim bin Mohamad Razali, sebagai simbolik berakhirnya tempoh kepimpinan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Adib dan seluruh barisan MPP yang telah mengorbankan masa serta tenaga dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan tanggungjawab memperjuangkan kebajikan dan kepentingan mahasiswa.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, barisan MPP terlibat dalam pelbagai agenda penting termasuk program permukiman kepimpinan, penyelarasan Minggu Destini Siswa (MDS), program pembangunan mahasiswa serta wacana dan sesi libat urus bersama pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi.

Pengalaman tersebut, katanya, membentuk lima kompetensi kepimpinan utama iaitu kebolehan memimpin organisasi, menyelaras gerak kerja merentasi pelbagai pihak, membuat keputusan strategik, menyelesaikan masalah secara berkesan dan menjadi rakan kerja yang konstruktif kepada universiti.

Dalam pada itu, Mohd Sazili turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UiTM, seluruh warga universiti, Pengarah-Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Timbalan-Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) serta barisan pegawai atas kerjasama, bimbingan dan sokongan yang diberikan kepada MPP sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Beliau mengakui bahawa pengurusan universiti termasuk Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) juga mempunyai kekangan dan ruang penambahbaikan, namun menghargai kesediaan MPP menjadikan HEP sebagai rakan penyelesaian, bukannya pihak yang perlu dipertentangkan.

MOHD SAZILI menyerahkan surat pembubaran MPP kepada saudara Mohd Adib Hazim, YDP MPP UiTM Shah Alam Sesi 2025/2026.

Suasana majlis turut menyaksikan detik penuh emosi apabila sebahagian ahli MPP kelihatan sebak ketika mengabadikan kenangan bersama rakan seperjuangan, wakil kepimpinan mahasiswa dan barisan pengurusan HEP.

Mohd Sazili berharap agar pengalaman sepanjang setahun ini menjadi bekalan kepada bekas pemimpin mahasiswa untuk terus menyumbang kepada universiti, masyarakat dan negara walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi.

“Hari ini saudara dan saudari melepaskan sebuah jawatan, tetapi jangan sesekali melepaskan tanggungjawab untuk terus menjadi insan yang membawa manfaat kepada orang lain,” katanya.

Majlis tersebut turut menandakan berakhirnya satu fasa kepimpinan mahasiswa UiTM yang sarat dengan pengalaman dan pengorbanan, sekali gus membuka lembaran baharu kepada kesinambungan kepimpinan pelajar yang lebih matang, progresif dan berintegriti.

GAMBAR 1