Mahsuri, FIM lancar pusingan ketiga Program Chef Muda Mahsuri

Mahsuri dan FIM kekal komited untuk melahirkan bakat kulinari serta memperkukuh identiti kulinari Malaysia.

Feature Image

PETALING JAYA, 04 September 2025 – Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri), peneraju pengeluar produk makanan halal di rantau ASEAN menganugerahkan biasiswa kepada 10 belia daripada golongan kurang berkemampuan di bawah Program Chef Muda Mahsuri yang kini memasuki tahun ketiga pada 26 Ogos lalu.

Inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) dan Lembaga Zakat Selangor, dengan matlamat memperkasakan anak muda Malaysia melalui pendidikan kulinari dan peluang kerjaya.

Penerima biasiswa 2025 akan memulakan latihan mereka pada awal September 2025 di FIM, di mana mereka akan mengikuti pengajian kulinari intensif di bawah bimbingan chef berpengalaman.

Setelah tamat, para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama tiga bulan di dua restoran terkemuka Chakz dan Pac and Cap, bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal serta pengalaman industri sebenar.

“Di Mahsuri, kami percaya dalam memberi peluang yang benar-benar mampu mengubah kehidupan. Menerusi Program Chef Muda Mahsuri, kami bukan sahaja menyediakan biasiswa tetapi turut membimbing generasi baharu bakat kulinari yang suatu hari nanti akan menyumbang kepada industri makanan Malaysia yang pesat berkembang.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk memperkasakan komuniti serta menyokong belia kurang berkemampuan agar mereka mampu mencapai potensi sepenuhnya, kata Pengarah Hal Ehwal Luar, Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd Jazri Ikmal Hijaz.

Sementara itu, Penasihat FIM, Master Chef Moh Johari Edrus berkata, “Program Chef Muda Mahsuri telah menjadi satu platform bagi anak muda Malaysia yang bercita-cita untuk membina kerjaya di dapur.

“Industri F&B adalah dinamik dan terus menyediakan peluang yang besar dan melalui inisiatif ini, kita dapat melahirkan graduan yang berkeyakinan dan bersedia untuk bekerja. Dengan menghubungkan pendidikan dengan pekerjaan, kita bersama-sama membina modal insan yang lebih kukuh untuk sektor kulinari negara.”

Sejak dilancarkan pada Julai 2023, Program Chef Muda Mahsuri telah mengangkat aspirasi bakal chef melalui gabungan latihan praktikal, bimbingan dan penempatan industri.

Pusingan pertama pada 2023 menyaksikan lima graduan berjaya menamatkan program, diikuti 10 peserta pada 2024.

Dengan pelancaran pusingan ketiga ini, Mahsuri dan FIM kekal komited untuk melahirkan bakat kulinari serta memperkukuh identiti kulinari Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Chef Muda Mahsuri, sila layari www.mahsurifood.com.my

Mengenai Mahsuri Dagang Sdn. Bhd.

Sejak akhir 1990-an, Mahsuri menjadikan pengalaman masakan lebih menyeronokkan, mudah dan lazat dengan rangkaian sos yang halal dan buatan Malaysia. Rahsia di sebalik setiap sos ialah resipi sempurna bahan-bahan Halal Malaysia yang berkualiti, pengetahuan dan teknologi pembuatan terkini. Semuanya disatukan dalam pelbagai sos mudah yang menjadikan makanan yang dimasak di rumah lebih mudah dan menjimat masa tetapi tidak berakhir di situ. Kini tiba masanya untuk berkembang ke luar Malaysia dan membawa perisa unik Mahsuri dan sos yang diperakui halal ke dunia.

Mengenai Food Institute Malaysia

Institut Makanan Malaysia atau Food Institute of Malaysia (FIM) ditubuhkan pada Januari 1998 dengan matlamat untuk melatih pelajar menjadi profesional dalam industri makanan. FIM bertapak dalam industri pendidikan selama 25 tahun dan menghasilkan lebih daripada 10,000 graduan yang profesional dan berkemahiran dalam industri hospitliti.

Program diploma yang ditawarkan di FIM telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). FIM menawarkan lima (5) bidang pengajian iaitu Seni Kulinari, Pastri & Bakeri, Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Pengurusan Perhotelan dan Pengurusan Pelancongan.

Selain daripada program diploma, FIM turut menawarkan program jangka pendek serta kursus-kursus lain yang berkaitan dengan industri makanan. FIM juga merupakan Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM). FIM juga adalah Penyedia Latihan yang dilantik oleh SOCSO dan berdaftar dengan HRD Corp. FIM menawarkan pendidikan berkualiti dengan yuran yang berpatutan.