Sekolah Menengah Setiabudi, Kuala Lumpur dinobatkan Juara DIY Made Simple 2025
Sebuah program tahunan peringkat kebangsaan yang bertujuan memupuk inovasi dan kelestarian dalam kalangan pelajar Malaysia.

KUALA LUMPUR, 4 September 2025 – Sekolah Menengah Setiabudi, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara pertandingan DIY Made Simple 2025, sebuah program tahunan peringkat kebangsaan yang bertujuan memupuk inovasi dan kelestarian dalam kalangan pelajar Malaysia.
Pasukan sekolah terdiri daripada empat orang pelajar itu berjaya memenangi hati juri dengan projek sisa-kepada-tenaga, jubin eko (ekojubin) yang menangkap tenaga kinetik daripada jejak untuk menjana serta menyimpan tenaga elektrik, yang kemudiannya boleh digunakan bagi menggerakkan peranti kecil, menambah baik kemudahan sekolah dan menggalakkan amalan lebih hijau.
Memasuki edisi kesembilan, pertandingan ini menyaksikan Sekolah Menengah Setiabudi menewaskan 273 penyertaan daripada 116 sekolah di seluruh negara pada acara Pusingan Akhir dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Pertandingan ini dianjurkan Yayasan MR D.I.Y., cabang amal peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad, dengan kerjasama Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) dan Fakulti Alam Bina UM, serta sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bertemakan ‘Sisa kepada Tenaga: Inovasi untuk Masa Depan Lebih Hijau’, pelajar digalakkan mempamerkan penyelesaian praktikal yang menukar sisa pepejal kepada sumber tenaga boleh guna semula, sekali gus mengurangkan kos serta menyokong kelestarian.

Antara contoh termasuk panel solar daripada e-sisa, penjana elektrik menggunakan sisa plastik, lampu LED berkuasa bio-bateri, turbin air mini, bateri daripada sisa logam serta penghasilan hidrogen daripada air sisa.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata: “DIY Made Simple bukan sekadar pertandingan, ia merupakan platform yang mempersiapkan pelajar dengan kemahiran dunia sebenar dan menginspirasi anak muda di Malaysia untuk membentuk masa depan yang lestari.
“Selama sembilan tahun, ia telah membuktikan bahawa pendidikan, kreativiti dan inovasi bergerak seiring. Kami berterima kasih kepada Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan, guru-guru, ibu bapa dan terutamanya para pelajar yang telah merealisasikan idea-idea hebat ini.”
Sementara itu, Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya, Profesor Madya Chm Dr. Noraini Ahmad berkata: “DIY Made Simple adalah bukti nyata kuasa kerjasama dan perkongsian jangka panjang. Apabila pelbagai minda dan organisasi bergabung untuk mencapai matlamat yang sama, hasilnya boleh menjadi luar biasa.
“Tahun demi tahun, kita menyaksikan pelbagai idea inovatif dan projek kreatif dalam pelbagai tema, setiap satunya menaikkan penanda aras ke tahap lebih tinggi.
“Adalah penting untuk universiti, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, serta syarikat korporat berganding bahu memperjuangkan inisiatif yang membawa nilai berpanjangan kepada masyarakat. Melalui kerjasama seperti ini, kita mampu mencipta perubahan bermakna yang meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.”
Senarai Pemenang dan Hadiah
● Juara: SMK Sekolah Menengah Setiabudi, Kuala Lumpur – wang tunai RM4,000
● Tempat Kedua: SMK St Mary, Papar, Sabah – wang tunai RM3,000
● Tempat Ketiga: Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli, Sabah – wang tunai RM2,000
● Tempat Keempat: SMK Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur – wang tunai RM1,000
● Tempat Kelima: SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor – wang tunai RM500
Kelima-lima pasukan terbaik turut menerima baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, sijil penyertaan dan trofi.
Anugerah istimewa:
● Video Paling Disukai (YouTube): Kruss Synergy dari SMK Krubong, Melaka – wang tunai RM500
● Video Paling Menarik (TikTok): Kruss Synergy dari SMK Krubong, Melaka – wang tunai RM500
Hadiah Saguhati (Anugerah Inspirasi): Baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, sijil penyertaan dan trofi telah dianugerahkan kepada:
● SMK Seksyen 18, Shah Alam, Selangor
● SMK Baru Bintulu, Sarawak
● SMK Tunku Besar Burhanuddin, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
● SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor
● SMKA Durian Guling, Marang, Terengganu
● SMK Tun Perak, Rawang, Selangor
● SMK Krubong, Melaka
● SMKA Durian Guling, Marang, Terengganu
● SMK Luar Bandar, Miri, Sarawak
● SMK St. Peter Kudat [M], Sabah
● SMK Baru Bintulu, Sarawak
Sebagai pengiktirafan usaha di peringkat negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor meraih tempat pertama bagi penyertaan tertinggi, diikuti Jabatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Sejak diperkenalkan pada 2017, DIY Made Simple telah melibatkan lebih 8,000 pelajar daripada 715 sekolah di seluruh Malaysia, dengan 5,000 projek dihantar setakat ini. Pertandingan ini terus memupuk inovasi, kerjasama berpasukan serta kemahiran penyelesaian masalah di samping memperjuangkan kelestarian.
Untuk maklumat lanjut mengenai program kelestarian dan komuniti Yayasan MR D.I.Y., sila layari laman web MR D.I.Y., www.mrdiy.com atau laman media sosial di Facebook, Instagram dan TikTok.