UiTM anjur program tingkat literasi kewangan, tangani penipuan dalam kalangan komuniti Rembau

UiTM menganjurkan siri Program Bijak Urus Wang, Bijak Belanja dan Bijak Tangani “Scammer” Bersama Komuniti Parlimen Rembau.

Feature Image (1)

KUALA LUMPUR, 4 September 2026 – Kebelakangan ini, masalah kos sara hidup hangat diperkatakan disebabkan krisis kenaikan harga bahan bakar dan harga barang keperluan harian.

Menyedari pentingnya untuk mengurus perkara itu, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau bekerjasama dengan FPP UiTM Kampus Puncak Alam menganjurkan siri Program Bijak Urus Wang, Bijak Belanja dan Bijak Tangani “Scammer” Bersama Komuniti Parlimen Rembau.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Muzium Rembau atau Replika Istana Raja Melewar itu turut melibatkan dua persatuan NGO kawasan Parlimen Rembau iaitu Pertubuhan Wanita Penajeh Rembau dan Persatuan Sahabat Prihatin Kota.

Menurut Pengerusi Program, Prof. Madya Dr ‘Ismah Osman, yang juga Ketua Program Kepenggunaan KPDN-MACFEA 2026, program itu diadakan bagi membantu masyarakat lebih cakna mengenai kaedah berbelanja dengan lebih bijak dalam situasi pendapatan yang amat terhad.

“Semua ini kita bawakan supaya masyarakat dapat lebih cakna mengenai kaedah berbelanja dengan lebih bijak dalam situasi pendapatan yang amat terhad. Ini juga dapat membantu pengguna mengenal pasti keperluan sebenar berbanding keperluan,” tambah beliau lagi.

Rusmawati bagi pihak Pertubuhan Wanita Penajeh Rembau pula menegaskan bahawa selain daripada kemahiran berbelanja, pihaknya menerusi agensi berkaitan seperti UiTM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga akan memberi tumpuan kepada aduan rakyat dari sudut kemahiran telekomunikasi, termasuklah membabitkan usaha membasmi gejala scammer.

Pengerusi Pertubuhan Sahabat Prihatin Kota, Syaiful Azman Mohd Zin menambah bahawa sebelum ini pihaknya telah banyak mengadakan kempen sebegini dan akan giatkannya lagi dengan adanya kerjasama berkenaan.

“Sebelum ini kita telah banyak mengadakan kempen sebegini dan kami giatkan lagi dengan adanya kerjasama ini. Program begini dapat menangani kesenjangan ekonomi masyarakat luar bandar dan dapat mempromosikan semula kawasan bersejarah di Parlimen Rembau ini,” ujar beliau.

Bagi pihak UiTM pula, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Negeri Sembilan, Farrah Othman melihat program sebegini seharusnya diperbanyakkan di peringkat kampung atau taman perumahan.

“Kita sedang membangunkan beberapa kerjasama baharu dengan beberapa kementerian dan agensi untuk membawa seberapa banyak program ini ke kawasan luar bandar dan ini sememangnya menjadi aspirasi penubuhan UiTM itu sendiri,” ujar beliau.

Program Bijak Urus Wang, Bijak Belanja dan Bijak Tangani “Scammer” Bersama Komuniti ini merupakan satu lagi usaha Kumpulan Penyelidik yang mewakili Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Rembau iaitu SIG EMLD yang turut hadir dalam program tersebut.

Program ini dijalankan secara tiga siri yang berasingan termasuk pada bulan Oktober dan November hadapan. Program ini juga turut berjaya mengumpulkan hampir 100 orang peserta dalam Parlimen Rembau.

Melalui program ini juga usahawan-usahawan nano kawasan luar bandar dibantu perkembangannya.

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan berharap agar ilmu berkenaan pengurusan kewangan di peringkat masyarakat luar bandar dapat dikembangkan kerana ia merupakan satu perkara penting terutama bagi golongan rentan ekonomi.

Ini kerana mereka sering berdepan dengan cabaran menguruskan kewangan sehingga menyebabkan mereka terperangkap dalam bebanan hutang di lewat usia.