Bila kebebasan seksual menggugat jiwa dan rumah tangga

Ada individu gemar mencari pengalaman baharu kerana terdorong oleh kecenderungan mencari sensasi atau novelty seeking, termasuk mencuba perkara berbeza dan mencabar.

Feature Image (3)

APA yang berlaku apabila pasangan suami isteri merasakan bahawa kesetiaan tidak lagi bermakna hubungan seksual hanya antara dua individu? Fenomena swinger atau pertukaran pasangan mungkin masih dianggap asing oleh masyarakat Malaysia, namun perkembangan media sosial, aplikasi komunikasi dan komuniti digital menjadikannya semakin mudah diketahui dan dibincangkan.

Secara umum, swinger merujuk kepada pasangan yang bersetuju melibatkan individu lain dalam hubungan seksual atau bertukar pasangan. Namun, isu ini tidak wajar dilihat hanya dari sudut seksual atau moral. Di sebalik tingkah laku tersebut terdapat manusia dengan emosi, keinginan, konflik rumah tangga, pencarian pengalaman baharu, pengaruh rakan, tekanan pasangan dan kemungkinan kekosongan jiwa.

Persoalan yang lebih penting ialah mengapa seseorang tertarik kepada gaya hidup sebegini dan apakah sebenarnya yang sedang dicari?

Dalam psikologi, tingkah laku manusia jarang berlaku kerana satu faktor sahaja. Ada individu yang tertarik kepada pengalaman baharu kerana kecenderungan mencari sensasi atau novelty seeking. Ada juga yang mengalami kebosanan dalam rumah tangga.

Namun, kebosanan mungkin hanya gejala kepada masalah lebih asas seperti komunikasi yang lemah, konflik yang tidak diselesaikan, kurang penghargaan atau keletihan emosi. Ada pasangan yang terlibat kerana pengaruh pasangan sendiri.

Seorang mungkin berminat, manakala seorang lagi mengikut kerana takut kehilangan pasangan.

Di sinilah pentingnya membezakan antara persetujuan dan tekanan. Seseorang yang berkata “ya” belum tentu benar-benar bebas membuat keputusan. Jika persetujuan diberikan kerana takut diceraikan, ditinggalkan atau mahu menjaga hati pasangan, persoalan psikologinya menjadi lebih kompleks.

Hubungan sihat sepatutnya memberikan ruang kepada pasangan untuk berkata “tidak” tanpa kehilangan kasih sayang, keselamatan dan maruah.

Dunia digital turut mengubah cara manusia melihat sesuatu tingkah laku. Apabila seseorang berulang kali melihat gaya hidup tertentu dipaparkan sebagai moden, terbuka dan membahagiakan, sesuatu yang pada awalnya dianggap luar biasa boleh kelihatan normal.

Individu juga boleh memasuki komuniti dalam talian yang hanya mengesahkan pandangan sendiri. Keadaan ini dikenali sebagai echo chamber. Namun, sesuatu yang banyak dipaparkan di internet tidak semestinya menjadi norma masyarakat.

Sesuatu yang viral juga tidak semestinya sihat atau wajar ditiru.

Persetujuan tidak menghapuskan emosi

Antara hujah yang sering dikemukakan ialah semua pihak telah bersetuju. Persetujuan memang penting, tetapi ia tidak menjamin seseorang bebas daripada kesan psikologi.

Pasangan mungkin pada awalnya yakin tidak akan cemburu, tetapi emosi boleh berubah apabila berhadapan situasi sebenar. Cemburu, rasa tidak selamat, perbandingan diri, rendah diri dan hilang kepercayaan boleh muncul.

Manusia bukan mesin. Kita mempunyai hati, keterikatan emosi, ego, harga diri dan keperluan untuk berasa selamat dalam hubungan.

Apabila seseorang melihat pasangan yang dicintainya tertarik kepada individu lain, persoalan mungkin muncul: “Adakah aku tidak cukup baik?” atau “Apa kekurangan aku?”

Persoalan sebegini boleh menjejaskan self-esteem. Dalam era media sosial, keadaan menjadi lebih rumit apabila individu sentiasa membandingkan tubuh, penampilan dan kehidupannya dengan imej yang dipaparkan sebagai sempurna.

Akhirnya, apa yang kononnya memberikan kebebasan boleh menghasilkan keterikatan baharu kepada penerimaan, perhatian dan penilaian orang lain.

Memahami faktor psikologi tidak bermaksud membenarkan sesuatu perbuatan. Psikologi bertanya mengapa tingkah laku itu berlaku, apakah pencetusnya dan bagaimana individu boleh dibantu?

Islam pula memberikan persoalan yang lebih mendasar: adakah sesuatu yang diingini manusia itu semestinya benar dan dibenarkan?

Di sinilah psikologi dan agama saling melengkapi. Psikologi membantu memahami manusia, manakala Islam memberikan nilai, tujuan dan batas kehidupan.

Dalam Islam, seksualiti ialah fitrah manusia dan mempunyai ruang yang terhormat dalam perkahwinan yang sah. Namun, Islam menetapkan batas untuk memelihara maruah, keturunan, keluarga dan jiwa.

Manusia bukan hamba nafsu

Dalam perspektif psikospiritual Islam, manusia bukan sekadar tubuh dan minda. Manusia mempunyai jasad, akal, nafs dan ruh. Keinginan seksual ialah fitrah, tetapi masalah berlaku apabila keinginan mula menguasai akal, nilai dan tanggungjawab.

Budaya moden kadangkala membawa mesej, “Kalau anda menginginkannya, lakukan.” Islam mengajar prinsip yang lebih matang: tidak semua yang kita inginkan perlu kita lakukan.

Kematangan bukan bermaksud bebas melakukan segala perkara yang diingini, tetapi mampu mengurus keinginan berdasarkan nilai dan pertimbangan jangka panjang.

Dalam terapi, soalan penting bukan hanya “Mengapa anda melakukan perkara itu?” tetapi “Apa yang sebenarnya anda cari?”

Adakah perhatian? Penerimaan? Pengalaman baharu? Usaha melarikan diri daripada konflik rumah tangga? Atau sebenarnya ketenangan?

Kadangkala tingkah laku seksual mempunyai keperluan psikologi yang lebih mendalam. Jika seseorang menggunakannya untuk menutup kekosongan emosi, menghentikan tingkah laku sahaja mungkin tidak mencukupi. Akar masalah perlu dirawat.

Pendekatan psikospiritual Islam boleh menggabungkan teknik psikologi seperti pengurusan emosi, restrukturisasi kognitif dan kemahiran komunikasi dengan muhasabah, taubat, doa, zikir, puasa dan pengukuhan hubungan dengan Allah.

Matlamatnya bukan sekadar berkata “jangan buat”, tetapi membantu individu memahami mengapa perlu berubah dan untuk apa mahu berubah.

Pasangan yang mahu meninggalkan gaya hidup berisiko perlu membina semula hubungan. Mereka perlu belajar berbual, mendengar perasaan pasangan, meluangkan masa bersama, menyelesaikan konflik, memberi penghargaan dan membina semula keintiman emosi.

Jika sudah terjebak, jangan berputus asa. Kenal pasti pencetus, termasuk kandungan dan komuniti digital. Tetapkan sempadan baharu, kuatkan amalan kerohanian dan dapatkan bimbingan agama yang berhemah.

Jika terdapat konflik psikologi yang serius, bantuan profesional wajar diperoleh. Mendapatkan bantuan bukan bermakna rumah tangga gagal, tetapi menunjukkan masih ada usaha untuk menyelamatkan hubungan. Jika wujud paksaan, manipulasi, trauma atau keganasan, keselamatan individu mesti diutamakan.

Daripada nafsu kepada sakinah

Akhirnya, kita perlu kembali kepada tujuan perkahwinan. Dalam Islam, perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan seksual, tetapi mempunyai dimensi sakinah, mawaddah dan rahmah.

Sakinah membawa ketenangan, mawaddah menggambarkan kasih sayang dan rahmah melahirkan belas ihsan serta penjagaan. Ketiga-tiganya jauh lebih luas daripada keseronokan sementara.

Hakikatnya, kepuasan tidak semestinya sama dengan kebahagiaan. Rangsangan tidak semestinya sama dengan ketenangan. Kebebasan tidak semestinya sama dengan kesejahteraan.

Budaya swinger perlu dibincangkan secara matang, ilmiah dan berhemah. Kita tidak boleh menormalisasikan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi kita juga tidak seharusnya menghukum manusia sehingga mereka takut mendapatkan bantuan.

Persoalan akhirnya bukan sekadar “Adakah manusia bebas melakukan apa sahaja yang diingininya?” tetapi “Apakah jenis manusia yang mahu kita bina?”

Dalam perspektif psikospiritual Islam, manusia tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada keinginan. Kita perlu membina jiwa yang mampu mengawal nafsu, keluarga yang memberikan kasih sayang, pendidikan yang membentuk daya tahan dan masyarakat yang membimbing tanpa menghina.

Kerana akhirnya, manusia bukan hanya mencari keseronokan. Manusia mencari ketenangan. Ketenangan hakiki lahir daripada keseimbangan antara akal, nafs, hati, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.