Fakulti Pergigian UiTM semai minat dan aspirasi kerjaya melalui STEM
Program OSEM SAINS 2026 menghubungkan kepakaran UiTM dengan komuniti SK Bukit Rahman Putra melalui enam sesi pembelajaran Sains, aktiviti praktikal dan pendedahan kerjaya STEM.
KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 – “Belajar Sains bukan sekadar menghafal fakta tetapi memahami dunia di sekeliling kita.”
Berpaksikan semangat itu, Program OSEM SAINS 2026 dilaksanakan sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial universiti yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan komuniti sekolah.
Usaha itu diperkukuh melalui sokongan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Rahman Putra (SKBRP), yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program serta menyokong usaha menyemai minat Sains dan membina aspirasi kerjaya STEM dalam kalangan murid.
Inisiatif itu juga selari dengan Visi Sains Putra SKBRP, yang menggalakkan pengukuhan pembelajaran Sains dan pendedahan awal kepada bidang STEM.
Program yang berlangsung dari 25 April hingga 15 Ogos 2026 itu melibatkan enam sesi yang dirancang khusus untuk memperkukuh pembelajaran Sains, menyemai minat terhadap bidang STEM serta membina aspirasi kerjaya STEM dalam kalangan murid sekolah rendah.
Pelaksanaan program itu diselaraskan oleh Dr. Rahayu Zulkapli selaku Pengarah Program dan Ts. Dr. Norhayati Liaqat Ali Khan selaku Penasihat Program, bersama-sama para pensyarah Pusat Pengajian Sains Praklinikal, Fakulti Pergigian UiTM dan Fakulti Pendidikan, UiTM, guru-guru Panitia Sains SKBRP, pelajar-pelajar universiti Fakulti Pendidikan dan Pergigian UiTM, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti sekolah yang berganding bahu menjayakan pelaksanaannya.

Sokongan pihak sekolah dan PIBG memainkan peranan penting dalam memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan lancar serta memenuhi keperluan pembelajaran murid. Komitmen itu turut dizahirkan melalui penglibatan Yang Dipertua PIBG SKBRP, Dr. Noor Shahimi Sahidan dan Ahli Jawatankuasa PIBG, Mohamad Khairi Che Rus yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh pendidikan Sains dan pendedahan STEM di sekolah.
Dari pihak sekolah, guru-guru Sains iaitu Che Aniq Sufyan Che Juhan, Maisara Ibrahim dan Nooradha Mat Ali turut memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan aktiviti pembelajaran. Penglibatan guru memastikan program yang dijalankan selari dengan kandungan pembelajaran Sains serta keperluan murid.
Kerjasama rentas fakulti dan komuniti itu menjadi asas kepada satu pendekatan pendidikan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik tetapi turut memberi ruang kepada murid untuk mengenali dunia STEM dan membayangkan potensi kerjaya mereka pada masa hadapan.
Daripada idea kepada sebuah inisiatif komuniti
OSEM SAINS 2026 tercetus daripada keprihatinan terhadap kerjasama antara universiti, sekolah dan PIBG dalam memperkukuh pendidikan Sains serta memperluas pendedahan STEM kepada murid sekolah rendah sejak usia awal.
Melalui kerjasama antara Fakulti Pendidikan UiTM pula memperkukuh aspek pendidikan dan pedagogi program, manakala Panitia Sains dan PIBG SK BRP membantu memastikan aktiviti yang dirancang selari dengan keperluan murid dan konteks sekolah.
Hasilnya, satu platform kerjasama universiti-sekolah dapat diwujudkan dengan penglibatan pensyarah, guru, ibu bapa dan murid secara bersama.
Enam sesi, satu perjalanan pembelajaran
OSEM SAINS 2026 bermula pada 25 April 2026 dan berlangsung sehingga 15 Ogos 2026, melibatkan enam sesi pembelajaran pada hari Sabtu.
Kumpulan sasaran utama terdiri daripada murid Tahun 4, dengan kira-kira 120 orang murid menerima sokongan melalui kelas tambahan Sains. Pada masa yang sama, murid Tahun 4 hingga Tahun 6 yang cemerlang turut diberikan pendedahan melalui aktiviti pengayaan dan Career Talk.
Kelas tambahan Sains dirancang berdasarkan topik dalam silibus sekolah, bermula dengan topik berkaitan Manusia dan Tumbuhan, sebelum berkembang kepada topik-topik lain sehingga topik Mesin.
Namun, pembelajaran tidak terhenti apabila kelas tamat. Setiap sesi turut disusuli dengan aktiviti praktikal yang dibantu oleh pelajar-pelajar ijazah sarjan muda dari Fakulti Pendidikan dan Pergigian, UiTM, membolehkan murid melihat, mengalami dan mengaplikasikan konsep yang baru dipelajari. Pendekatan itu menjadikan Sains lebih dekat dengan pengalaman harian murid dan memberi peluang kepada mereka untuk belajar melalui pengalaman secara langsung.
Gabungan penerangan, perbincangan, latihan dan aktiviti praktikal menjadikan setiap sesi lebih dinamik dan tidak terhad kepada pembelajaran berasaskan buku teks semata-mata.
Belajar sains dengan lebih menyeronokkan
Salah satu kekuatan OSEM SAINS 2026 ialah penglibatan pensyarah universiti sebagai tenaga pengajar. Murid berpeluang berinteraksi secara langsung dengan ahli akademik yang mempunyai pengalaman dalam bidang Sains secara am.
Kehadiran pensyarah dalam suasana pembelajaran sekolah rendah turut memberikan satu pengalaman baharu kepada murid. Mereka bukan sahaja melihat pensyarah sebagai tenaga pengajar tetapi berpeluang bertanya soalan, menjalankan aktiviti dan mengenali dunia universiti dengan lebih dekat.
Aktiviti praktikal selepas sesi pembelajaran pula memberikan dimensi tambahan kepada pengajaran. Konsep Sains yang mungkin kelihatan abstrak dalam buku dapat diterjemahkan melalui aktiviti yang boleh dilihat dan dilakukan sendiri oleh murid.
Pendekatan itu selari dengan hasrat program untuk meningkatkan minat, kefahaman dan keyakinan murid terhadap subjek Sains.
Dari bilik darjah kepada dunia kerjaya
Selain pengukuhan akademik, OSEM SAINS 2026 turut memberi penekanan kepada pembentukan aspirasi kerjaya melalui Career Talk.
Sesi itu memperkenalkan murid kepada pelbagai kerjaya yang mempunyai kaitan dengan bidang STEM. Antaranya termasuk bidang kedoktoran yang merangkumi pendedahan tentang career doktor perubatan, pergigian, veterinar, selain bidang kejuruteraan, dan saintis.
Pendedahan itu memberikan peluang kepada murid untuk memahami bahawa pembelajaran Sains yang mereka lalui di sekolah merupakan salah satu asas kepada pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan.

Bagi murid sekolah rendah, pendedahan sebegini amat bermakna kerana ia membolehkan mereka mengenali profesion yang mungkin sebelum ini hanya mereka dengar atau lihat di sekeliling tanpa benar-benar memahami peranan dan laluan untuk mencapainya.
Lebih penting, Career Talk memberi ruang kepada murid untuk bertanya soalan, berkongsi cita-cita dan membayangkan diri mereka dalam pelbagai bidang STEM.
“Tak sabar nak datang lagi!”
Antara perkara yang paling bermakna sepanjang pelaksanaan program ialah sambutan positif daripada murid.
Murid menunjukkan keterujaan untuk menyertai setiap sesi dan ada dalam kalangan mereka yang tidak sabar menunggu minggu berikutnya untuk hadir ke program.
Keterujaan itu memberikan gambaran bahawa pembelajaran Sains boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan apabila murid diberikan peluang untuk belajar melalui pendekatan yang pelbagai, interaktif dan dekat dengan pengalaman mereka.
Bagi program yang bertujuan meningkatkan minat terhadap STEM, respons positif murid itu merupakan satu perkembangan yang amat bermakna. Ia menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran yang menggabungkan kelas akademik, aktiviti praktikal dan pendedahan kerjaya berpotensi menjadikan Sains lebih menarik kepada murid.
Sokongan ibu bapa dan sekolah
Kejayaan sesuatu program pendidikan tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan di dalam bilik darjah. Sokongan ibu bapa PIBG dan pihak sekolah merupakan komponen penting dalam memastikan kesinambungan pembelajaran.
Sepanjang pelaksanaan OSEM SAINS 2026, ibu bapa memberikan maklum balas yang positif terhadap perkembangan anak-anak mereka. Mereka dapat melihat perubahan dari segi penglibatan dan minat anak-anak terhadap aktiviti yang dijalankan.
PIBG dan pihak sekolah SK BRP juga menerima baik pelaksanaan program itu. Kerjasama antara pihak sekolah, PIBG dan universiti membolehkan aktiviti dilaksanakan dengan lebih tersusun serta mengambil kira keperluan sebenar murid.
Penglibatan ibu bapa sebagai sebahagian daripada sokongan program turut memperlihatkan bahawa pendidikan STEM merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.
Sinergi UiTM dan komuniti sekolah
OSEM SAINS 2026 merupakan contoh bagaimana kepakaran yang terdapat di universiti dapat dimanfaatkan untuk memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Pusat Pengajian Sains Praklinikal, Fakulti Pergigian UiTM menyediakan kepakaran akademik dan tenaga pengajar melalui penglibatan pensyarahnya. Fakulti Pendidikan UiTM pula menyumbang perspektif pendidikan dan pedagogi, manakala guru-guru Panitia Sains SK BRP memberikan pandangan berkaitan kandungan dan keperluan pembelajaran murid.
PIBG pula memainkan peranan penting dalam menghubungkan program dengan komuniti ibu bapa.
Sinergi itu mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang menghubungkan universiti, PIBG, sekolah, guru, ibu bapa dan murid.
Program itu membuktikan bahawa tanggungjawab sosial universiti tidak semestinya hadir dalam bentuk sumbangan material. Perkongsian ilmu, kepakaran, masa, pengalaman dan sumber manusia juga merupakan satu bentuk sumbangan yang mampu memberikan kesan bermakna kepada komuniti.
Lebih daripada sebuah program CSR
OSEM SAINS 2026 bukan sekadar sebuah program tuisyen atau aktiviti CSR secara konvensional. Program itu membawa tiga elemen utama secara serentak, iaitu pengukuhan akademik, pengayaan STEM dan pembinaan aspirasi kerjaya.
Bagi murid yang memerlukan sokongan akademik, kelas tambahan Sains memberikan ruang untuk mengukuhkan pemahaman mereka. Bagi murid yang menunjukkan kecemerlangan, aktiviti pengayaan dan Career Talk membuka peluang untuk mereka meneroka potensi diri dan mengenali pelbagai bidang STEM.
Dalam masa yang sama, aktiviti praktikal selepas setiap sesi pembelajaran memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, manakala penglibatan pensyarah universiti memperkenalkan murid kepada suasana dan komuniti akademik yang mungkin suatu hari nanti menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikan mereka.
Penilaian dan kelestarian program
Pelaksanaan program turut disokong dengan dokumentasi dan pemantauan bagi memastikan keberkesanan aktiviti dapat dinilai secara sistematik. Antara kaedah yang boleh digunakan termasuk rekod kehadiran, pemerhatian semasa aktiviti, analisis latihan, ujian pra dan pasca serta maklum balas daripada murid, guru dan ibu bapa.
Pendekatan itu penting bagi mengenal pasti perubahan dalam aspek kefahaman, minat dan penglibatan murid serta membantu pihak penganjur merancang penambahbaikan untuk program akan datang.
Bahan pembelajaran dan video inovatif yang dihasilkan berdasarkan silibus Sains juga berpotensi untuk terus dimanfaatkan oleh pihak sekolah selepas tamatnya program.
Justeru, OSEM SAINS 2026 diharapkan bukan sekadar memberi manfaat sepanjang enam sesi pelaksanaan tetapi turut meninggalkan satu bentuk sumber dan jaringan kerjasama yang boleh diteruskan pada masa akan datang.
Menyemai minat, membina masa depan
Program OSEM SAINS 2026 telah membuka satu ruang pembelajaran yang mempertemukan kepakaran universiti dengan keperluan komuniti sekolah.
Daripada kelas tambahan Sains yang membincangkan topik Manusia dan Tumbuhan sehingga Mesin, kepada aktiviti praktikal yang menghidupkan konsep pembelajaran, dan seterusnya Career Talk yang memperkenalkan kerjaya seperti doktor gigi, doktor veterinar, jurutera, doktor perubatan dan saintis, program itu membawa satu mesej yang jelas – STEM perlu diperkenalkan bukan sahaja sebagai mata pelajaran tetapi sebagai satu dunia yang boleh diterokai oleh setiap murid.
Keterujaan murid untuk hadir setiap minggu, kepuasan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anak serta penerimaan positif daripada PIBG dan pihak sekolah menjadi satu dorongan bermakna kepada semua yang terlibat.
Bagi Dr. Norhayati, Dr. Rahayu serta seluruh pensyarah Pusat Pengajian Sains Praklinikal, Fakulti Pergigian UiTM, program itu bukan sekadar satu aktiviti yang perlu dilaksanakan. Ia merupakan satu usaha untuk berkongsi ilmu, membina jaringan dan membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali potensi diri mereka.
Pada akhirnya, kejayaan sebenar OSEM SAINS 2026 bukan hanya diukur melalui berapa banyak sesi yang telah dilaksanakan atau berapa ramai murid yang hadir. Ia juga dapat dilihat melalui rasa ingin tahu yang mula tumbuh, keyakinan yang semakin terbina dan impian kerjaya yang mula tercetus dalam diri anak-anak itu.
Kerana setiap cita-cita besar mungkin bermula dengan satu pengalaman kecil — mungkin daripada sebuah kelas Sains pada hari Sabtu, sebuah eksperimen yang menyeronokkan, atau seorang saintis yang datang berkongsi cerita tentang kerjayanya.
