Prihatin nasib warga emas, UiTM salur RM10,000 bantuan banjir

UiTM menyalurkan bantuan RM10,000 kepada warga emas dan komuniti terjejas banjir di Pulau Pangkor menerusi inisiatif ZAWAF dan sukarelawan mahasiswa.

Feature Image

PENGARAH ZAWAF menyampaikan sendiri barang bantuan dan wang sumbangan kepada penduduk setempat yang terjejas pasca banjir.

Oleh: HASROL JONO

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM10,000 kepada warga emas dan komuniti yang terjejas akibat banjir di Pulau Pangkor, Perak, bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi proses pemulihan pasca bencana.

Bantuan yang disalurkan pada 19 dan 20 Oktober itu merupakan sebahagian daripada Misi Bantuan Pasca Banjir Pulau Pangkor yang digerakkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM bersama agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu komuniti terjejas.

Sumbangan berkenaan memberi tumpuan kepada kebajikan warga emas yang memerlukan sokongan kewangan selepas kediaman dan kehidupan harian mereka terjejas akibat banjir.

Pengarah ZAWAF UiTM, Profesor Madya Dr. Najahudin Lateh berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir ketika berdepan musibah.

“Bantuan RM10,000 ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi manifestasi keprihatinan UiTM dalam menyantuni warga emas dan komuniti yang terjejas akibat banjir, sekali gus memastikan manfaat dana zakat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

SERAMAI 28 mahasiswa dan lima staf UiTM Cawangan Perak digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan di Kampung Sungai Pinang Besar serta Sekolah Rendah Agama Rakyat Ahmadiah Sungai Pinang Besar.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan keprihatinan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan rentan yang memerlukan perhatian dalam situasi bencana.

Misi berkenaan diterajui Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, selaku Pengarah dan Ketua Misi Banjir dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat universiti.
Pelaksanaan bantuan kewangan ini melengkapi gerak kerja sukarelawan UiTM yang turut membantu membersihkan kediaman penduduk serta kawasan komuniti yang terjejas akibat banjir.

Usaha berkenaan memperlihatkan pendekatan bantuan menyeluruh yang bukan sahaja menumpukan pemulihan fizikal, malah mengambil kira keperluan kebajikan penduduk selepas bencana.

Pada 19 Oktober lalu, seramai 28 mahasiswa dan lima staf UiTM Cawangan Perak digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan di Kampung Sungai Pinang Besar serta Sekolah Rendah Agama Rakyat Ahmadiah Sungai Pinang Besar.

Operasi diteruskan pada 20 Oktober dengan penglibatan 34 mahasiswa dan lima staf yang memberi tumpuan kepada kerja pembersihan kawasan kediaman serta persekitaran komuniti di kampung berkenaan.
Misi tersebut diselaraskan oleh Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO) UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, menerusi kerjasama Unit Kesatria dan Kokurikulum (UKeKO) UiTM Cawangan Perak.

Penglibatan Komander Kesatria dan Persatuan Briged Sukarelawan UiTM turut memperkukuh pelaksanaan misi, sekali gus memberikan pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai tanggungjawab sosial, kepimpinan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

UiTM turut merancang meneruskan operasi bantuan sehingga 24 Oktober 2026 dengan penglibatan 80 mahasiswa secara bergilir dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Perak bagi memastikan usaha pemulihan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Gabungan bantuan kewangan ZAWAF dan khidmat sukarelawan mahasiswa ini sekali gus memperlihatkan komitmen UiTM dalam memperkukuh kebajikan komuniti melalui bantuan bersasar, semangat kesukarelawanan dan pembudayaan nilai kemanusiaan.