Menilai semula corak perjalanan ibu bapa

Bagi ibu yang menguruskan hal penjagaan, trip chaining bukan pilihan tetapi merupakan tanggungjawab harian.

Feature Image (1)

SETIAP pagi, rutin ibu bapa di bandar bukan sekadar bergerak dari rumah ke tempat kerja. Ia adalah perjalanan yang penuh dengan hentian, keputusan pantas dan tekanan masa. Menghantar anak ke taska atau sekolah, menghadapi kesesakan lalu lintas, singgah membeli keperluan harian, sebelum tiba ke tempat kerja, semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat.

Corak perjalanan seperti ini dikenali sebagai trip chaining, iaitu perjalanan berbilang tujuan yang dilakukan secara berterusan tanpa pulang ke rumah di antara setiap urusan. Bagi kebanyakan ibu bapa, khususnya ibu yang menguruskan hal penjagaan, trip chaining bukan pilihan tetapi merupakan tanggungjawab harian.

Namun, apabila berlaku insiden keselamatan kanak-kanak, termasuk kes anak tertinggal dalam kenderaan, reaksi masyarakat sering tertumpu kepada satu perkara sahaja iaitu kecuaian ibu bapa. Perbincangan awam jarang mengambil kira realiti mobiliti harian yang kompleks dan tekanan sistemik yang dihadapi setiap pagi.

Hakikatnya, perjalanan pagi ibu bapa jarang bersifat linear. Ia melibatkan pelbagai peranan yang bertindih sebagai penjaga, pekerja dan pengurus rumah tangga, di mana kesemuanya dimainkan secara serentak. Dalam keadaan ini, perubahan kecil kepada rutin seperti pertukaran giliran menghantar anak, kesesakan luar jangka atau keadaan anak tertidur dan senyap di tempat duduk belakang boleh meningkatkan risiko kesilapan. Ini bukan soal kurang tanggungjawab atau kasih sayang, tetapi kesan daripada tekanan masa dan beban mental yang tinggi.

Bandar moden pula dirancang berasaskan perjalanan ideal iaitu dari rumah terus ke tempat kerja. Realiti ibu bapa yang perlu menguruskan pelbagai hentian tidak diambil kira sepenuhnya. Jarak taska yang jauh, laluan kerja yang tidak selari, kekurangan zon hentian selamat serta faktor tambahan seperti waktu kerja yang tidak fleksibel menjadikan waktu pagi satu tempoh yang sangat menekan.

Dalam sistem sebegini, ibu bapa dijangka berfungsi tanpa sebarang kesilapan. Apabila sesuatu berlaku, individu dipersalahkan sepenuhnya, sedangkan sistem yang membentuk tekanan itu kekal tidak kelihatan.

Keselamatan kanak-kanak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Ia bukan hanya bergantung kepada disiplin ibu bapa tetapi juga kepada bagaimana sebuah bandar, sistem pengangkutan dan budaya kerja turut menyokong kehidupan keluarga.

Antara langkah yang wajar dipertimbangkan termasuk penyediaan taska dan sekolah yang lebih hampir dengan kawasan perumahan atau laluan kerja, reka bentuk zon menurunkan dan mengambil anak yang selamat serta jelas di sekolah-sekolah, waktu kerja yang lebih fleksibel, dan penggunaan ‘aplikasi sistem peringatan’ sebagai sokongan ingatan, bukannya sebagai alat menghukum.

Langkah-langkah ini bukan perkara baharu. Ia selari dengan prinsip perancangan yang menekankan kemudahan dan kesejahteraan manusia.

Bezanya, realiti kehidupan hari ini menuntut prinsip ini diterjemahkan semula dengan lebih serius. Jika benar kita mahu melindungi kanak-kanak, kita perlu memahami kehidupan seharian mereka yang menjaganya. Mobiliti pagi bukan sekadar pergerakan fizikal tetapi cerminan beban emosi dan tanggungjawab yang dipikul ibu bapa setiap hari.