Siap siaga menuju Ramadan kali ini
Bulan Ramadan dijanjikan pelbagai kelebihan seperti peluang dan ruang diampunkan dosa, dipenuhi dengan rahmat dan barakah.

APABILA menyebutkan bulan Syaaban, bayang kita sebagai umat Islam pada kebiasaannya membayangkan dekatnya bulan puasa (yakni bulan Ramadan) dan akan tibanya bulan Syawal bagi menyambut Hari Raya Puasa.
Bahkan, kalau kita sedar, pada kebanyakan masjid dan surau telah pun berusaha untuk mengadakan persiapan bagi menyambut bulan Ramadan tersebut yang difahami sebagai bulan pesta ibadah dan kemuncak kepada amal soleh seseorang yang beriman.
Demikian juga, jika kita sedar, jam elektronik di masjid dan surau juga turut memaparkan bilangan kiraan hari (countdown) untuk hari-hari penting seperti peringatan Israk dan Mikraj, Nisfu Syaaban, permulaan Ramadan, countdown Hari Raya Puasa dan Haji serta sebagainya.
Bersediakah kita?
Persoalannya, di pihak diri kita sendiri, adakah kita benar-benar sedar tentang kedatangan bulan Syaaban ini dan adakah kita sedar bulan Ramadan telah hampir tiba? Adakah kita telah bersedia untuk memasuki bulan pesta ibadah itu? Apa yang telah kita persiapkan untuk menghadapi bulan yang penting itu? Atau setiap hari dan bulan, berlalu seperti biasa sahaja, tanpa sebarang perancangan.
Bagaimana dikatakan Ramadan bulan pesta ibadah? Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif menyebutkan bahawa ‘bulan Ramadan adalah musim ibadah bagi kaum mukminin, sebagaimana musim haji yang merupakan musim ibadah bagi para jamaah haji’.
Demikian juga Ibn al-Jawzi Rh, yang menegaskan bahawa “Sungguh merugilah orang yang mensia-siakan Ramadan, kerana di dalamnya (yakni sepanjang bulan Ramadan) dilipatgandakan pahala dan dihapuskan dosa.”
Sepertimana apa yang kita faham, bulan Ramadan dijanjikan pelbagai kelebihan seperti peluang dan ruang diampunkan dosa, dipenuhi dengan rahmat dan barakah, dibuka pintu-pintu Syurga sepanjang Ramadan, ditutup rapat pintu-pintu neraka, para syaitan dibelenggu dan diikat, bulan penurunan al-Quran, adanya malam Lailatul Qadar yang merupakan malam yang digandakan pahala dengan kadar seribu bulan dan pelbagai lagi yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya pada bulan ini.
Jadi, kita dapat faham bahawa jika kita mahu untuk bersungguh-sungguh mengambil peluang dalam pesta ibadah ini, maka penting untuk kita melakukan persediaan yang sewajarnya.
Jadi, peluang yang ada khususnya di bulan Syaaban ini, sewajarnya kita gunakan sebagai satu latihan bagi pengukuhan jiwa, hati nurani dan fizikal bagi menempuh cabaran yang besar pada bulan Ramadan nanti. Bukan hanya puasa dan tidur sahaja, tetapi ketika menahan lapar dan dahaga, kekuatan kita boleh dioptimumkan sewajarnya untuk meraihkan pahala dengan pelbagai ibadah di bulan Ramadan tersebut.
Cadangan persediaan di bulan Syaaban
Pertama: Melatih diri untuk berpuasa, iaitu dengan melakukan beberapa bentuk puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, atau puasa hari-hari putih (iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan Syaaban) atau berpuasa selang sehari mengikut amalan puasa Nabi Daud AS. Ia sesuai dengan amalan daripada Nabi SAW sendiri yang turut banyak berpuasa pada bulan ini.
Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban?.
Nabi SAW bersabda: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Hadith riwayat Imam al-Nasa’i, Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW, no. Hadith 2317)
Bahkan ruang ini juga boleh digunakan bagi golongan wanita seperti kaum ibu untuk menggantikan (iaitu mengqadakan) puasa yang masih berbaki jika ada, pada bulan ini juga. Elak daripada menangguhkannya lagi dan gunakan kesempatan ini untuk menyelesaikan hutang puasa dengan Allah SWT.
Kedua: Berusaha menelaah bacaan al-Quran dan membaca al-Quran setiap hari. Jika kita dalam kategori orang yang telah mahir bacaan al-Quran, boleh teruskan tilawah manakala, jika kita masih dalam kalangan orang yang ada masalah dalam bacaan al-Quran, dari sudut sebutan huruf, masalah tajwid, gunakan ruang ini untuk membetulkan bacaan mengikut tajwid yang betul. Boleh dapatkan pertolongan daripada guru-guru al-Quran.
Jangan sesekali mensia-siakan ruang ini supaya kita dapat memastikan, diri kita benar-benar bersedia untuk menempuh bulan al-Quran akan datang. Hal ini kerana, sepanjang bulan Ramadan, sangat digalakkan untuk membaca al-Quran, menelaah dan mentadabburnya serta jika berkemampuan dapat khatam al-Quran dalam tempoh sebulan itu.
Ketiga: Persiapan harta dan bekalan iaitu pasti kita melakukan persediaan awal dengan mempersiapkan dari sudut keperluan untuk ibadah kita termasuk keperluan pakaian, makan minum, ruang atau tempat yang sesuai dan sebagainya. Jangan jadikan bulan Ramadan diabadikan hanya untuk mencari harta benda sahaja, sedangkan sepatutnya kita bersedia keperluan lebih awal. Jika, hendak bersedekah, sudah pasti memerlukan duit. Jadi, boleh peruntukan satu jumlah yang sesuai untuk amalan bersedekah tersebut. Atau boleh juga menaja jamuan berbuka puasa atau keperluan lain bagi jemaah di surau dan masjid.
Keempat: Kekemasan dan kekuatan rohani iaitu merujuk kepada persediaan jiwa kita. Pastikan jiwa dan rohani kita diisi dengan pengisian rohani yang sewajarnya. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara khususnya melalui amalan harian seperti solat, termasuk solat sunat dan solat malam, melalui zikir yang berterusan, melalui amalan bacaan al-Quran yang konsisten dan sebagainya lagi.
Penting juga untuk bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa. Bahkan, gunakan ruang di bulan Syaaban ini untuk mengulang kaji semula berkenaan dengan pelbagai ibadah dan syarat-syaratnya supaya apa yang akan dilakukan khususnya ibadah memenuhi keperluannya dan mengharapkan agar amalan itu diterima di sisi Allah SWT.
Kelima: Perbaiki hubungan dengan manusia iaitu dalam tempoh sepanjang bulan Syaaban ini, bukan soal memperbaiki hubungan dengan Allah sahaja. Namun, usahakan untuk meminta kemaafan daripada orang-orang yang telah kita sakiti, atau kita hina, atau kita cerca dan mengumpatnya.
Termasuk orang-orang yang kita pandang rendah dan orang yang kita tabur fitnah kepadanya. Bahkan, gunakan kesempatan bulan Syaaban ini untuk menyambung tali silaturahim khususnya dengan adik beradik, bapa dan mak saudara, sepupu sepapat, termasuk rakan-rakan dan sahabat handai. Jangan dilupakan juga kepada jiran-jiran yang berdekatan.
Akhirnya, ingatlah apa yang dikatakan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA, “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan persiapkanlah dirimu sebelum kamu dihadapkan (kepada Allah).”
Dalam erti kata bahawa setiap orang Islam khususnya orang yang benar-benar beriman kepada Allah, pasti akan senantiasa memperhatikan dirinya, ibadah hariannya, makan minumnya, tindak tanduknya dan sebagainya agar dapat mencapai reda Allah SWT. Kerana mahu memastikan apa yang dilakukan dapat menjana pahala kebaikan berpanjangan.
Ingatlah pesan Ibn Qayyim Al-Jawziyyah (w.751H) dalam kitab Al-Fawaid, beliau menyatakan bahawa “Sesiapa tidak menyibukkan dirinya dengan kebaikan, maka ia akan disibukkan dengan keburukan.”
Maka, rugilah sesiapa yang hidupnya berlaku hanya dengan perkara keburukan sahaja. Beruntunglah sesiapa yang menjadikan dirinya Muslim yang sentiasa bersiapsiaga untuk kebaikan dan pahala.

