UM perkasa minat Geografi pelajar menerusi MyGeo

MyGeo adalah antara beberapa peringkat saringan sebelum pemilihan wakil negara ke iGeo.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 5 April 2026 — Kira-kira 30 pelajar sekolah menengah daripada pelbagai negeri menyertai peringkat kedua Malaysian Geography Olympiad (MyGeo) 2026 yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Gombak baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pemilihan bagi mewakili Malaysia ke International Geography Olympiad (iGeo), sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang Geografi.

Pensyarah Jabatan Geografi Universiti Malaya, Dr Amirah Sariyati Mohd Yahya berkata penyertaan dalam MyGeo bukan sekadar pertandingan akademik, sebaliknya memberi peluang kepada pelajar memahami hubungan antara manusia, tempat dan persekitaran secara lebih mendalam.

“Geografi sering dianggap hanya berkaitan peta dan lokasi, namun sebenarnya ia membantu kita memahami interaksi antara manusia dan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, MyGeo adalah antara beberapa peringkat saringan sebelum pemilihan wakil negara ke iGeo, yang turut melibatkan program Geography Explorer, Selection Camp serta Kem Kebangsaan Olimpiad Geografi.

Malaysia mula menyertai iGeo pada 2023 dan dalam tempoh singkat berjaya berada dalam kelompok 20 pasukan terbaik daripada 45 negara, mencerminkan potensi pelajar tempatan dalam bidang tersebut.

Sepanjang pertandingan, peserta didedahkan kepada pelbagai bentuk penilaian merangkumi aspek teori dan praktikal, termasuk interpretasi data, pemetaan serta analisis isu semasa.

Dr Amirah berkata pendekatan itu penting bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara kritikal serta mengaitkan ilmu dengan situasi dunia sebenar.

“MyGeo juga membuka ruang kepada pelajar untuk melihat Geografi sebagai bidang merentas disiplin, meliputi aspek ekonomi, politik, bencana dan pelancongan,” katanya.

Beliau menambah pendedahan awal dalam bidang berkenaan dapat membantu membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu global seperti perubahan iklim, pembangunan mampan dan ketidaksamaan wilayah.

Walaupun jumlah penyertaan pada peringkat ini terhad, usaha berkenaan dilihat mampu membina minat, keyakinan serta keupayaan pelajar dalam memahami dunia secara lebih menyeluruh.

Dalam jangka panjang, platform seperti MyGeo diharap dapat terus memperkukuh kedudukan Geografi sebagai bidang yang relevan dalam sistem pendidikan serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.