UM bina literasi anak-anak B40 Petaling Jaya

Masih ramai sebenarnya anak-anak Malaysia khususnya daripada komuniti bandar yang berpendapatan rendah yang ketinggalan dalam asas literasi.

Poster Terkini (3)

DALAM dunia moden yang sememangnya penuh persaingan, kemampuan untuk membaca, mengira, memahami sains dan teknologi serta fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kini menjadi keperluan asas untuk generasi muda membina masa depan.

Namun di sebalik pelbagai program komuniti yang berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti sukarelawan, kelestarian dan kebajikan, masih ramai sebenarnya anak-anak Malaysia khususnya daripada komuniti bandar yang berpendapatan rendah yang ketinggalan dalam asas literasi ini.

Prof. Madya Dr Adelina Asmawi berkata, situasi ini perlu diberi perhatian serius.

“Jika anak-anak di peringkat sekolah rendah masih bergelut dengan membaca, mengira dan asas komunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka pastinya akan menghadapi kesukaran dalam menguasai mata pelajaran lain. Kita perlu membantu mereka mengukuhkan asas ini sebelum terlambat,” katanya merujuk kepada kepentingan penguasaan literasi awal dalam membentuk generasi masa depan.

Sejak 2018, Dr Adelina telah mengetuai Projek PEARL iaitu sebuah inisiatif kerjasama antara Universiti Malaya (UM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Yayasan Amal ASAS yang menawarkan pendekatan literasi menyeluruh.

Bermula dengan literasi bahasa Inggeris, program ini kemudian berkembang ke literasi digital, literasi kewangan dan terkini, literasi STEM.

Menariknya, program ini tidak bergantung kepada buku teks atau berfokuskan peperiksaan. Sebaliknya, PEARL menekankan komunikasi Bahasa Inggeris berasaskan aktiviti, pengalaman dan pendedahan dunia sebenar.

Guru-guru PEARL pula terdiri daripada kalangan mahasiswa Fakulti Pendidikan UM yang terpilih. Kaedah ini telah berjaya menunjukkan peningkatan signifikan dalam kalangan pelajar komuniti B40 bandar di sekitar Petaling Jaya.

Baru-baru ini, Majlis Persembahan dan Pelaporan 4 Penjuru Murid PEARL telah diadakan di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya, bagi meraikan usaha pelajar, guru dan komuniti yang terlibat. Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chuan Chung bersama wakil MBPJ, Yayasan Amal ASAS dan para ibu bapa.

Dalam majlis tersebut, laporan pencapaian pelajar PEARL telah menunjukkan peningkatan dalam semua bidang literasi. Lebih membanggakan, Anugerah Murid PEARL Terbaik diberikan kepada Ammar Rifqie, murid Tahun 3 dari SK Taman Dato Haron yang mencatat lonjakan pencapaian ketara untuk sesi persekolahan 2024/2025.

Chuan Chung berkata, program seumpama ini amat penting dalam membina asas pendidikan anak-anak komuniti bandar.

“Saya sangat mementingkan pendidikan anak-anak dan pasti akan turun padang serta mengambil bahagian dalam program seperti PEARL,” jelas beliau, sambil menyatakan komitmen berterusan kepada usaha pendidikan akar umbi di dalam komuniti.

Lebih daripada sekadar program literasi, PEARL membuktikan bagaimana gabungan institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan komuniti mampu menghasilkan impak sebenar.

Menurut Dr Adelina lagi, kejayaan PEARL terletak pada kepercayaan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Sokongan universiti, pemimpin majlis bandaraya, masjid dan komuniti perlu bergerak seiring. Hanya dengan usaha bersama sebeginilah kita mampu membina asas literasi kukuh untuk anak-anak kita,” katanya.

Projek PEARL bukan sahaja menyantuni anak-anak dengan keperluan literasi asas, malah membentuk mereka menjadi individu celik digital, bijak mengurus kewangan dan memahami dunia STEM sejak usia muda.

Langkah ini bukan sahaja membina keyakinan diri pelajar tetapi turut memperkukuh asas kemajuan sosial negara di masa hadapan.

Majlis yang berlangsung dengan penuh semangat itu turut menyaksikan pelbagai persembahan pelajar PEARL serta pameran hasil aktiviti sepanjang tahun. Para hadirin jelas terinspirasi melihat usaha kecil yang membawa perubahan besar dalam kehidupan anak-anak komuniti bandar ini.