Filem animasi didik penonton muda dengan gaya tersendiri
Penggiat filem animasi melangkah dengan berani apabila penerbitan mereka kian mewarnai industri perfileman negara.

UMUM mengetahui bahawa filem animasi di Malaysia kini telah mencapai suatu tahap yang membanggakan. Penghasilan filem animasi telah membuka mata dunia terhadap kemampuan anak Malaysia dalam meneroka bidang ini.
Dengan kesungguhan dan tanpa mengenal erti kegagalan, penggiat filem animasi telah melangkah dengan berani apabila penerbitannya kian mewarnai industri perfileman negara.
Diimbau dari sudut awal pembikinan, ia bermula dengan karya yang terhad dari sudut tempoh masa dan format terbitannya.
Bermula melalui video pendek yang melibatkan watak-watak berpandukan cerita rakyat yang membawakan unsur-unsur pendidikan berupa pengajaran tentang kehidupan.
Banyak cerita tauladan dan kupasan pepatah Melayu yang dikaitkan dengan cerita masyarakat dahulu kala berjaya diterbitkan.
Yang sinonim dalam ingatan antaranya ialah pengkisahan Hikayat Sang Kancil dalam beberapa siri penceritaan yang pelbagai.
Ia merupakan satu pembawaan Pesanan Khidmat Masyarakat yang ringkas tetapi padu dari sudut mesej pengajaran.
Sehingga kini ia seakan-akan mekar di ingatan walaupun sudah melepasi suatu tempoh terbitan yang sangat panjang.
Kemudian disusuli dengan penerbitan melalui format bersiri di kaca televisyen yang popular seperti Usop Sontorian, Anak-anak Sidek, Kampung Boy dan beberapa lagi pengkisahan yang menarik.
Hampir kesemua karya kreatif ini membawakan pengkisahan zaman kehidupan yang sangat hampir dengan di hati segenap masyarakat iaitu kehidupan yang berlatar belakangkan zaman kanak-kanak.
Jalan cerita juga berkisarkan kepatuhan, disiplin, keberanian dan keyakinan diri banyak mempelopori mesej yang disampaikan.
Sudah semestinya banyak perkara yang mahu dikongsikan apabila menceritakan tentang zaman kehidupan yang sangat indah ini. Golongan sasaran juga adalah bersifat menyeluruh kerana ia sesuai untuk tontonan semua peringkat.
Kini karya animasi tempatan telah berjaya menerjah ke pawagam dengan penghasilan filem yang berkualiti dan mendapat sambutan masyarakat yang sangat menggalakkan.
Bermula dengan filem animasi Silat Lagenda, Geng the Adventure Begins, Ejen Ali the Movies, Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal, Boboiboy, Mechamato, Didi & Friends, Dongeng Sang Kancil dan terbaru Ejen Ali the Movie 2.
Ini merupakan satu kemajuan dan tanda aras yang baik bagi menelusuri perjalanan filem animasi di Malaysia.
Yang utama, kebanyakkan naratif penceritaan yang pernah dihasilkan dari awal hingga kini adalah membawa kepada cerminan identiti masyarakat Malaysia yang berlandaskan semangat perpaduan dan kerjasama antara anggota masyarakat.
Mesej yang dibawa adalah untuk mendidik golongan muda tentang erti sebuah kehidupan yang berteraskan nilai-nilai masyarakat timur yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat, gaya hidup dan semangat kekitaan yang menular di sanubari masyarakat.
Tidak salah jika dikatakan bahawa naratif yang dibawa melalui filem animasi adalah suatu pembawaan didikan pengalaman kepada masyarakat terutamanya golongan muda.
Maklumat dalam bentuk falsafah kehidupan dalam mendepani sesuatu isu atau keadaan, dapat disalurkan melalui watak dan perwatakan yang dibina.
Ia dapat dilihat secara jelas melalui nama watak, pemakaian, gaya pertuturan, lontaran dialog dan cara pemikiran yang banyak mencerminkan identiti masyarakat Malaysia.
Tidak terhad sekadar itu, mesej dan maklumat yang dikupas melalui plot penceritaan juga banyak membawa kepada maksud membina pengalaman mengenai realiti kehidupan.
Dengan hasil kualiti, jalan cerita yang menarik serta sarat dengan mesej positif dalam merungkai jalan cerita, naskah animasi dilihat mampu untuk memenuhi keinginan serta kehendak penonton dari sudut percambahan pemikiran dan pengalaman.
Perkongsian ilmu dan pengalaman ini dilihat suatu yang positif dalam membina keyakinan dan tips kehidupan dikalangan generasi muda.
Rangkuman sumber pendidikan dan gaya hiburan agak sesuai dengan pendekatan filem animasi serta terarah kepada maksud sebenar penerbitannya.
Apabila memperkatakan fungsi filem dalam pendidikan, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan kekuatan medium audio visual dalam menyampaikan naratif penceritaan yang pelbagai.
Kekuatannya dalam memberikan penerangan dengan gaya yang menarik sudah semestinya suatu keistimewaan dan kelebihan berbanding medium lain.
Dengan sokongan teknologi digital terkini membolehkan industri animasi menjadi lebih meyakinkan dari sudut kreativiti pembikinannya.
Dengan visual yang jelas menggambarkan keadaan atau suasana sebenar disulam dengan unsur bunyi yang meliputi dialog, kesan bunyi khas dan alunan skor muzik menjadikan medium ini sukar untuk dinafikan keberkesanannya.
Apatah lagi sekiranya ia dipersembahkan di pawagam yang sudah semestinya disajikan kepada golongan sasar secara khusus.
Dapat dirungkaikan bahawa filem animasi adalah salah satu cara terbaik untuk kita memperkasa dan menerap pendidikan serta nilai-nilai identiti nasional secara terancang dan efisyen melalui naratif yang dibina.
Dari segi penggunaan bahasa yang digunakan, peribahasa yang disisipkan, kata nasihat dan ciri tauladan serta pelbagai lagi unsur positif yang membina dapat diketengahkan sebagai maklumat pada penonton muda khususnya kanak-kanak.
Medium ini berupaya untuk membentuk proses pemikiran dan cara berfikir kanak-kanak secara kreatif serta dapat mencorak pemikiran kanak-kanak melalui gaya yang diinginkan.
Ini dapat diterjemahkan dengan mesej yang disusun dengan baik dan paparan pengkisahan yang berkesan. Filem animasi dilihat mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dengan karya-karya yang bermutu untuk bersaing dengan negara luar.
Sudah tentu kesesuaian medium dan golongan sasar sangat memainkan peranan dalam penyampaian mesej berguna. Dan tak salah jika terdapat anggapan bahawa ilmu yang bermanfaat perlu dititipkan sewajarnya sesuai dengan zaman pembelajaran dan tahap pengetahuan mereka.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.