Mahasiswa UM tanam 111 pokok berembang di Kampung Kuantan
Langkah Hijau 24/25 itu merupakan inisiatif tahunan di bawah Projek ASTARCares yang menyasarkan usaha kesedaran dan tindakan praktikal terhadap isu kelestarian alam sekitar.

SEBANYAK 111 anak pokok berembang berjaya ditanam oleh 40 pelajar Universiti Malaya dalam satu program berimpak tinggi anjuran Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan.
Program yang dinamakan Langkah Hijau 24/25 itu merupakan inisiatif tahunan di bawah Projek ASTARCares yang menyasarkan usaha kesedaran dan tindakan praktikal terhadap isu kelestarian alam sekitar.
Menggabungkan elemen pendidikan, tindakan lapangan dan kerjasama komuniti, program ini bertujuan mendidik warga universiti tentang peranan penting yang dimainkan oleh ekosistem hutan paya bakau, khususnya pokok berembang (Sonneratia caseolaris) dalam menjaga keseimbangan alam dan kelangsungan hidup spesies unik seperti kelip-kelip Pteroptyx tener.
Program bermula seawal pukul 7 pagi di Dewan Tun Perak, Universiti Malaya, di mana para peserta berkumpul untuk sesi taklimat keselamatan dan pengenalan kepada objektif program.
Taklimat disampaikan oleh Pengarah Projek, Mohd Izwan Abdul Razik yang menekankan bahawa kelestarian bukan sekadar teori, tetapi menuntut tindakan yang nyata.
“Melalui Langkah Hijau, kita bukan hanya menanam pokok tetapi menyemai rasa tanggungjawab sebagai warga bumi. Ini bukan program sehari, tetapi usaha jangka panjang,” ujar beliau.
Peserta kemudiannya menaiki bas universiti ke Kampung Kuantan, lokasi ekopelancongan yang terkenal dengan kelip-kelipnya. Di sana, mereka didedahkan kepada realiti hubungan erat antara manusia, alam dan kelangsungan biodiversiti.
Setibanya di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, para peserta disambut oleh wakil komuniti dan koordinator taman, Masbudi Abdul Malek.
Pada sesi taklimat, beliau menerangkan bagaimana spesies kelip-kelip yang menjadi daya tarikan utama taman ini amat bergantung kepada kewujudan pokok berembang.
“Pokok ini bukan sahaja tempat hinggap dan mencari makanan bagi kelip-kelip, malah berperanan sebagai penapis pencemaran dan penghalang hakisan di tebing sungai. Apabila pokok ini pupus, kelip-kelip juga lenyap,” katanya yang telah lebih sedekad terlibat dalam usaha pemuliharaan taman ini.
Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan merupakan antara kawasan konservasi semula jadi yang semakin terpinggir akibat pembangunan tidak lestari dan pencemaran air.
Justeru, program ini membawa harapan baharu dalam usaha mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan warisan alam.
Aktiviti utama dimulakan dengan penyiraman dan penanaman 111 anak pokok berembang oleh peserta di sekitar pesisir Sungai Selangor. Proses ini dilakukan secara berpasukan, dengan setiap kumpulan bertanggungjawab ke atas kawasan tertentu.
Selain menanam, peserta turut membantu membersihkan kawasan sekitar, termasuk membuang pokok yang rosak atau berpenyakit.
“Ini pertama kali saya tanam pokok sendiri di kawasan hutan paya. Walaupun berpeluh dan berlumpur, saya rasa puas kerana dapat sumbang sesuatu yang bermakna,” kata Setiausaha Projek ASTARCares 2024/2025, Lai Zhen Hong.
Peserta juga diberikan tunjuk ajar secara langsung tentang teknik penanaman lestari dan kepentingan mengurus anak pokok dengan teliti agar dapat hidup subur dan memberi impak jangka panjang.
Sesi refleksi yang dijalankan selepas aktiviti penanaman membolehkan peserta meluahkan pandangan dan perasaan mereka terhadap pengalaman hari tersebut.
Ramai dalam kalangan mereka menyatakan bahawa program ini membuka mata terhadap realiti alam sekitar yang selama ini kurang mereka pedulikan.
“Saya kini sedar bahawa menjaga alam bukan hanya tugas kerajaan atau NGO tetapi tanggungjawab kita semua sebagai individu,” kata seorang peserta.
Program turut menyediakan sesi makan tengah hari dalam suasana kampung yang tenang, memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara santai dan mengukuhkan ukhwah sesama mereka.
Majlis penutupan berlangsung secara ringkas tetapi penuh penghargaan. Cenderahati disampaikan kepada Masbudi dan pihak Taman Kelip-Kelip sebagai tanda terima kasih atas kesediaan mereka menerima kunjungan dan berkongsi ilmu.
Wakil ASTARCares turut mengucapkan penghargaan kepada penasihat projek, Ts Masturah Zainal atas bimbingan berterusan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program.
Dalam ucapan penutupnya, Pengarah Projek menekankan bahawa Langkah Hijau bukan acara sekali jalan, tetapi satu permulaan kepada budaya hijau yang ingin diterapkan dalam kalangan warga kolej dan universiti.
“Kami berharap inisiatif ini menjadi contoh kepada kolej kediaman lain. Dengan sokongan berterusan, kita boleh membawa perubahan yang nyata terhadap landskap alam sekitar negara.”
Program Langkah Hijau 2025 telah membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi agen perubahan dalam usaha melestarikan alam sekitar. Melalui pendekatan yang menggabungkan teori, amali dan kolaborasi komuniti, inisiatif ini menyumbang secara langsung kepada pemeliharaan ekosistem tempatan serta memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap isu perubahan iklim dan biodiversiti.
Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Projek ASTARCares meletakkan harapan tinggi untuk meneruskan program seumpamanya pada masa akan datang, termasuk memperluas skop ke kawasan lain yang memerlukan pemuliharaan segera.
Langkah Hijau bukan sekadar menanam pokok, tetapi menanam masa depan yang lestari.