Maulidur Rasul: Syukur pencinta kepada pencipta
Umat Islam seharusnya merenung sejenak betapa bertuahnya umat ini dengan kedatangan Rasulullah membawa cahaya iman, membawa cahaya al-Quran yang menjadi penyelamat di dunia dan akhirat.

SUDAH menjadi tradisi umat Islam setiap kali tiba bulan Rabiulawal mereka akan merayakan peringatan Maulidur Rasul dengan berkumpul untuk berzikir, membaca selawat dan qasidah, menyediakan makanan dan melakukan amalan-amalan lain.
Semua ini adalah bentuk kegembiraan terhadap Rasulullah SAW dan pengagungan terhadapnya serta menyatakan rasa gembira pada hari kelahirannya yang mulia dan juga sebagai tanda kecintaan kepadanya.
Perayaan ini secara keseluruhannya adalah sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas kurnia-Nya yang menganugerahkan kepada manusia rahmat yang agung iaitu Nabi Muhammad SAW. Semua ini merupakan perkara yang telah disepakati akan keabsahan dan kesunahannya dari sudut syarak.
Asal-usul perayaan Maulidur Rasul
Rasulullah SAW sendiri telah mencontohkan kepada umat bahawa asal-usul sambutan adalah untuk bersyukur kepada Allah SWT atas kelahiran baginda yang mulia.
Telah sabit dalam Riwayat yang sahih bahawa baginda berpuasa pada hari Isnin dan bersabda: “Itulah hari di mana aku dilahirkan.” (Riwayat Muslim dari hadis Abu Qatadah RA).
Ini adalah tanda syukur baginda SAW atas kurnia Allah SWT kepadanya dan kepada umatnya. Oleh itu, mengikuti teladan baginda SAW dengan bersyukur kepada Allah SWT atas kurnia dan kebaikan-Nya melalui nikmat kewujudan Nabi SAW dalam bentuk apa pun, termasuk menjamu makanan, memuji, berkumpul untuk berzikir, berpuasa dan ibadah-ibadah lain, tidaklah keluar daripada asal sunah ini.
Perayaan ini, sama ada dari Rasulullah SAW mahupun dari umatnya selepas itu, adalah aplikasi praktikal daripada apa yang terkandung dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT: “Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.” (Surah Ibrahim: 5).
Antara ‘hari-hari Allah’ adalah hari kemenangan para nabi dan kekasih-Nya, hari kelahiran mereka dan yang paling agung adalah kelahiran penghulu mereka, Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT telah memuliakan hari-hari kelahiran para nabi, menjadikannya hari kebaikan dan kesejahteraan.
Firman-Nya tentang Nabi Yahya a.s.: “Dan kesejahteraan ke atasnya pada hari dia dilahirkan.” (Surah Maryam: 15), dan tentang Nabi Isa a.s.: “Dan kesejahteraan ke atas diriku pada hari aku dilahirkan, dan pada hari aku mati dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula.” (Surah Maryam: 33)
Dalam Sahih Muslim, disebutkan kelebihan hari Jumaat dan kedudukannya, di mana ia adalah hari diciptakannya Nabi Adam a.s., maka ia adalah hari yang diberkati.
Oleh itu, mengkhususkan hari tertentu untuk memperingati kelahiran mana-mana nabi adalah sebagai bentuk pemuliaan terhadap waktu tersebut.
Pada hari kelahiran, terdapat nikmat kewujudan yang merupakan punca kepada setiap nikmat selepasnya. Jadi, bagaimanakah pula dengan hari kelahiran nabi terbaik di antara para nabi dan rasul? Hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah punca setiap nikmat di dunia dan akhirat.
Nabi Muhammad SAW adalah nikmat terbesar Allah kepada umat manusia. Bergembira dengannya dan dengan kelahirannya adalah kegembiraan terhadap kurnia Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Dengan kurnia Allah dan dengan rahmat-Nya, maka hendaklah mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan’.” (Surah Yunus: 58) dan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat yang agung untuk seluruh makhluk Ibnu Abbas r.a. berkata: “Perkataan) Rahmat-Nya (di dalam ayat di atas) adalah Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman:“Dan tidaklah Kami mengutusmu melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107).” (Diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam al-Sunan dan Abu al-Syeikh dalam Tafsirnya).
Jika kegembiraan atas kelahiran Nabi SAW membawa manfaat kepada orang bukan Islam, maka manfaat yang diperoleh bagi orang Islam adalah lebih utama dan lebih ditekankan.
Dalam Sahih al-Bukhari, Urwah bin al-Zubair diriwayatkan berkata: “Suwaibah adalah hamba perempuan kepada Abu Lahab dan Abu Lahab telah membebaskannya, lalu dia menyusukan Nabi SAW. Ketika Abu Lahab meninggal dunia, salah seorang ahli keluarganya melihatnya dalam keadaan yang paling buruk. Dia bertanya: ‘Apa yang kamu dapat?’ Abu Lahab menjawab: ‘Aku tidak mendapat apa-apa selepas kalian, melainkan aku diberi minum dari ini (telapak tangannya) kerana aku membebaskan Suwaibah’.” (Diriwayatkan juga oleh Abd al-Razzaq dengan sanadnya dalam al-Musannaf).
Dalam al-Raud al-Anf karya al-Suhaili (jilid 5/191-192), disebutkan bahawa sebahagian ahli keluarga Abu Lahab melihatnya dalam mimpi dalam keadaan yang paling buruk, lalu dia berkata: “Aku tidak mendapat rehat selepas kalian, kecuali azab diringankan ke atasku setiap hari Isnin.”
Ini kerana Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin. Suwaibah telah menyampaikan berita gembira kepadanya tentang kelahiran itu dengan berkata kepadanya: “Tahukah kamu bahawa Aminah telah melahirkan seorang anak lelaki untuk saudaramu Abdullah?” Abu Lahab berkata kepadanya: “Pergilah, kamu bebas.” Maka, tindakan itu memberi manfaat kepadanya, walaupun dia berada di dalam neraka.
Imam al-Salihi dalam Subul al-Huda wa al-Rasyad (jilid 1/367) menukilkan daripada Syeikh al-Qurra’ al-Hafiz Abu al-Khayr Ibnu al-Jazari: “Jika Abu Lahab yang kafir, yang al-Quran telah turun mengecamnya, diberi ganjaran di neraka kerana kegembiraannya pada malam kelahiran Muhammad SAW, maka bagaimana pula keadaan seorang Muslim yang mengesakan Allah daripada umat Muhammad SAW yang gembira dengan kelahirannya dan berbuat apa yang termampu untuk menyatakan kecintaannya? Demi Allah, balasannya dari Allah Taala adalah Dia akan memasukkannya ke dalam syurga kenikmatan dengan kurnia-Nya”.
Dalam hadis dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Nabi SAW melewati sekumpulan Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura. Baginda bertanya: “Apakah puasa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan Bani Israel dari tenggelam dan Firaun ditenggelamkan. Ini juga adalah hari di mana kapal Nabi Nuh berlabuh di atas bukit al-Judi. Maka, Nuh dan Musa berpuasa sebagai tanda syukur kepada Allah.” Nabi SAW bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa dan aku lebih berhak berpuasa pada hari ini.” Lalu baginda memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad, Abu al-Syeikh dan Ibnu Mardawih).
Jika perayaan hari penyelamatan Nabi Nuh a.s. dan hari kemenangan Nabi Musa a.s. adalah perkara yang disyariatkan, maka keabsahan perayaan Maulidur Rasul adalah lebih utama.
Hukum perayaan Maulidur Rasul
Para ulama telah menyatakan bahawa perkara yang telah sedia maklum dalam kalangan umat Islam sepanjang zaman iaitu keharusan merayakan Maulidur Rasul dengan pelbagai jenis ketaatan.
Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyah (jilid 1/1116) berkata: “Tidak henti-henti umat Islam dari pelbagai pelosok dan kota-kota besar merayakan bulan kelahirannya SAW dengan mengadakan jamuan, menganjurkan perkara-perkara yang menyenangkan, bersedekah pada malam-malamnya dengan pelbagai jenis sedekah, menzahirkan kegembiraan dan menambah amalan kebaikan. Bahkan, mereka bersungguh-sungguh membaca kisah kelahiran Nabi Saw yang mulia dan hasilnya keberkatan yang melimpah-ruah dari itu jelas terlihat pada mereka, sehingga dapat dibuktikan”.
Perkara serupa juga disebutkan oleh ulama lain, antaranya al-Hafiz al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah (jilid 1/89), al-‘Allamah al-Diyar Bakri dalam Tarikh al-Khamis fi Ahwal Anfas Al-Nafis SAW (jilid 1/223) dan lain-lain.
Mengkhususkan perayaan ini dengan pelbagai jenis ketaatan seperti membaca al-Quran, mendengar sirah Nabi yang mulia SAW, memuji dan berselawat serta berdoa, semuanya adalah perkara-perkara yang disunahkan dari segi syarak sebagaimana ditunjukkan oleh keumuman nas-nas syarak.
Antara nas-nas tersebut adalah firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan zikir yang banyak dan sucikanlah Dia pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab: 41-42).
Telah disahihkan dari Ummul Mukminin Aisyah r.a., beliau berkata: “Nabi SAW sentiasa mengingati Allah pada setiap waktu.” (Riwayat Muslim).
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56).
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur dan janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, tetapi berselawatlah ke atasku, kerana sesungguhnya selawat kamu akan sampai kepadaku di mana pun kamu berada.” (Riwayat Abu Daud dalam As-Sunan).
Dalil-dalil ini secara umum menunjukkan bahawa disunahkan berzikir kepada Allah SWT dan berselawat ke atas junjungan kita Rasulullah SAW pada setiap keadaan. Apa yang datang secara umum tidak boleh dikhususkan melainkan ada dalil yang mengkhususkan.
Kesimpulan
Berdasarkan perkara ini, apa yang dilakukan oleh umat Islam iaitu merayakan Maulidur Rasul dengan pelbagai jenis ketaatan dan ibadah pada hari yang bertepatan dengan kelahiran Nabi SAW, adalah suatu perbuatan yang disunahkan dari segi syarak dan mereka akan mendapat pahala daripadanya.
Tahun ini umat Islam meraikan 1500 tahun kelahiran Baginda Nabi SAW. Persoalannya, adakah kecintaan umat kepada Baginda semakin bertambah? Adakah umat semakin mengikut Sunnah? Adakah kita semakin mengenali Rasulullah?
Bulan ini adalah bulan menyuburkan kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah, mengagungkan Baginda di dalam hati-hati setiap umat Islam, bukan mengagungkan wang ringgit, harta benda, artis-artis, pemain bola, pangkat, jawatan, kemasyhuran, nafsu dan syahwat.
Bulan ini seharusnya umat Islam merenung sejenak betapa bertuahnya umat ini dengan kedatangan Rasulullah membawa cahaya iman, membawa cahaya al-Quran yang menjadi penyelamat umat di dunia dan akhirat.
Tema ‘Maulidur Rasul: Syukur Pencinta kepada Pencipta‘ membawa mesej mendalam bahawa sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi lebih penting sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Allah SWT, Pencipta sekalian alam, yang telah mengurniakan kepada kita seorang Rasul pembimbing umat.
Syukur ini dizahirkan dengan memperkukuh cinta kepada Nabi SAW melalui penghayatan sunnah, memperindah akhlak, serta mengamalkan ajaran baginda dalam kehidupan seharian.
Justeru, Maulidur Rasul menjadi detik peringatan bahawa cinta sejati kepada Nabi SAW adalah manifestasi cinta kepada Allah, kerana melalui baginda umat manusia dipandu menuju cahaya iman, rahmat dan keselamatan dunia serta akhirat.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.