BIOTEKNOLOGI bukanlah bidang asing di Malaysia.
Dalam usaha menjadikan bioteknologi sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Dasar Bioteknologi Negara (2005-2020) yang bertujuan merancang dan melaksanakan pembangunan sektor ini selama 15 tahun.
Dasar ini telah mendorong penubuhan pelbagai institusi penyelidikan serta pelaksanaan aktiviti penyelidikan bioteknologi secara giat di seluruh negara.
Sebagai kesinambungan, pada tahun 2022, kerajaan menggubal Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (2022-2030) untuk memperkukuhkan lagi ekosistem bioteknologi sedia ada.
Dasar ini bertujuan menjadi pemangkin dalam menyelesaikan cabaran negara seperti keselamatan makanan, pengurusan pandemik, dan krisis iklim melalui penyelesaian berasaskan bioteknologi tempatan.
Bidang ini dilihat sebagai platform yang holistik dengan potensi besar untuk memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.
Namun, bagaimana bidang ini mampu membantu dalam sektor pertanian seperti penanaman pisang? Artikel ini merungkai peranan bioteknologi dalam menangani cabaran penanaman pisang di Malaysia.
Pisang sumber ekonomi dan pemakanan
Pisang merupakan buah-buahan utama di Malaysia dan sumber makanan penting bagi rakyat.
Kaya dengan serat, kalium, vitamin B6, vitamin C, antioksidan dan fitonutrien, pisang adalah pilihan makanan berkhasiat yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global.
Pisang bukan sahaja penting untuk pemakanan, malah menjadi sumber ekonomi utama di negara-negara seperti India, China, dan Indonesia yang merupakan pengeluar pisang terbesar dunia pada tahun 2022.
Malaysia juga mengeksport pisang, namun negara ini belum mencapai tahap pengeluar utama seperti Indonesia.
Potensi pisang sebagai penyumbang ekonomi memberikan inspirasi kepada penyelidik tempatan untuk meningkatkan hasil penanaman melalui teknologi moden.
Bioteknologi dan penyelesaian serangan nematod
Pensyarah dan penyelidik di Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Syarifah Aisyafaznim Sayed Abdul Rahman mengambil inisiatif menggunakan bioteknologi tumbuhan untuk menghasilkan pokok pisang transgenik.
Pokok transgenik ini mampu bertahan daripada serangan cacing nematod yang sering merosakkan akar pisang.
“Penghasilan pokok pisang transgenik yang tahan serangan cacing nematod adalah penyelesaian jangka panjang yang mesra alam,” katanya.
Serangan cacing nematod menyebabkan akar pokok lemah dan menghalang penyerapan nutrien, seterusnya menjejaskan pertumbuhan dan penghasilan buah.
Penggunaan baja kimia khas untuk menangani masalah ini didapati berisiko kepada alam sekitar kerana sifatnya yang toksik dan karsinogenik.
Oleh itu, bioteknologi menawarkan alternatif lebih selamat dan berkesan.
Namun, proses penghasilan pokok transgenik ini bukanlah mudah.
Menurut Dr. Syarifah, pasukannya telah menemui protein yang boleh membantu pokok pisang melawan cacing nematod, tetapi ia berpotensi menyebabkan alahan pada sesetengah individu.
Buat masa ini, beliau giat menjalankan kajian lanjut dan bekerjasama dengan penyelidik luar negara untuk mengatasi cabaran ini.
Cabaran dan potensi masa depan
Penanaman pisang di Malaysia turut berdepan dengan cabaran seperti kurangnya penggunaan teknologi moden, terutama oleh petani kecil, serta ancaman serangga perosak dan penyakit.
Penyelidikan bioteknologi seperti yang dilakukan oleh Dr. Syarifah membuktikan pentingnya dasar jangka panjang seperti Dasar Bioteknologi Negara untuk menyokong inovasi dan pembangunan teknologi.
Usaha penyelidikan ini, walaupun memakan masa adalah pelaburan penting untuk masa depan sektor pertanian dan ekonomi negara.
Dengan penerapan teknologi moden, potensi pisang sebagai sumber ekonomi negara boleh dimaksimumkan, seterusnya membantu meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran global.
Dasar Bioteknologi Negara 2.0 diharap dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan penyelidikan bioteknologi tempatan, bukan sahaja dalam sektor pertanian tetapi juga dalam sektor lain seperti kesihatan dan perubatan.
Inisiatif seperti ini penting untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.