Penceritaan melalui filem, mencari makna indah dan elok

Filem mampu untuk dijadikan pintu menuju pemahaman pada dimensi yang berbeza dalam menterjemah pengalaman kehidupan dan kemanusiaan.

Feature Image

DIIBARATKAN seperti individu yang bercerita mengenai kisah hidupnya kepada seseorang. Tiap luahan perkataan yang dikongsi berkaitan sesuatu pengalaman yang dilalui olehnya merupakan diskripsi makna yang cuba disampaikan sebagai peringatan dan pesanan.

Bagi yang mendengar pula bak anggapan kesimpulan berupa pengajaran dengan bersandarkan realiti kehidupan. Justifikasi untuk memanfaatkan pengalaman tersebut dalam kehidupan jika ia mendatangkan nilai tambah yang berfaedah baginya. Kesempatan yang baik untuk memberi nasihat dan ketika yang baik untuk mendengar nasihat.

Begitulah juga sinonimnya sebuah filem apabila memperkatakan berkenaan perkongsian penceritaan iaitu menjalankan fungsi sebagai medium sandaran untuk menawarkan sesuatu bingkisan pengalaman berharga kepada penonton.

Filem yang membawakan mesej kekeluargaan misalnya dari dahulu hingga kini kebiasaannya menyediakan jalan cerita yang tidak terlalu menekan penonton dengan imaginasi yang tinggi tetapi mendalam dari sudut kredibiliti naratif mencipta riak gelombang pemikiran.

Ini merupakan faktor unik dalam menterjemahkan peringatan dan pesanan kekeluargaan agar meresap dalam gaya imaginasi serta aliran pemikiran penonton yang digarap dengan plot yang pelbagai.

Mengungkap realiti, ibu bapa biasanya tidak henti-henti akan melontarkan kata-kata berunsur nasihat melalui perkongsian penceritaan kisah kehidupan mereka kepada anak-anak. Perkongsian jujur berkenaan pahit getir menyusun langkah dari dahulu hingga kini diperhalusi berhemat agar menjadi panduan ke arah yang lebih baik.

Walaupun ia bukan hal hidup yang sempurna seperti yang diimpikan oleh setiap insan, asalkan peluang untuk menyelitkan kata-kata nasihat tetap wujud berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui dikongsi atas tujuan kebaikan diri dan manfaat kepada keluarga.

Seterusnya, bagi si anak pula sebagai pendengar, ia merupakan kisah yang mungkin telah acap kali didendangkan dan berulang-ulang kali diceritakan. Terkadang terlintas jua difikiran berkenaan peri pentingnya perkongsian tersebut, namun hakikatnya kesedaran bakal timbul perlahan tatkala berhadapan dengan babak kehidupan yang mirip dengan apa yang diceritakan.

Tanpa sedar begitu juga keadaannya dengan filem iaitu hadirnya harus dengan daya yang mendorong dalam menawarkan pelbagai naratif bagi mengundang pesan dan nasihat secara tuntas.

Banyak judul filem bergenre drama kekeluargaan yang mampu disenaraikan mengikut peralihan zaman jika dihitung. Banyak pengajaran yang boleh diperhalusi dan juga sempadan yang harus dijadikan tanda pemisah.

Bagi karyawan seni ini merupakan peluang iaitu keadaan yang menguntungkan untuk menimbulkan daya cipta berupa rujukan peringatan melalui naskah filem yang diterbitkan manakala penonton pula, bijak mengadaptasi bersandarkan keperluan dalam kehidupan untuk menerima manfaat kandungan.

Penyampaian idea melalui filem memerlukan kemampuan untuk mengolah jalan cerita yang lazimnya dibuktikan melalui dinamika dialog, kebijakan lakonan, interpretasi babak dan pemaparan nilai hidup yang menjadi rencah cerita. Bagi filem yang membawakan mesej kekeluargaan, didambakan kesungguhan dalam mengutarakan konflik agar jelas dalam menyalurkan makna kepada penonton.

Filem perlu menuangkan segala pemikiran perihal kehidupan, mudah-mudahan dapat membuka minda penonton mengenai sisi kebahagiaan berkeluarga.

Izinkan saja filem digunakan sebagai pentas mengasah kemampuan berfikir penonton dalam mengungkap setiap perspektif dan bertaktih untuk merungkai jawapan terhadap persoalan kekeluargaan.

Dalam konteks kelangsungan kehidupan di era glabalisasi, banyak unsur-unsur luar yang menembus dalam kehidupan masyarakat hingga menyaksikan perubahan dalam kehidupan terutamanya konsep dan makna kekeluargaan. Ian berupaya menggugat pertimbangan diri dan menenggelamkan pemikiran anggota keluarga dengan pengaruh budaya asing yang dibawa jika diterima tanpa berimbang.

Agak sukar untuk kita menghindari pengaruh pemikiran luar tatkala ledakan kemodenan dan kemajuan teknologi kini. Namun kita perlu bertindak balas dengan mengambil peluang untuk memahami, mendukung dan menghargai siapa diri kita seutuhnya dengan berpaksikan budaya yang diwarisi dan adab yang tidak pernah mati di sanubari masyarakat.

Sebagai wahana lunak dalam mendatangkan pesan dan nasihat, filem bertemakan drama kekeluargaan harus tidak keberatan dengan adunan jalan cerita yang menggalurkan budaya dan adab masyarakat Malaysia.

Warisan budaya dan adab adalah nada keharmonian keluarga, jangan pernah tidak dipentingkan dalam menyampaikan pesan melalui filem. Keindahan sentuhan seni filem dapat menyuarakan perihal budaya dan adab masyarakat Malaysia dalam menyusun makna dan menyajikan gaya pemikiran untuk dinikmati umum.

Dalam konflik kekeluargaan yang dicipta, ada imbangan untuk memasukkan unsur budaya dan adab dalam babak sebagai huraian nasihat yang indah serta elok untuk diteladani. Latar zaman mungkin berbeza tetapi hal berkaitan didikan anak tetap terangkum dilingkaran yang sekata.

Kandungan mesej yang baik seperti adab berbicara dengan ibu bapa atau orang yang lebih dewasa, perbincangan dengan menggunakan bahasa yang molek ketika berhadapan dengan konflik dan menerima teguran seandainya melakukan kesilapan tanpa memberikan tindak balas emosi yang melewati batas.

Walaupun di pertengahan naratif filem selalunya diungkap dengan konflik atau keadaan yang tidak sebagai yang sepatutnya hubungan kekeluargaan, namun disisi akhirnya dijalinkan dengan berkesan melalui babak yang mengungkap persoalan sebab serta akibat atas sesuatu perbuatan secara jelas teratur.

Ini penting khususnya memberi petunjuk kepada generasi penonton muda untuk menilai akan tingkah yang dipertontonkan dalam filem agar menjadi mengikat pemikiran mereka dengan realiti kehidupan sebenar yang dilalui.

Sama ada dipersetujui ataupun sebaliknya, harus diakui bahawa filem membantu penonton dalam mengeksplorasi keaslian prinsip dan menilai pegangan kehidupan mereka tatkala memetakan gagasan yang dibawa melalui penceritaan.

Mesej kekeluargaan dirasakan membantu penonton untuk mengenal setiap tingkah perbuatan dan mengembangkan pemikiran secara terarah dengan penerimaan yang wajar. Peluang untuk memahami idea pengarahan terhadap konflik antara lain berupaya untuk memperteguhkan kesedaran dan keyakinan hidup.

Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, jelas filem berperanan untuk mengatur suatu gambaran yang berkonotasi mendalam bagi membangkitkan semangat dan mengajak masyarakat untuk merenung matlamat kehidupan berasaskan pegangan budaya dan adab dalam institusi kekeluargaan yang menjadi pegangan turun-temurun.

Dengan bahasa yang sederhana, filem adalah sebuah hasil seni yang mampu membekaskan jejak yang mendalam di relung jiwa penonton.

Filem mampu untuk dijadikan pintu menuju pemahaman pada dimensi yang berbeza dalam menterjemah pengalaman kehidupan dan kemanusiaan.

Walaupun sesebuah filem itu tidak begitu popular atau tewas dipanggung, namun mesejnya tetap menggerunkan masyarakat dalam membawa makna kehidupan dan merupakan isyarat paling lantang yang tidak boleh diabaikan.

Tidak perlu menunggu naratif yang sempurna dalam mencipta renungan dan nasihat tetapi cukup sekadar menemukan keindahan dalam ketidaksempurnaan kerana pada titik inilah yang menyantuni kreativiti seni dan keaktifan pemikiran penonton perihal mendukung perjalanan hidup yang lebih baik.

Filem paparkan yang tersurat, kebijaksanaan penonton untuk menilai yang tersirat.