Jangan cemari kesucian Aidilfitri dengan tarian tidak bermoral
Trend tarian menerima duit raya mula mendapat perhatian di media sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda.

HARI Raya Aidilfitri merupakan sambutan perayaan yang penuh dengan keberkatan dan kegembiraan bagi umat Islam di seluruh dunia.
Ia bukan sekadar sambutan kemenangan setelah sebulan berpuasa tetapi juga waktu untuk memperkukuhkan silaturahim, bermaafan dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Namun, sejak kebelakangan ini, budaya hiburan yang keterlaluan seperti tarian secara terbuka semakin menjadi trend dalam sambutan Aidilfitri, termasuk tarian hari raya, tarian velocity dan sebagainya.
Baru-baru ini, trend tarian menerima duit raya mula mendapat perhatian di media sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda yang menggunakannya sebagai satu bentuk hiburan sempena perayaan Aidilfitri.
Fenomena ini kerap berlaku dalam suasana santai ketika berkumpul di rumah saudara-mara, majlis rumah terbuka mahupun di kampung halaman yang melibatkan golongan muda dan golongan tua.
Meskipun sekilas pandang tarian ini kelihatan hanya sebagai hiburan ringan dan sekadar bersuka-ria, hakikatnya trend ini boleh memberi implikasi negatif terhadap nilai kesopanan dan adab dalam masyarakat Islam.
Lebih membimbangkan, jika diteliti dengan lebih mendalam, tarian ini mempunyai persamaan dengan beberapa bentuk tarian dari budaya Barat. Ada pihak yang berpendapat bahawa ia menyerupai tarian Pinguin, tarian dari Amerika dan Finland serta yang paling signifikan, tarian Hora iaitu tarian tradisional masyarakat Yahudi yang sering dilakukan dalam perayaan dan acara keagamaan mereka.
Sebagai umat Islam, kita seharusnya lebih peka terhadap pengaruh budaya luar yang mungkin menyelinap masuk dan akhirnya membentuk norma baharu dalam masyarakat tanpa disedari
Tarian yang menyerupai budaya bukan Islam, lebih-lebih lagi jika ia berasal daripada kaum yang secara historis menentang Islam, boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) yang dilarang dalam agama.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Selain itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Harun turut menegaskan bahawa tarian memberi duit raya ini boleh menjadi haram sekiranya wanita Muslim melakukan tarian tersebut secara berlebihan sehingga mendedahkan aurat.
Apatah lagi jika tarian tersebut menyerupai agama lain dan boleh mengundang fitnah sehingga menjadi satu trend yang dianggap tidak manis dan tidak bermoral.
Oleh itu, sewajarnya perbuatan ini dielakkan demi menjaga kesucian Aidilfitri serta memelihara nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Sebagai umat Islam, kita harus bijak dalam menilai hiburan yang sesuai dengan tuntutan agama. Generasi muda terutamanya perlu lebih berhati-hati dalam menerima trend semasa agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang boleh merosakkan identiti Islam.
Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil dalam menilai sesuatu trend baharu, antaranya:
1. Mengkaji latar belakang dan maksud sesuatu trend sebelum mengikutinya agar tidak terjebak dalam perkara yang bertentangan dengan nilai Islam.
2. Menapis informasi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu yang viral bagi mengelakkan normalisasi budaya yang tidak selari dengan ajaran Islam.
3. Merujuk kepada ilmuwan agama sekiranya terdapat keraguan atau persoalan mengenai trend tertentu bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan syariat.
Dengan sikap lebih cakna terhadap hiburan serta budaya yang diamalkan, umat Islam dapat memastikan sambutan Aidilfitri kekal sebagai hari yang penuh keberkatan, bebas daripada unsur yang melalaikan atau bertentangan dengan nilai Islam.
Sebagai kesimpulan, Aidilfitri seharusnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan keberkatan, bukannya dicemari dengan hiburan yang melampaui batas syariat.
Islam tidak melarang hiburan, selagi ia tidak bercanggah dengan nilai moral dan akidah. Hiburan yang sederhana, seperti lagu-lagu nasyid, sketsa keagamaan dan persembahan puisi yang membawa mesej Islam, lebih bertepatan dengan semangat Aidilfitri.
Oleh itu, umat Islam perlu berwaspada dalam menerima pengaruh budaya luar agar tidak terjebak dalam trend yang boleh merosakkan identiti serta kesucian perayaan ini.
Justeru, peranan ibu bapa, pendidik dan pemimpin masyarakat amat penting dalam membimbing generasi muda memahami adab serta batasan dalam berhibur, terutama ketika menyambut hari yang penuh bermakna ini.
Dengan meraikan Aidilfitri secara sopan dan menitikberatkan nilai-nilai Islam, kita dapat mengekalkan kemurnian perayaan ini sebagai simbol kemenangan dan kesyukuran.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.