Kenali bahaya senyuman si pembuli
Kita sering terlepas pandang bahawa pembuli bukan semestinya tampil dengan sifat kasar atau ganas secara terang-terangan.

NAMA Zara Qairina Mahathir kini terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia sebagai simbol kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Walaupun punca sebenar kematiannya masih dalam siasatan, insiden tragis ini telah membuka mata masyarakat terhadap potensi bahaya tekanan emosi dan isu buli yang mungkin tersembunyi dalam persekitaran pendidikan.
Sehingga Oktober 2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan sebanyak 6,208 kes buli pelajar sekolah di seluruh negara menerusi Sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Walaupun terdapat penurunan bilangan kes berbanding tahun sebelumnya, statistik menunjukkan kadar buli di Malaysia kekal membimbangkan.
Statistik ini mencerminkan betapa serius dan meluasnya isu buli dalam kalangan pelajar Malaysia, baik di sekolah mahupun dalam talian dan menegaskan pentingnya pengesanan awal serta tindakan segera sebelum tragedi seperti kes Zara kembali berulang.
Di sebalik angka yang membimbangkan ini, kita sering terlepas pandang bahawa pembuli bukan semestinya tampil dengan sifat kasar atau ganas secara terang-terangan.
Ramai daripada mereka kelihatan biasa seperti seorang pelajar cemerlang, rakan yang peramah atau individu yang disegani dalam kalangan rakan sebaya.
Namun di sebalik senyuman itu, wujud kecenderungan untuk mendominasi, mengawal dan menjatuhkan orang lain secara halus.
Justeru, mengenali ciri-ciri personaliti pembuli menjadi langkah penting dalam mencegah berlakunya penderaan emosi yang berpanjangan.
Tanpa kesedaran dan pendidikan yang mencukupi, mangsa sering menyembunyikan penderitaan mereka, sementara pembuli pula terus ‘beroperasi’ tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.
Hasil kajian antarabangsa yang diterbitkan pada tahun 2022 mendapati bahawa pembuli boleh dikategorikan kepada tiga jenis utama: verbal, siber dan fizikal atau terang-terangan.
Pembuli verbal lazimnya menjatuhkan mangsa melalui ejekan, penghinaan atau memulaukan secara halus manakala, pembuli siber pula mengambil kesempatan melalui platform digital seperti media sosial dan aplikasi mesej dengan menyebar kandungan menghina atau ugutan secara tanpa nama.
Sementara itu, pembuli fizikal lebih cenderung bertindak kasar secara langsung seperti menolak, memukul atau mengugut secara terbuka. Kajian itu juga menunjukkan bahawa setiap jenis pembuli ini mempunyai kaitan tersendiri dengan masalah kesihatan mental.
Contohnya, pembuli verbal sering mengalami simptom kemurungan, pembuli siber dikaitkan dengan kebimbangan dan kemurungan, manakala pembuli fizikal pula menunjukkan masalah tingkah laku serta kekurangan empati.
Menariknya, personaliti pembuli sering dikaitkan dengan beberapa ciri psikologi utama yang merentasi jenis-jenis buli ini.
Antara ciri yang sering dikenal pasti termasuk sifat suka mengawal, kurang empati, harga diri yang rapuh tetapi disembunyikan dengan kelakuan dominan, serta keperluan untuk menunjukkan kuasa atau kelebihan.
Ada juga dalam kalangan pembuli yang menunjukkan ciri-ciri narsistik iaitu merasakan diri lebih hebat dan berhak memperlekehkan orang lain.
Dalam sesetengah kes, pembuli sendiri datang daripada latar belakang bermasalah seperti pernah menjadi mangsa penderaan atau kurang perhatian di rumah.
Personaliti sebegini boleh mendorong mereka untuk memindahkan tekanan atau kemarahan terhadap individu lain yang dianggap lemah.
Penemuan ini menyerlahkan keperluan untuk memahami dengan lebih mendalam jenis dan personaliti pembuli agar langkah pencegahan dan intervensi dapat dirancang secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Sebagai langkah pencegahan awal yang selari dengan keperluan memahami pembuli, anak-anak kita perlu didedahkan dengan pengetahuan untuk mengenali personaliti pembuli sejak di bangku sekolah lagi.
Pendidikan tentang ciri-ciri dan tingkah laku pembuli perlu disampaikan secara konsisten melalui sesi bimbingan, modul kendiri dan kempen kesedaran agar mereka dapat mengenal pasti tanda-tanda awal sebelum menjadi mangsa.
Apabila pelajar tahu bagaimana untuk mengenal pasti pembuli melalui sikap, kata-kata atau tingkah laku tertentu, mereka akan lebih bersedia untuk melindungi diri atau melaporkan kepada pihak yang berautoriti.
Pendedahan awal ini bukan sahaja membina ketahanan diri dalam kalangan pelajar, malah dapat memutuskan rantaian buli daripada terus berlaku dalam komuniti sekolah.
Dalam masa yang sama, usaha menggalakkan pelajar untuk tampil melaporkan insiden buli perlu diperkasakan dengan mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas stigma.
Pelajar harus diyakinkan bahawa laporan mereka akan dilayan secara serius, sulit dan tanpa risiko balas dendam. Guru, kaunselor dan pihak pentadbiran perlu dilatih untuk memberikan sokongan emosi serta perlindungan sewajarnya kepada mangsa.
Platform seperti peti aduan rahsia, aplikasi aduan digital atau sistem rakan sebaya boleh menjadi medium alternatif yang mesra pelajar.
Lebih penting lagi, budaya sekolah mesti dibina atas asas empati, hormat dan keberanian untuk menegur ketidakadilan.
Apabila pelajar percaya bahawa suara mereka didengari dan dilindungi, maka keberanian untuk melaporkan buli akan tumbuh, sekali gus memperkukuh benteng keselamatan sosial dalam kalangan generasi muda.
Kesimpulannya, usaha membanteras budaya buli bukan hanya tanggungjawab mangsa semata-mata tetapi memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk keluarga, sekolah, masyarakat dan pembuat dasar.
Pengenalpastian jenis dan personaliti pembuli membolehkan intervensi dirancang dengan lebih berkesan, manakala pelajar pula perlu dilengkapi dengan keberanian dan sokongan untuk tampil bersuara.
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, melindungi kesejahteraan emosi dan keselamatan anak-anak kita bukan lagi satu pilihan, ia satu kewajipan bersama.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.