Antara ihsan kerajaan dan tanggungjawab rakyat

Bantuan subsidi juga merupakan manifestasi nilai ihsan kerajaan terhadap rakyatnya.

Feature Image (1)

DI era Malaysia Madani, kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui pelbagai bentuk subsidi yang disalurkan secara bersasar dan berkesan.

Antara inisiatif kerajaan ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bagi sektor pertanian dan getah serta insentif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat malah turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menegakkan prinsip keadilan sosial bagi semua lapisan masyarakat.

Bantuan subsidi juga merupakan manifestasi nilai ihsan kerajaan terhadap rakyatnya. Langkah ini sejajar dengan tuntutan syarak yang menekankan kepentingan memelihara kebajikan rakyat.

Hal ini selaras dengan firman Allah dalam Surah Sad ayat 26 yang memerintahkan pemimpin agar memutuskan sesuatu dengan adil dan tidak menurut hawa nafsu: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi. Maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan hak dan janganlah mengikuti hawa nafsu kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah.” (Surah Sad 38:26)

Al-Sya‘rawi menjelaskan setiap pemimpin wajib menunaikan amanah dan mentaati Allah serta RasulNya. Sekiranya amanah ini diabaikan, pemimpin sedemikian tergolong dalam kalangan pemerintah yang zalim. (Tafsir Al-Sya‘rawi 2360/4)

Rasulullah SAW menegaskan hakikat ini melalui sebuah hadis yang memperincikan tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari: 7138)

Dalam kerangka fiqh Islam, prinsip maslahah mursalah menjelaskan setiap keputusan pemimpin perlu berteraskan kepada usaha untuk membawa manfaat kepada rakyat.

Berpandukan prinsip ini, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Oleh itu, bantuan subsidi ini dapat dilihat sebagai manifestasi maslahah yang diiktiraf syarak bagi menjamin kestabilan ekonomi dan sosial masyarakat.

Namun begitu, dalam konteks semasa, pelaksanaan subsidi juga menuntut satu lagi sifat utama daripada pemerintah iaitu hikmah dalam tadbir urus.

Ketelusan dan kecekapan menjadi pelengkap kepada niat ihsan, agar bantuan benar-benar sampai kepada yang memerlukan, tanpa dibolosi oleh manipulasi data atau penyalahgunaan sistem. Justeru, ihsan bukan hanya soal hati budi pemimpin, tetapi juga kebijaksanaan pentadbiran.

Rentetan itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk memanfaatkan bantuan tersebut dengan penuh integriti serta menghindari sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan. Allah SWT menjelaskan peranan rakyat untuk mentaati pemerintah dalam urusan kebaikan umum melalui firmanNya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’ 4:59)

Dalil ini menjelaskan bahawa rakyat hendaklah mengekalkan hubungan yang harmoni dengan pemimpin selagi mana tindakan mereka berpaksikan kepada perkara yang baik serta menjauhi kemungkaran.

Ketaatan ini bukan bersifat membuta tuli tetapi berasaskan semangat kolektif untuk menjaga kestabilan masyarakat dan mengelakkan fitnah yang melemahkan negara.

Pada masa sama, rasa syukur terhadap bantuan kerajaan wajar diterjemahkan melalui tindakan positif seperti menjadi produktif, berdaya saing dan komited untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

Namun, hakikatnya masih wujud segelintir yang menyalahguna bantuan dengan membeli barangan mewah, memanipulasi maklumat pendapatan, atau menjual semula barangan bersubsidi demi keuntungan sendiri. Sikap ini mencemarkan ruh ihsan dan menjadikan subsidi sebagai alat ketamakan, bukan kebajikan.

Justeru, pemberian subsidi mencerminkan nilai ihsan kerajaan dalam memelihara kemaslahatan rakyat. Kesepaduan antara ihsan kerajaan dan tanggungjawab rakyat inilah yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sejahtera serta negara makmur yang berpaksikan prinsip-prinsip Islam.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.