Bateri Madani tawar pilihan mampu milik kepada pemandu Malaysia
Setiap unit Bateri Madani turut disertakan jaminan selama setahun atau 20,000 kilometer bagi kenderaan persendirian.
KUALA LUMPUR, 6 November 2025 – Sejamas World Sdn Bhd, penyedia penyelesaian automotif milik Bumiputera melancarkan Bateri Madani, jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan berkualiti premium yang ditawarkan pada harga mampu milik di seluruh negara.
Pelancaran rasmi produk itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Karnival Mega 3 Damansara sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperluas akses kepada produk automotif berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, khususnya golongan B40 dan M40.
Menurut Sejamas World, Bateri Madani dibangunkan dengan kerjasama pengeluar global dan ditawarkan pada harga bermula RM130, termasuk pemasangan profesional, diagnostik serta penentukuran. Harga itu dilaporkan sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding kadar pasaran biasa bagi bateri automotif dalam kategori yang sama.
Setiap unit Bateri Madani turut disertakan jaminan selama setahun atau 20,000 kilometer bagi kenderaan persendirian dan kini boleh diperoleh di seluruh negara melalui rangkaian cawangan Sejamas serta pengedar sahnya.
Jurucakap Sejamas World, Alfred Kenneth Jingulam Jr berkata, pelancaran Bateri Madani adalah sebahagian daripada misi syarikat untuk menjadikan produk automotif berkualiti tinggi lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.
“Apabila kos sara hidup meningkat, kami ingin membantu rakyat dengan menawarkan penyelesaian automotif yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga mampu milik. Bateri Madani bukan sekadar produk komersial tetapi satu gerakan nasional untuk memperkasakan rakyat melalui inovasi sosial,” katanya dalam kenyataan.
Pelancaran itu turut mendapat pengiktirafan Perdana Menteri yang menyifatkan inisiatif Bateri Madani selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk meringankan beban kos sara hidup serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada ekosistem ‘Gerak Madani’, yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Untuk maklumat lanjut atau pembelian Bateri Madani, orang ramai boleh melayari www.sejamas.com/booking, menghubungi talian bebas tol 1-800-820-002 atau berhubung dengan perkhidmatan pelanggan di +6012-6868945.
