Muhammad Amir bina laluan berbakti kepada masyarakat
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin dan Falsafah), Universiti Kebangsaan Malaysia.

PELAJAR tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin dan Falsafah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Amir Abdullah Mokhti berkecimpung dalam dunia kesukarelawanan dan kepimpinan sejak tahun pertama di universiti berkenaan pada 2021.
Sejak itu, Muhammad Amir, 24, itu telah terlibat lebih daripada 100 program di peringkat universiti.
“Saya sebenarnya seorang yang tidak selalu memberanikan diri melakukan perkara-perkara baharu,” kata anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu.
Muhammad Amir berkata beliau ada pengalaman terdiam di atas pentas ketika pertama kali mengacarakan majlis ketika di sekolah.
Namun, ketakutan itu tidaklah menjadi penghalang untuk tampil ke hadapan. Kini, selain daripada menjadi pengacara majlis untuk program peringkat fakulti, kolej dan universiti, beliau juga berjaya menjadi ketua pengarah program bagi beberapa program di peringkat fakulti dan universiti.
Beliau percaya bahawa ketakutan adalah untuk diatasi bukan sebagai penghalang kemajuan dan yakin bahawa setiap tahap pengajiannya memberinya pengalaman berharga.
Amir merupakan pelajar SMK Agama Kuala Selangor sehingga tingkatan lima sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Sultan Alam Shah pada tingkatan enam. Kedua-dua sekolah ini membantu mengembangkan potensinya supaya lebih yakin dan percaya kepada diri sendiri.
Amir bergiat aktif melalui pelbagai persatuan dan kelab di peringkat kolej, fakulti dan universiti.
Selain daripada bergiat dalam aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan, Amir juga pernah menjawat jawatan sebagai Exco Hubungan Luar, Pengantarabangsaan dan Alumni dalam Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, UKM (PMFPI UKM) dan pernah menjawat sebagai Exco Media dalam Persatuan Mahasiswa Selangor UKM (PERMAS UKM).
Ini membuktikan kebolehan Amir yang tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja.
Amir menanam azam untuk sentiasa mencabar kebolehan diri dan menjadi lebih baik. Setelah menghabiskan tiga tahun aktif dalam universiti, beliau mula mengorak langkah untuk berkecimpung dalam aktivisme di dunia luar.
Penglibatan Amir di luar universiti dengan menjadi peserta bagi program-program anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kemudian, Amir mula terlibat menjadi sukarelawan di bawah Team Selangor. Pelbagai aktiviti kesukarelawanan yang disertai Amir seperti program bantuan pasca banjir dan program pembersihan pantai.
Selain itu, Amir juga terlibat dalam program-program akademik seperti program advokasi politik dan perlembagaan.
Lebih menarik lagi, kepimpinan beliau semakin disoroti melalui penglibatan dalam aktiviti komuniti dan sukarelawan. Amir mengambil peranan sebagai Ketua Pengarah Program dalam inisiatif Sahabat Jiwa Merdeka, satu program yang dianjurkan oleh Team Selangor.
Melalui platform ini, beliau berjaya mengerakkan 20 individu daripada kalangan mahasiswa untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan.
Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam menangani isu sosial seperti pemulihan dadah, malah turut mengeratkan hubungan antara penghuni pusat pemulihan dengan mahasiswa serta masyarakat setempat.
Pengalaman itu merupakan bukti bahawa belia, walaupun masih bergelar mahasiswa mampu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pelbagai isu sosial yang mencabar.
Team Selangor, sebagai medium untuk belia menjadi sukarelawan telah menyediakan ruang bagi individu muda untuk menyalurkan semangat berdikari mereka melalui pelbagai program komuniti.
Dengan mendorong belia untuk aktif dalam inisiatif sukarelawan, Team Selangor menyumbang kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga prihatin terhadap isu-isu kemasyarakatan.
Dalam konteks ini, Amir bukan sahaja menunjukkan kepimpinan dalam bidang akademik dan profesional, malah beliau turut menyemai nilai-nilai kemanusiaan yang mendorong perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Amir juga percaya bahawa mahasiswa perlu libatkan diri dalam aktivisme merangkumi aktiviti demonstrasi, kempen kesedaran dan aktiviti kesukarelawanan untuk meningkat nilai diri seiring dengan perubahan zaman.
Ini juga berhubung kait dengan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di Parlimen baru-baru ini berkaitan dengan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) sebagai tanda sokongan dan memberi hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman kepada rakyat Malaysia.
Keputusan ini jelas membuktikan bahawa suara rakyat Malaysia tidak disekat dan dibenarkan untuk menganjurkan perhimpunan awam. Mahasiswa harus dan wajar mengambil peluang ini dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan isu-isu mahasiswa agar mahasiswa bukan hanya robot yang belajar di bilik kuliah.
Kisah Muhammad Amir adalah cerminan bahawa setiap mahasiswa muda, tidak kira latar belakang dan bidang pengajian, mempunyai potensi besar untuk menjadi agen perubahan.
Dengan berdikari dan berani mengambil langkah, belia mampu menyumbang kepada pembangunan mampan negara. Pengalaman beliau bersama Team Selangor membuktikan bahawa platform sukarelawan yang menyokong belia bukan sahaja merangsang kreativiti dan inovasi, malah turut menyatukan hati masyarakat dalam usaha mencapai kesejahteraan bersama.
Inspirasi ini diharapkan akan terus menguatkan semangat belia nasional untuk berdikari dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan negara.