Yahya Sinwar dipilih ketua politik Hamas, ganti tempat Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2024 – Hamas menamakan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik yang baharu bagi menggantikan Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran minggu lalu.

Yahya merupakan arkitek serangan ke atas Israel sejak beberapa dekad lalu.

Yahya yang hidup dalam persembunyian di Gaza sejak sekian lama menafikan cubaan Israel untuk membunuhnya sejak perang bermula pada Oktober tahun lalu.

Pengumuman mengenai pelantikan beliau disambut dengan pelancaran roket dari Gaza oleh kumpulan pejuang yang masih teguh menentang rejim Zionis.

Hamas dan Iran menuduh Israel membunuh Ismail, namun Tel Aviv tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatan mereka.

Seorang pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata: “Pemilihan Yahya sebagai pemimpin Hamas menghantar mesej yang signifikan kepada musuh (Israel) dan sekutunya.”

Yahya yang menghabiskan separuh daripada kehidupan dewasanya di penjara Israel adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Ismail.

Dilahirkan di kem pelarian di selatan bandar Gaza, Khan Younis, Yahya, 61, dipilih sebagai pemimpin Hamas di Gaza pada tahun 2017 selepas mencipta reputasi sebagai pejuang tegar dan musuh utama Israel.

Beliau sebelum ini merupakan ketua kumpulan keselamatan Al-Majd yang menjejaki, membunuh dan menghukum rakyat Palestin yang dituduh bersekongkol dengan perkhidmatan rahsia Israel sebelum beliau dipenjarakan.