Penjajahan baharu bertopengkan penyelamatan
Adakah rancangan campur tangan oleh kuasa besar seperti AS atau sekutunya benar-benar bertujuan menyelamatkan Gaza?

BUMI bersejarah dan penuh barakah Palestin terus menjadi tumpuan dunia akibat konflik yang berpanjangan.
Kini, timbul pula wacana pengambilalihan Gaza oleh Amerika Syarikat (AS) seperti yang dinyatakan Donald Trump baru-baru ini.
Wacana ini muncul seiring dengan gencatan senjata yang dipersetujui pelbagai pihak dan membangunkan semula Gaza akibat keganasan rejim Zionis.
Namun, adakah rancangan campur tangan oleh kuasa besar seperti AS atau sekutunya benar-benar bertujuan menyelamatkan Gaza? Atau ini hanyalah bentuk helah penjajahan baharu yang dibalut retorik kemanusiaan dan kepedulian?
Naratif penyelamatan terselindung
Coretan lipatan sejarah memdedahkan bahawa hampir semua intervensi asing atas nama penyelamatan atau kestabilan di wilayah tertentu sering membawa kesan bertentangan dengan naratif asal.
Contoh terdekat ialah pencerobohan AS ke Iraq dan Afghanistan. Awalnya, ia dikatakan sebagai usaha membebaskan rakyat daripada cengkaman diktator tetapi akhirnya mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan serta krisis kemanusiaan yang lebih parah.
Bukankah slogan seperti ‘Asia untuk Asia’ atau ‘Saudara Tua dari Timur’ pada Perang Dunia Kedua, agar wilayah Nusantara bebas daripada cengkaman penjajahan Eropah juga berakhir dengan penindasan dan penderitaan rakyat Nusantara?
Dalam konteks Gaza, lakonan dan alasan yang digunakan juga tidak jauh berbeza. Naratif yang dibina ialah Gaza memerlukan kerajaan yang stabil, perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang berterusan.
Namun, adakah motif ini benar-benar ikhlas atau sekadar helah untuk mengukuhkan kawalan geopolitik di rantau tersebut?
Wilayah Gaza dan autoriti Palestin secara keseluruhan memiliki kedudukan strategik dari sudut politik dan ekonomi.
Dari segi geografi, Gaza bersempadan langsung dengan Mesir dan wilayah haram rejim Zionis, menjadikannya kawasan penting bagi kepentingan kedua-dua pihak.
Daripada perspektif geopolitik global, penglibatan AS atau sekutunya di Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan tetapi sebahagian daripada agenda besar untuk mengukuhkan pengaruh di Timur Tengah.
Lantas, mengapa kuasa besar seperti AS begitu berminat dengan Gaza? Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Gaza dan Palestin amnya begitu memberahikan bagi kepentingan global dan asing.
Antaranya kedudukan geopolitik Gaza yang berfungsi sebagai pintu masuk yang mempengaruhi dinamik politik di Palestin dan wilayah haram rejim Zionis.
Kedua, sumber dan laluan perdagangan. Walaupun disekat dan diasingkan, Gaza sebenarnya memiliki potensi sumber laut serta laluan perdagangan yang boleh dieksploitasi oleh pihak luar.
Ketiga, mengurangkan pengaruh saingan geopolitik. Negara-negara seperti Turki, Iran dan lain-lain mempunyai pengaruh yang signifikan di Gaza dan Palestin amnya, melalui bantuan diplomatik dan logistik yang disalurkan.
Maka, intervensi AS di wilayah ini sebagaimana diwacanakan diyakini boleh menjadi cara untuk mengekang dan menghadkan pengaruh tersebut.
Kesan terhadap rakyat Gaza
Menjadi pemandangan biasa bahawa setiap hadirnya campur tangan asing pasti meninggalkan kesan terhadap penduduk tempatan.
Oleh itu, jika AS atau kuasa lain mengambil alih Gaza, beberapa senario berikut mungkin akan berlaku pula:
• Hilangnya Kedaulatan Palestin di Gaza: Merujuk kes-kes dan contoh senario sejarah interpensi luar terhadap sesuatu wilayah atau kedaulatan yang sering mengakibatkan penggulingan kuasa dan pencabulan terhadap otoriti tempatan.
Justeru, pengambilalihan Gaza oleh pihak luar bermakna rakyat dan Palestin akan kehilangan haknya untuk menentukan masa depan sendiri yang berdaulat dan bermaruah.
• Militerisasi Wilayah: Ini lumrah terjadi Dimana-mana toritorial berlakungnya intervensi asing. Lipatan sejarah menunjukkan bahawa wilayah yang diintervensi sering mengalami peningkatan ketenteraan atas alasan ‘keselamatan’. Dalam kontek ini Gaza mungkin tidak terkecuali.
• Eksploitasi Sumber: Wilayah yang diambil alih biasanya akan dieksploitasi sumbernya tanpa memberi manfaat kepada penduduk tempatan. Malah, tanpa intervensi AS pun, Gaza sudah lama menjadi mangsa eksploitasi kezaliman rejim Zionis.
Wujudkah solusi yang lebih adil dan realistik?
Jika benar AS atau kuasa besar lain berniat baik dan ikhlas membantu Gaza yang telah diranapkan oleh kezaliman rejim Zionis, maka beberapa langkah berikut mungkin lebih wajar dan realistik untuk dilaksanakan berbanding intervensi yang berisiko menjadi penjajahan terselindung:
1. Menyokong Penyelesaian Diplomatik Tulen: Masyarakat antarabangsa perlu mendesak dialog terbuka antara faksi Palestin dan negara haram zionis tanpa campur tangan atau agenda tersembunyi yang penuh helah, sehingga menjadikan rundingan-rundingan sebelum ini menemui jalan buntu dan gagal direaliasasikan.
Termasuk persefahaman gencatan senjata sebelum-sebelum ini. Agenda diplomatik tulen wajib dimulakan. Jangan ada elemen musang berbulu ayam, menangguk di air keruh dalam isu ini. Pihak-pihak yang menjadi kunci penting seperti PBB, liga Arab, OIC dan lain-lain mestilah benar-benar jujur dalam penyelesaian konflik ini.
2. Bantuan Kemanusiaan Neutral: Bantuan kepada Gaza harus disalurkan secara konsisten dan berterusan melalui badan bebas tanpa dikaitkan dengan kepentingan politik dan hagemoni kuasa tertentu yang menggugat kedaulatan Palestin.
3. Memperkukuh Kedaulatan Palestin: Gaza dan Otoriti Palestin perlu diberi sokongan ekonomi serta politik yang jitu untuk berdikari tanpa intervensi pihak luar. Pendudukan haram rejim Zionis di tanah Palestin mesti dihentikan dan dinoktahkan segera.
Kesimpulan
Masyarakat antarabangsa perlu berwaspada terhadap wacana intervensi asing yang dibungkus sebagai ‘penyelamatan’ sebegini.
Sejarah membuktikan bahawa campur tangan sedemikian sering berakhir dengan penjajahan baharu yang merugikan penduduk tempatan.
Jika dunia benar-benar prihatin, fokus harus diberikan kepada diplomasi dan bantuan yang menghormati hak rakyat Gaza untuk merdeka dan berdaulat. Jangan sampai atas nama kemanusiaan, Gaza kehilangan hak, kebebasan dan kedaulatannya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.