Membela atau ‘membelit’ kebenaran?

Ledakan teknologi digital mengubah lanskap aktivisme sosial, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi ‘pembela kebenaran’ hanya dengan beberapa ketikan di papan kekunci atau telefon pintar.

Poster Terkini (1)


Dunia golongan belia hari ini bergerak dalam kepantasan yang belum pernah disaksikan oleh generasi-generasi sebelumnya.

Ledakan teknologi digital telah mengubah lanskap aktivisme sosial, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi ‘pembela kebenaran’ hanya dengan beberapa ketikan di papan kekunci atau telefon pintar.

Setiap hari, kita menyaksikan gelombang kemarahan maya terhadap pelbagai isu sosial, dari kes buli di sekolah hinggalah skandal rasuah korporat, dari kes Abang Belon hinggalah kes letupan paip gas Putra Heights.

Namun, dalam keghairahan kita untuk menonjolkan diri sebagai pejuang keadilan, adakah kita sebenarnya telah terkeliru di antara ‘membela kebenaran’ dengan ‘membelit realiti?’

Adakah aktivisme digital kita benar-benar menyelesaikan masalah atau sekadar mewujudkan teater moral di mana kita semua ingin dilihat sebagai hero?

Ingatlah bahawa kebenaran itu hanya sebuah titik permulaan, dan bukannya penamat, sebuah permasalahan.

Tidak dapat dinafikan, menjejaki kebenaran adalah asas kepada sebarang penyelesaian masalah. Tanpa memahami punca sebenar sesuatu isu, mustahil untuk kita mencari jalan keluar yang efektif.

Namun, bahayanya berlaku apabila kita menganggap bahawa pendedahan kebenaran itu sendiri sudah memadai sebagai sebuah penyelesaian.

Cuba kita ambil insiden buli yang kerap menjadi tumpuan media sebagai contoh. Dalam banyak kes, reaksi segera kita selalunya adalah untuk mengulang siar kisah tersebut secara meluas di media sosial, baik secara hantaran, mahu pun meninggalkan komen dan menulis status.

Hampir keseluruhan hantaran-hantaran tersebut bertemakan tuntutan tindakan segera terhadap pelaku oleh pihak berkuasa dan berwajib, tetapi selepas ribut siber itu reda, berapa ramaikah yang benar-benar terlibat dalam program pencegahan buli secara jangka panjang?

Berapa banyakkah usaha kolaboratif dengan pihak sekolah atau NGO untuk menangani punca sebenar masalah ini, terutamanya dalam kalangan mereka yang galak mengulang siar ‘permasalahan sosial’ tersebut?

Jika kita hanya pandai mengkritik tetapi enggan turun padang menyumbang tenaga dan idea untuk perubahan sebenar yang sistematik, adakah kita benar-benar membela kebenaran atau sekadar mencari kepuasan moral sementara? Tepuk dada dan tanyalah selera.

Keadilan segera

Fenomena cancel culture seolah-olah telah menjadi senjata utama generasi belia dalam menangani kesilapan individu. Tanpa proses yang adil, seseorang boleh dihakimi dan dihukum oleh mahkamah media sosial dalam sekelip mata.

Benar, sikap ini mungkin berpunca dari niat yang amat murni, untuk menegakkan keadilan segera.

Namun, adakah pendekatan ini benar-benar konstruktif?

Pertimbangkan kes seorang individu yang membuat kenyataan tidak sensitif tentang isu perkauman atau keagamaan. Daripada membuka ruang untuk dialog dan pendidikan, kita nampaknya lebih cenderung untuk sama ada mengumpulkan kemarahan ramai melalui hantaran yang tular atau menuntut pelaku dikenakan tindakan undang-undang semaksimum mungkin.

Bukankah lebih bermakna jika kita menggunakan kesilapan tersebut (jika terbukti benar) sebagai sebuah peluang mendidik? Daripada menghancurkan masa depan seseorang, mungkin kita boleh bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan untuk mengadakan program kesedaran kepelbagaian budaya, contohnya.

Pendekatan ini bukan sahaja menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi tetapi secara tidak langsung juga membantu membina masyarakat yang lebih bertimbang rasa.

Daaaan dalam usaha untuk benar-benar menjadi seorang ejen perubahan, belia perlulah melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi seorang pengkritik. Ini memerlukan peralihan paradigma dalam kaedah kita menangani sesebuah isu sosial.

Pertama, kita perlu beralih daripada budaya mengkritik kepada budaya kolaborasi. Daripada hanya mengecam pihak yang bersalah, belia mempunyai potensi untuk menjadi jambatan antara masalah dan penyelesaian.

Sebagai contoh, dalam menangani isu rasuah, kita boleh memanfaatkan kemahiran digital untuk membangunkan platform laporan awam yang lebih telus atau bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam program kesedaran untuk rakan sebaya.

Kedua, fokus kita perlu beralih dari individu kepada sistem. Kebanyakan masalah berulang kerana kelemahan struktur sistem dan bukannya semata-mata kesilapan peribadi. Dalam isu diskriminasi gender misalnya, selain mengecam pihak yang melakukan diskriminasi, kita perlu turut memperjuangkan perubahan dasar dan polisi yang lebih inklusif di peringkat institusi.

Ketiga, kita perlu mengutamakan pendekatan pemulihan berbanding menghukum. Kebenaran tanpa mekanisme pemulihan ibarat sebuah diagnosis tanpa rawatan. Contohnya, program rehabilitasi untuk pelaku buli atau inisiatif restorative justice yang mempertemukan mangsa dan pelaku berkemungkinan mampu menjadi lebih efektif dalam usaha memutuskan kitaran keganasan, berbanding dengan semata-mata menjatuhkan hukuman menurut Kanun Keseksaan.

Kebenaran seharusnya membebaskan

Semangat belia untuk menegakkan keadilan adalah aset berharga yang perlu dipupuk. Namun, nilai sebenar aktivisme bukan terletak pada seberapa lantang kita bersuara tetapi pada seberapa dalam komitmen kita untuk menyelesaikan masalah.

Kebenaran seharusnya membebaskan, membuka jalan untuk penyelesaian, rekonsiliasi dan reformasi. Jika kebenaran yang kita perjuangkan hanya menghasilkan lebih banyak perpecahan, dendam dan stagnasi, mungkin kita perlu mempersoalkan sama ada kita sedang membela kebenaran atau sekadar membelit realiti untuk memenuhi naratif diri sendiri.

Jadilah generasi yang tidak hanya pandai mengesan kesilapan tetapi juga bijak merangka penyelesaian secara bersama kerana pada hakikatnya, kebenaran tanpa tindakan pembaikan hanyalah ilusi keadilan yang kosong.

Jika anda bukan seorang pembela, maka anda sebenarnya hanyalah seorang ‘pembelit’ kebenaran.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.